Tag Archives: sabar

Kemanisan dalam Kepahitan ><

Standard

Ramai yang bertanya, “Adilah, kenapa tak update blog?” “Adilah, nak tahu kesinambungan cerita Istikharah Cinta Hani. Cepatlah sambung.” “Aku tengah tunggu update dari blog hang ni.. Bila nak start?” “Dah lama tak nampak post baru. Rindu nak baca.”

Saya malu untuk menulis kerana tiada bakat dan kepandaian. Kedua kerana malas dan sibuk dengan belajar dan kelas.

Hmm.. Hanya keluhan yang mampu dilepaskan. Bukan tidak mahu menulis lagi, tetapi semangat sedikit luntur kebelakangan ini, tiada cerita menarik yang dapat dikongsi, terasa sesak dan berat tersimpan di dalam dada, malas untuk berkongsi, sebaliknya hanya diam membisukan diri. Tetap tersenyum walaupun sukar. 🙂

Nampaknya semuanya semakin sukar dan tidak mudah. Selalu kita mendengar orang menyebut, “Kita hanya merancang, tetapi Allah jua yang menentukan. Bersabarlah….”

Dot dot dot… Oleh itu jangan cepat berputus asa dan lemah.

Namun, kehidupan tetap perlu diteruskan. Di dalam hidup ini ujian merupakan sunnatullah buat hamba-Nya. Bukan tanda Allah tidak sayang kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Hikmahnya terlalu banyak untuk diambil iktibar dari semua ujian yang perlu kita lalui bukan?

Saya teringat akan analogi yang dikongsikan oleh seorang kakak usrah tempoh hari tentang ujian dan mehnah. Analoginya mudah saja. Kakak bertanya, “Mengapa jalan raya itu dibina bertar, bukannya bermozek atau rata sahaja?”

Seorang menjawab, “Kerana sekiranya jalan raya itu tidak bertar dan tidak berbatu ia akan menjadi licin kerana tiada daya geseran lalu akan berlakunya kemalangan dan perlanggaran. Jalan yang kasar itu dicipta demi keselamatan pengguna jalan raya.”

Begitu juga dengan kehidupan kita ini. Andai sepanjang perjalanan hidup kita ini semuanya mudah sahaja, pelbagai masalah akan timbul kerana ujian itu mematangkan diri, membuatkan kita lebih berfikir, membuatkan kita lebih tabah dan sabar. Ujian-ujian itu diciptakan demi mendidik diri menempuh jalan menuju redha Allah. Redha Allah adalah hadiah yang paling berharga yang mahu kita semua miliki. Kerana jalan keredhaan adalah jalan menuju syurga Allah.”

ujian allah

Walaupun pelbagai ujian yang melanda, kita tetap perlu mempositiifkan diri dan sentiasa fokus dalam aktiviti seharian. Belajar, bersosial, berusrah, tarbiah,dakwah, dan aktiviti-aktiviti lain mestilah diteruskan seperti biasa.

Meskipun hati terasa berat dengan bebanan ujian dan terasa pahit, namun senyuman yang manis tetap terukir kepada teman-teman yang lain kerana disitulah tersembunyinya sebuah ketabahan. Ketawa dan jenaka tetap menghiasi hari-hari kita kerana apabila kita membahagiakan orang lain, kebahagiaan untuk diri sendiri juga tetap terasa. Langkah kaki juga mesti tetap padu dan kukuh meskipun hati terasa lemah.

Mukmin yang hebat itu hanya lemah di hadapan Allah, tetapi tampak kuat di mata manusia kerana itulah dakwah dan perjuangan. Seorang daie itu mestilah sentiasa kuat dan tabah kerana dia perlu membimbing manusia lain dan juga dirinya sendiri tabah dengan ujian Allah. Seorang muslim itu tentulah daie kerana Allah telah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di atas muka bumi.

Ujian itu indah dan manis bagi mereka yang mencintai dan mengenali Allah. Saya teringat akan kata-kata seorang pensyarah Biochemistry, Dr Tariqurrahman, “ Everybody who has no scared to Allah, he or she will scared to everything. Everybody who scared to Allah, will scared to nothing.” Kerana seorang muslim yang hanya takut kepada Allah (seksaan-Nya), akan sentiasa patuh dan yakin kepada Allah tanpa sedikitpun keraguan, dan berani menempuh cabaran.

Ujian itu mendekatkan diri kita kepada Allah. Manisnya cinta Allah kepada hamba-Nya. Dicptakan dugaan supaya kita dekat dengan-Nya. Subhanallah.. Apabila ditimpa ujian, pastilah terasa sakit, seluruh jasad juga menanggung kesusahan. Oleh itu, jangan mudah berputus asa dari rahmat Allah. Perbanyakkan zikir, istighfar, solat, membaca Al-Quran dan perbanyakkan doa agar Allah berikan kemudahan kepada kita semua.

Dr. Tariq juga pernah bercerita tentang kisah Nabi Ayyub yang ditimpa ujian penyakit yang dahsyat. Namun, kesakitan itu tidak sedikitpun dikeluhkan oleh nabi. Sebaliknya baginda mengganggap ujian itu indah kerana mendekatkan dirinya kepada Allah. Meskipun susah, namun tidak sedikitpun nabi mengeluh. Itulah contoh manusia yang diuji, tetapi ketaatannya kepada Allah semakin membuah dan bercambah.

Ujian itu membuatkan air mata seringkali mengalir. Itulah tanda hati masih lembut untuk mengadu kepada Allah. Hati yang keras akan susah mengingati Allah dan sukar menerima hidayah. Oleh itu berbahagialah andai air mata itu mengalir membasahi telekungmu kerana Allah telah titipkan rasa kerendahan hati di dalam diri kita. Namun, bersabar dan menjadi mukmin yang kuat itu lebih baik.

=) =)

Saya tidak kuat, tetapi kerana hadirnya teman-teman di sisi membuatkan saya cuba tabahkan hati dan meneruskan misi dakwah dan tarbiah dengan kesungguhan. Kerana kasih Allah jualah saya masih teguh berdiri, tetap melangkah menuju keredhaan Ilahi.

Ujian itu rahmat,

sabar itu cinta,

dugaan itu membahagiakan,

sakit itu indah,

bagi insan yang yakin dengan Tuhan.

Advertisements

Bersabarlah Wahai Penuntut Ilmu

Standard

Teringat dahulu ketika zaman tadika.

Zaman ketika kita baru bermula belajar mengenal huruf abc, mengenal satu dua dan tiga. Belajar membuat bulatan dan garisan. Ada garisan pintal-pintal, garisan bulat-bulat, bengkang-bengkok dan sebagainya. Subhanallah. Teringat akan diri kita yang comel dan kecil, tapi sangat tabah dalam menuntut sesuatu yang baru. Sehinggalah kita mula belajar membaca, menulis dan mengira. daripada proses mengenal kemudian sedikit demi sedikit kita belajar dan terus belajar sehingga mampu menyatukan huruf-huruf menjadi perkataan lalu menjadi ayat yang lengkap. Proses itu berlaku berulang-ulang kali. Membaca, menulis, dan mengira berlangsung tanpa henti. Kita tidak pernah merungut seperti sekarang ini.

Hebatnya kita suatu masa dahulu!

Tetapi mengapa kini kita cepat berputus asa? Mengapa kini kita takut dan lemah dalam menempuh kegagalan. Ingatkah kita dahulu ketika saat mula memegang pensel. Adakah di awal permulaan itu kita sudah mampu menulis dengan sempurna? Tidak sama sekali!

Hari ini, apabila kita mula belajar sesuatu yang baru, kita mula merungut tidak faham dan mudah mengalah dalam menuntut ilmu. Sedangkan dahulu kita adalah seorang penuntut yang tidak mengenal erti payah walaupun baru mula belajar memegang sebatang pensil.

Seperti yang kita semua telah maklum, jalan menuntut ilmu ini ialah satu jalan JIHAD. Subhanallah. Oleh itu adakah jalan jihad itu mudah dan adakah seorang mujahid itu hanya berjuang dengan senang lenang? Sedangkan dia haruslah melawan nafsu untuk pergi berperang. Kalah atau menang belum tahu lagi kesudahannya. Jadi mengapa mengeluh apabila jalan menuntut itu tidak semudah yang disangka?

Maka BERSABARLAH wahai teman dan jua diri saya sendiri. Jalan menuntut itu bukan ringan. Ia seolah-olah sedang berperang berjihad di jalan Allah s.w.t. Untuk menggarap sesuatu ilmu bukanlah mudah. Kerana ilmu itu ialah cahaya. Ilmu itu dari Allah s.w.t.

Sebenarnya yang ingin saya kongsikan di sini ialah langkah-langkah dalam mendapatkan sesuatu ilmu terutamanya yang sedang saya terokai sekarang iaitu Biologi. Bagi saya subjek Biologi ialah subjek yang sangat kritikal. Apatah lagi budaya persaingan memaksa diri saya untuk turut bersaing. Sedangkan persaingan yang sihat itu tidak pernah wujud. Seperti kata seorang sahabat saya, persaingan hanya menyebabkan kita semua hilang akan roh belajar. Bermaksud, kita hanya belajar untuk mengejar pointer yang tinggi, bukan kerana minat belajar. Memang ada benarnya.

Oleh kerana Farmasi ialah jurusan yang saya ambil  sekarang, maka subjek Biologi ialah subjek yang wajib untuk dipelajari. Malah kewajipan untuk skor pointer yang tinggi amat menyeksa jiwa saya kerana perlu bermujahadah bersungguh-sungguh untuk ikhlaskan niat belajar kerana Allah taala sahaja. Dan untuk pengetahuan semua, bagi saya Biologi ialah subjek yang membunuh tetapi tidak sekejam Matematik kerana saya sangat alergik dengan Matematik! Wah, dari dulu sehingga kini, mengapa Matematik paling kurang diminati oleh saya sendiri? Tetapi hakikatnya semua ilmu juga perlu dicintai. Oh, tidak baik bias pada sesuatu subjek atau ilmu sahaja. Tetapi jika ditanyakan tentang perakaunan, perdaganga, perundangan dan terutama sekali bahasa Arab atau lain-lain bidang, sudah tentu saya tidak tahu bagaimana caranya anda belajar. Lain orang, bukankah lain caranya? Tetapi mungkin sama sahaja atau lebih kurang sahaja caranya. Oleh itu, jom sama-sama kita berkongsi.

…………………………………………………….

Pertama sekali ialah apabila kita mula untuk mengulangkaji mulakanlah dengan pembacaan hanya sekadar untuk imbasan minda. Buka dari satu muka surat ke muka surat yang lain dan lihat akan tajuk utama bagi setiap topik. Ini bermakna kita sedang mendapatkan gambaran kasar tentang ilmu yang bakal kita perdalami.

Kemudian, bersambung pula dengan proses penelitian. Telitikan pada istilah-istilah dan ayat-ayat yang tertulis kemudian cuba untuk fahamkan dengan lebih mendalam.Pada ketika itu mungkin pemahaman masih kabur. Tapi usahakan juga untuk memahami setiap isi ayat. Jangan mudah berputus asa.

Inshaa Allah, kita belajar bukanlah untuk menduduki peperiksaan walaupun keadaan memaksa kita untuk belajar begitu. Tetapi hakikatnya kita belajar untuk mendapatkan ilmu. Sifat cinta akan ilmu itu telah hilang kerana kita semua sibuk bersaing untuk mengejar pointer, A+ dan karier. Sebenarnya saya bukanlah seorang yang suka bersaing, tetapi keadaan apabila semua orang sibuk bersaing, maka secara automatik kita juga turut menjadi mangsa persaingan. Kalau tidak, kata orang, kita akan ketinggalan di belakang.

Selepas itu, sambil meneliti sambil itu tangan juga turut mencatat. Jadi apa gunanya skil belajar memegang pensel dahulu sekiranya tidak digunakan? (Hanya bergurau). Ketika ini, mana-mana bahagian yang lebih jelas akan lebih terlihat dan faham kerana sambil melihat, otak turut merakam. Dan yang ditulis itu selalunya lebih mudah untuk diingati.

Dan jangan lupa juga untuk merujuk beberapa bentuk bahan bacaan lain seperti rajah, gambar atau jadual. Ini hanyalah sekadar beberapa contoh bahan rujukan. Masih terdapat beberapa lagi contoh bahan bacaan yang lain. Di sini kita juga harus teruskan dengan proses penelitian. Jangan hanya melihat rajah dan gambar tersebut tanpa berfikir. Dan juga ambil masa untuk menghayati rajah tersebut terutama sekali apabila berkaitan dengan sesuatu proses.

Selain itu juga, sekiranya penerangan ada di satu buku dan rajah di satu buku yang lain, oleh itu bukakan kedua-duanya. Sambil membaca dan meneliti untuk memahami, mata juga turut rujuk pada rajah di buku lain tersebut. Dari itu, cuba samakan apa yang dibaca dengan gambar tersebut.  Sebagai contoh, proses pembiakan phylum Bryophyta. Jika tidak merujuk pada rajah, kita tidak mungkin akan mendapat gambaran apa yang sedang diterangkan oleh buku.

bryophyte

Kemudian, buatlah beberapa jadual untuk membuat perbandingan sekiranya beberapa jenis benda atau apa-apa sahaja yang berbeza berada di bawah satu lapangan yang sama. Contohnya, Kingdom Fungi. Di bawahnya terdiri daripada tiga jenis phylum iaitu Zygomycota, Ascomycota dan Basidiomycota. Ini hanyalah sekadar contoh. Kerana phylum-phylum ini memiliki sifat yang hampir sama tetapi terdapat beberapa perbezaan.

Kemudian, boleh juga dipelbagaikan lagi cara mendapatkan sesuatu ilmu itu iaitu dengan menterjemahkan sendiri apa yang dibaca ke dalam bentuk lukisan atau peta minda. Tetapi langkah ini selalunya rajin dilakukan oleh pelajar perempuan. Ini yang saya dengar daripada pengakuan dari pelajar lelaki sendiri. Benarkah? Saya juga kurang pasti.

Kadang-kadang kita berasa leceh untuk membuat jadual, peta minda, melukis dan sebagainya. Tetapi saya fikir ini adalah proses untuk kita memahamkan sesuatu ilmu. Ilmu itu bukan hanya diperoleh secara membaca sahaja tetapi mesti disertai dengan usaha-usaha yang boleh membantu diri kita untuk mengingat dan faham.

Membaca pula saya bahagikan kepada dua. Yang pertama ialah pembacaan yang kosong dan yang kedua ialah pembacaan yang bermakna. Pembacaan yang kosong ialah pembacaan tanpa kehadiran hati dan fikiran. Erti kata lain adalah membaca tanpa berfikir dengan kritis. Manakala pembacaan yang bermakna adalah yang disertai dengan usaha berfikir.

Kemudian, saya juga merasakan bahawa melihat atau review kembali apa yang telah diulangkaji itu tersangat penting. Lihat kembali dari muka surat awal yang telah kita ulangkaji, dan cuba imbas kembali apa yang kita faham.

Ini semua hanyalah proses kita belajar. Kita tidak boleh menganggap bahawa, wah! Sekali baca sudah boleh ingat. Tidak… Ia amat memerlukan pengulangan untuk beberapa kali. Kadang-kadang kita menganggap bahawa pembacaan pertama kita pasti akan membuahkan kefahaman. Sebenarnya, proses pembelajaran itu sangat panjang. Bukan sekali baca sudah faham dengan yakin. Rasanya sukar sekali. Selain itu, memperbaharui kefahaman juga penting di dalam proses menuntut ilmu.

Teliti itu sangat penting. Percayalah semakin kita meneliti sesuatu ilmu, maka hati menjadi semakin lapang kerana banyak ilmu yang meresap ke dalam jiwa. Inshaa Allah. Ini hanyalah sekadar perkongsian yang terkandung banyak kekurangan. Sekiranya ada lagi tips-tips yang ingin dikongsi, saya amat hargainya. Tajdidkanlah niat di dalam hati bahawa apa sebab kita menuntut ilmu? Adakah kerana peperiksaan atau kerana Allah s.w.t? Ini ialah persoalan yang seringkali disoal kepada penuntut ilmu, tetapi sejauh manakah kita memahami persoalan ini?

Kemudian, adakalanya subjek Biologi ini menuntut kita kepada hafalan. Nasihat saya pula, jangan menghafal kesemuanya sekaligus, tetapi bahagikan beberapa perkara kepada beberapa bahagian kecil. Apabila telah yakin dengan hafalan bahagian pertama, oleh itu bolehlah cuba menghafal bahagian kedua pula. Saya rasa ini lebih memudahkan.

Jangan pula tersalah tentang konsep menghafal ini. Kita bukanlah menghafal semata-mata untuk menjawab kuiz atau peperiksaan, tetapi kerana benar-benar sayang akan ilmu tersebut dan mahu ianya betul-betul melekat ke dalam fikiran.

Terakhir sekali adalah yakinlah dengan Allah s.w.t dan bertawakallah kepada-Nya. Kerana hanya Dia sahaja yang akan memberkati ilmu yang kita pelajari ini. Apa gunanya ilmu itu andai tiada keberkatan dari-Nya. Lain orang lain caranya dan saya hanya sekadar berkongsi. Apa kata sahabat sekalian? Marilah kita turut sama berkongsi.

Jiwa yang Lemah, Berserahlah kepada Allah

Standard

Di saat diri dirundung masalah, kesedihan dan di saat kita merasakan bahawa hal yang ditangisi itu tiada kesudahannya, maka percayalah di kala itu, Allah s.w.t ada bersamamu sedang menguji ketabahan hamba-Nya, mahu melatih hamba-Nya menjadi seorang yang yang sabar.

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” (Al-Mulk : 2)

Apabila segala usaha tidak berhasil selepas cubaan demi cubaan, maka jawapannya ada pada Allah, bukan pada kita. Apabila sudah temui jalan buntu dan tidak nampak akan penyelesaiannya, percayalah jawapan itu ada tetapi tersirat dari pengetahuanmu. Allah ada rahsia yang besar untukmu.

Ketika dirimu sedang menangis teresak-esak, dan emosi yang maha dahsyat menyelubungi dirimu yang kekalutan melawan kesedihan, di saat itu janganlah lakukan apa-apa keputusan kerana otak tidak mampu berfikir dengan waras apabila emosi menguasai diri. Sebaliknya duduk, diam, kosongkan fikiran, beristghfar, berdoa dan bertawakal kepada Allah s.w.t. Tatapilah ayat-ayat cinta dari Allah s.w.t buat hamba-Nya iaitu Al-Quran. Sungguh ayat-ayat cinta itu terkandung segenap penawar, keindahan karangan Allah s.w.t itu mendamaikan jiwa yang kelana, petunjuk buat hati yang buta. Kawallah kesedihan itu seperti orang yang mempunyai iman.

Di ketika itu, berserah sahaja kepada Allah kerana di saat itu diri kita tersangat lemah. Tidak dinamakan ujian sekiranya ia tidak berat dan tidak benar-benar menguji. Dan seluruh jiwa yang hidup pasti tidak akan terlepas dari ujian. Percayalah, hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu akan solusinya.

Adakalanya kita bertanya pada Tuhan yang Menciptakan,mengapa semua itu terjadi kepada diri kita yang tidak berdaya ini. Ya, benar kita akan bertanyakan sedemikian kerana kita merasakan keperitan yang tidak tertanggung apabila kesedihan melanda diri. Dan jangan lupa, kita hanyalah manusia yang lemah. dan jangan lupa juga, kita ialah hamba-Nya yang Esa.

Ya, itulah kata kuncinya. ‘Kita ialah hamba’. Kita milik Allah yang satu. Oleh itu, siapa kita untuk mempersoalkan urusan Dia. Selagi lagi, solusinya adalah serahkan kesedihan itu kepada-Nya, akui kelemahan diri dihadapan-Nya. Allah tahu segala-galanya…

Berbicaralah dengan Allah s.w.t

Di saat dirundung kesedihan, jangan kita berbicara dengan diri kita kerana kita akan berkomunikasi dengan emosi yang menguasai jiwa kita. Sebaliknya, berdialoglah dengan Allah bahawa ” Ya Allah, aku ingin berbicara denganMu. Dengarkanlah rintihan hatiku ini..” . Allah sahaja yang Maha Mendengar. Percayalah wahai teman, di saat itu diri kita sendiri juga turut mengakui dan berfikir bahawa tiada siapa yang dapat membantu lagi. Maka apabila fikiran itu hadir, dengan cepat tangkislah ia dengan keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t.

“Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!” (Al-Mulk:14)

Akui Kelemahan Diri

Apabila kita sedang lemah, apabila tidak tertanggung jiwa yang pasrah, hati yang berkaca, jasad yang terbeban, maka akuilah kelemahan itu pada yang Maha Kuat. Bukannya kita mengakui diri kita ini kuat di saat kita lemah kerana adakalanya mindset sebegitu tidak dapat membantu. Mengapa? Kerana jasad, fikiran dan jiwa kita berada di dalam kelemahan. Oleh itu, mana mungkin diri sendiri mengaku mahu menjadi kuat.

Hebatnya Kasih Sayang Allah

Sebaliknya hadirkanlah kelemahan itu dihadapan-Nya, kerana Allah akan alirkan kekuatan demi kekuatan dengan penuh kasih sayang-Nya kepada kita. Subhanallah! Di saat itu, organ-organ di dalam badan seolah-olah sedang kembali berfungsi dengan baik, aliran darah dirasakan mengalir dengan sempurna, air mata yang hangat yang mengalir bertukar kedinginan lalu mendamaikan jiwa yang resah dan gundah. Seolah-olah otot dan urat saraf mempunyai kekuatan yang luar biasa untuk meneruskan hidup.

Biarkan air mata itu mengalir

Biarkan air matamu mengalir. Kerana di suatu saat, ia akan berhenti dengan sendirinya tanpa mahu mengalir lagi. Air mata yang mengalir itu, sebenarnya sedang membasuh luka-luka yang parah di dalam hati. Air mata meluahkan isi hati yang menekan jiwa. Kerana ada ketikanya mulut membicarakan tetapi hati menafikan. Sedangkan, selagi yang terkurung di dalam hati itu tidak diluahkan, maka ia akan terus melukakan hati menjadi tenat.

Jangan ditahan-tahan kerana suatu ketika, yang ditahan itu akan mengalir juga ke pipi, lalu mengembalikan kesedihan yang disekat-sekat. Malah, mungkin aliran air mata itu, bukan lagi seperti air terjun yang meluncur laju, tetapi seperti geiser dan lava yang memuntahkan segala isi di dalamnya, lalu memusnahkan segala yang ada di sekelilingnya.

Maka, berserahlah kepada Allah yang lebih Mengetahui. Di situlah adanya keimanan kerana manusia yang beriman hanya lemah di hadapan tuhannya, Tetapi di mata manusia, dia seorang yang gagah. Rasulullah s.a.w (selawat ke atas junjungan) utusan yang agung lebih dahsyat ujian yang ditimpakan ke atas baginda. Subhanallah! Tetapi bagindalah manusia yang paling beriman, bertaqwa dan penyabar! Allahuakbar….