Tag Archives: kahwin semasa belajar

Jodoh itu Rahsia, Jalannya Cuma Doa

Standard

Jodoh itu rahsia… itulah entry saya sebelum saya diijabkabulkan, juga sebelum saya mengenali jodoh saya dan sebelum saya mengetahui bahawa dialah jodoh saya. Benar, saya mengenali suami saya setelah kami bernikah. Sebelum itu dia bukan siapa-siapa bagi saya.

Rasanya sudah 11 bulan saya dan suami mendirikan rumahtangga. Pahit dan manis menjadi lumrah dalam kehidupan kami sebagai suami isteri. Ketabahan yang jitu saya pohonkan kepada tuhan saban hari untuk mengenali pasangan yang baru kukenal setelah bernikah dengannya. Baik dan buruknya kucuba terima seeadanya.

Beberapa sahabat bertanya kepada saya dengan pelbagai soalan tentang jodoh yang adakalanya tidak mampu saya berikan jawapannya dengan tepat. Jawabnya kerana jodoh itu rahsia dari Allah. Saya juga tidak tahu siapa jodoh saya sebelum saya bernikah. Malah segalanya berjalan dengan begitu cepat tanpa sempat saya mengenali bakal suami saya sebelum kami bernikah. Tambahan lagi segalanya berlaku dengan pantas sehinggakan saya tidak ingat akan tarikh dia datang kerumah saya, bila dia melamar saya, bila dia menelefon ayah saya. Segalanya berlalu dengan pengaturan dari Allah. Malah mungkin juga diluar pengetahuan saya bagaimana ia disusun.

Soalan yang pernah saya terima daripada seorang teman, “Adilah, bagaimana awak yakin bahawa dialah jodoh awak?

Jawab saya, “Saya sentiasa menjadikan solat sunat istikharah sebagai amalan saya setiap hari. Saya lakukannya bukan kerana ingin mencari jodoh, tetapi agar urusan saya pada setiap hari malah untuk hal-hal yang rumit dan menyulitkan itu dipemrudahkan oleh Allah Azzawajalla. Itu sahaja. Saya tidak yakin dengan bakal suami saya, saya cuma yakin dengan Allah. Andai benar dia jodoh saya, maka itu sahajalah yang terbaik. Tiada apa yang perlu saya pertikaikan lagi. Saya benar-benar meletakkan kebergantungan saya kepada Allah. Andai akad nikah itu berlaku maka dialah yang tercipta untuk saya. Tawakal dan doa yang menjadi penawar.”

Amalan sunat istikharah itu membuatkan saya yakin akan segala-galanya dan meletakkan kebergantungan hanyalah kepada-Nya. Sebelum dia melamar saya, saya sudah bermimpikan suami saya beberapa kali. Saya bermimpi dia menyelamatkan saya daripada bahaya. Walaubagaimanapun,saya tidak menjadikan alasan mimpi itu sebagai alasan untuk saya bernikah dengannya. Sebaliknya saya serahkan segalanya kepada Allah yang Esa. Malah ketika kali pertama saya melihat suami saya sebelum kami bernikah, ada suatu perasaan aneh yang muncul dalam diri saya. Tetapi itu juga tidak membuatkan saya yakin bahawa dia jodoh saya sebelum kami bernikah. Perasaan itu hadir hampir setahun tanpa suami saya sendiri mengetahui apa-apa sehinggalah dia sendiri meluahkan hasrat di hatinya.

Oleh itu, saya rasa bagi sahabat yang merasa ragu-ragu atau resah memikirkan soal jodoh, perbanyakkan amalan sunat istikharah dan teruskan berdoa memohon agar Allah permudahkan segalanya serta mendekatkan diri dengan Allah pada setiap masa agar diri kita tidak mudah termakan dengan hasutan syaitan yang selalu membisikkkan.

Ada juga sahabat yang datang bertanyakan, “Bagaimana mahu yakinkan ibu dan ayah bahawa kita sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga?”

Soalan ini merupakan soalan yang sukar untuk saya jawabkan. Hal ini kerana segalanya berubah di saat jodoh saya telah sampai. Sebelum itu, ibu dan ayah sangat bertegas melarang saya berkahwin ketika masih belajar. Tambahan pula masih berbaki 3 tahun lagi untuk saya menamatkan pengajian saya dalam peringkat ijazah. Tetapi apabila saya memberitahu abah bahawa ada seorang lelaki dari kelas saya ingin menjadikan saya sebagai seorang isteri, abah terus berkata, “Kalau dia betul-betul serius, bolehlah hubungi abah, boleh abah kenal-kenal dengan dia.” Saya sendiri terkejut dengan jawapan daripada abah. Apabila suami saya menelefon abah saya, sebelum itu dia sudah merangka skrip untuk bercakap dengan abah saya. Tetapi katanya, dia tidak perlukan langsung skrip itu kerana segalanya begitu mudah sekali apabila berbicara dengan abah. Abah sangatlah baik dan lembut dalam menutur katanya. Cuma pada mulanya ibu sangat tidak bersetuju. Ibu muram dan bersedih pada awalnya. Tetapi abah yang selalu memujuk emak agar redha bahawa jodoh saya telah sampai. Abah selalu menasihati emak bahawa segala yang berlaku adalah atas perancangan daripada Allah dan kita tiada hak untuk menghalangnya. Dan abah juga menasihati emak agar tidak bersedih sebaliknya merestui perkahwinan yang bakal berlangsung kerana saya tetap anak emak dan sudah tentu emak mahukan yang terbaik untuk anaknya.

Ada juga sahabat bertanya, “Bagaimana kalau saya bermimpikan seseorang sedangkan orang itu ialah orang yang saya tidak suka. Saya sudah mempunyai pilihan saya sendiri yang saya rasakan dia mempunyai matlamat yang sama dengan saya, dan saya rasa dia lebih sekufu dengan saya berbanding lelaki yang di dalam mimpi saya itu.”

Jawab saya mudah saja, dia yang kita kenal sebelum bernikah tidak sama selepasnya. Dia yang kita sangkakan terbaik untuk kita belum tentu yang terbaik yang Allah janjikan untuk kita. Alam perkahwinan itu ialah satu alam yang berbeza sebelum kita masih di zaman bujang. Segalanya tidak serupa kerana di situlah tanggungjawab kita diuji, keikhlasan kita dalam memberikan kasih sayang…

Oleh itu, perbanyakkan berdoa agar segalanya dipermudahkan oleh-Nya. Dialah yang mengetahui segalanya berbanding kita manusia yang lemah dan kerdil ini. Doa itulah senjata orang mukmin yang paling berkesan. Doa juga penawar yang paling mujarab untuk segala kesakitan.

Banyak lagi yang ingin saya kongsikan. Tetapi kesihatan yang tidak mengizinkan membuatkan saya berhenti di sini saja. Maafkan saya. Doakan saya sentiasa sihat ketika mengandungkan seorang insan yang bakal lahir ke dunia ini.

Advertisements

Istikharah: Allah Sentiasa Mendengar

Standard

7 Jun 2014 ialah hari aku bertukar status daripada single kepada married.  Ketika usia 21 tahun.=)))

10410841_750447958340896_5885437523853854409_n

Aku mengenali suamiku ketika sama-sama satu kumpulan makmal pada semester satu dahulu. Hanya kenalan. Kali pertama melihatnya sebenarnya hatiku rasa sesuatu yang aneh yang aku sendiri tidak pasti. Terasa berdebar-debar yang terlalu luar biasa. Melihatnya membuatkan hatiku tidak keruan.

Selama setahun aku memendam rasa itu yang aku sendiri tidak pasti. Ini kerana ketika itu aku sudah mempunyai ikatan dengan orang lain. Begitu juga dengan dirinya. Suamiku sendiri tidak tahu apa-apa tentang perasaanku. Jadi aku sedaya upaya membuang perasaan itu semampu yang mungkin. Tetapi sukar sekali. Muhammad Anuar ini sentiasa bermain dihati. Ketika itu yang kutahu bukan aku dihatinya.

Sejak itu aku tidak putus menunaikan solat sunat istikharah meminta supaya Allah berikan petunjuk buatku. Kerana kuterlalu bingung dengan perasaan sendiri. Pada mulanya aku berfikir barangkali mungkin perasaan terhadap suamiku ketika itu hanyalah mainan syaitan semata-mata. Yang ingin merosakkan ikatanku dengan orang lain ketika itu. Jadi ku berusaha untuk membuang perasaan pada suamiku ketika itu.

Selama setahun aku memendam rasa, tiada seorangpun yang tahu apa yang bermain di hatiku. Termasuklah suamiku ketika itu. Dia langsung tidak tahu bahawa aku benar-benar merasakan sesuatu terhadap dirinya. Hanya pada Allah sahajalah aku mengadu. Sahabat baikku sendiri tidak tahu menahu.

Pada ketika itu aku telah mempunyai ikatan dengan orang lain. Oleh itu aku berusaha untuk menempis perasaanku terhadap suamiku ketika itu memandangkan dia sendiri tidak tahu menahu. Dan kujuga tahu dia turut mempunyai ikatan dengan orang lain.

Setiap kali istikharah dilakukan, pastiku kan bermimpi wajah suamiku. Adakalanya bermimpi dia datang menolongku dari bencana bahaya yang menimpaku. Allahu Akbar. Aku benar-benar bingung dengan mimpi-mimpi itu. Selama itu juga aku mendiamkan diri.

Selamaku kenal suamiku, dia sendiri tidak mempunyai nombor telefonku. Begitu juga aku turut tidak mempunyai apa-apa medium yang membolehkan kami berhubung. Kami hanya berkomunikasi di makmal sebagai teman sekumpulan. Tidak lebih dari itu. Jika ada apa-apa yang perlu disampaikan aku akan meminta rakan sekumpulan lain untuk sampaikan berkenaan buku laporan atau apa-apa masalah berkenaan laporan ujikaji kepadanya.

Tambahan pula aku seorang perempuan yang memakai purdah membuatkan dia tidak berani untuk mendekati diriku. Memang aku sengaja tidak mahu meberikan nombor telefonku kepada mana-mana lelaki kerana mahu menjaga diri.

Sehinggalah suatu hari aku sangat-sangat memerlukan perkhidmatan sewa kereta dan kutahu bahawa suamiku ada menyediakannya. Lalu aku meminta nombornya daripada seorang teman sekelas. Di saat itulah aku mempunyai nombor bimbitnya.

Beberapa hari selepas aku menyewa keretanya, suamiku menghantar mesej kepadaku dengan soalan yang cepumas yang membuatkan jiwaku tidak keruan dan berdebar-debar. Hampir pengsan aku dibuatnya.

“Adilah, awak sudah berpunya atau belum?”

Sungguh ketika itu aku tidak tahu bagaimana harus kujawab pertanyaanya. Lalu kumemikirkan bahawa aku sudah mempunyai ikatan dengan orang lain walau tidak rasmi. Jawapan yang kuberikan kepadanya ialah “YA”. Aku menjawab sedemikian dalam keadaan tidak rela kerana hatiku amat menyukainya kerana hampir setiap hari dia hadir di dalam hatiku tanpaku pinta. Dan dia sentiasa hadir di dalam mimpiku tanpa kuharapkan.

Soalannya itu bagaikan mimpi jadi kenyataan. Bagai angan-angan jadi realiti. Sungguh tidak menyangka. Ketika itu aku tahu suamiku telah mempunyai ikatan dengan orang lain sebelum ini yang juga kawan rapatku sendiri. Kawanku itu juga selalu menceritakan kisahnya dengan suamiku ketika itu. Tidakku sangka dia yang diceritakan oleh kawanku itulah jodohku.

Selepas suamiku tahu bahawa aku telah mempunyai orang lain, dia tetap tidak berputus asa. Dia terus memujukku kerana dia yakin bahawa aku adalah jodohnya. Setiap hari aku terpaksa melihat dirinya yang sentiasa bermuram. Sedih yang kurasa ketika itu sedangkan akulah yang menolaknya.

Setiap kali aku teringatkannya aku akan sentiasa beristighfar dan adakalanya air mataku berguguran mengalir setiap kaliku berdoa kerana perasaan itu terlalu dalam sehingga aku sendiri tidak dapat meneka apa yang sedangku rasa.

Aku juga berusaha menjauhi dirinya sehingga aku menukar nombor telefon baru dan bloknya di facebook. Sehingga tiada lagi jalan untuk dia berhubung denganku. Sebulan berlalu, aku berusaha menjauhi suamiku. Selama itu jugalah Allah memberikan pelbagai ujian di dalam hubunganku dengan orang lain pada ketika itu sehingga aku terpaksa memutuskan ikatan yang sedia ada. Pada ketika itu aku sudah tidak sanggup menanggung beban menipu perasaanku sendiri bahawa aku tersangat menyukai suamiku di saat itu.

Aku telah menolak seseorang yang seringkali diberi petunjuk oleh Allah. Yang selalu hadir di dalam mimpiku. Akhirnya kugagahkan diri untuk menghantar mesej kepada suamiku bahawa kuterimanya sebagai jodohku. Malu sangat menebal. Hatiku berdegup kencang. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan menyerahkan segalanya. Kuterfikir pada ketika itu, andai terjadi perkahwinan itu maka dialah jodoh yang terbaik buat diriku.

Rupa-rupanya perasaan aneh yang wujud dalam diriku sebelum ini terhadap suamiku adalah kerana dia jodohku yang kunantikan selama ini. Perasaan yang tiada siapapun tahu melainkan Allah s.w.t.

Bercinta selepas nikah tersangat indah. Kubersyukur kerana dapat mengenali suamiku selepas diijabkabulkan. Kubersyukur kerana dapat mencintai suamiku selepas nikah.

Istikharah cintaku kini berakhir dan menemui jawapan. Sebelumku menerima suamiku, pelbagai perkara bermain dihatiku. Ku terfikir, selama ini aku berdoa agar Allah memberikanku petunjuk akan siapa jodohku dan Allah telah tunaikan. Hatiku sentiasa tergerak ke arah suamiku. Oleh itu mengapa aku mahu menidakkan doaku sendiri?

Aku juga berdoa agar Allah mempercepatkan jodohku. Dan Allah telah mempertemukanku dengan seseorang yang benar-benar ingin mengahwiniku. Jadi mengapaku ingin menolak?

Ketika itu aku telah menanggung sakit sudah bertahun-tahun. Jadi kuterfikir ingin mempunyai seseorang di sampingku yang boleh menjagaku.

Aku juga pinta kepada Allah agar apabila jodohku telah sampai semoga hati ibu dan ayahku akan terbuka untuk membenarkan aku berkahwin ketika masih belajar dan Allah telah tunaikan juga perkara itu. Hati ibu ayahku yang selama ini tertutup yang berkeras menghalangku berkahwin terbuka dengan senang apabila mengenali suamiku. Walaupun belum bersemuka dan hanya mendengar suara, ayahku terus terpaut padanya. Membuatkanku benar-benar yakin untuk menerimanya.

Tidakku sangka semudah ini jodohku dengan suamiku sedangkan sebelum ini pelbagai rintangan dan dugaan menimpa aku ketika mempunyai ikatan dengan orang lain. Ada saja halangan yang terpaksa kutempuhi. Tetapi dengan suamiku ini, segalanya berlangsung dengan mudah. Segala yang dirancang berjalan dengan lancer. Tempoh pengenalan kami juga terlalu singkat yang diakhiri dengan ikatan perkahwinan. Kini dia yang hanya kawan sekelas sudah menjadi suamiku. Dia yang sebelum ini kucuba jauhi kini menjadi teman hidupku.

Tidak pernahku sangka jodohku adalah dengan Muhammad Anuar bin Razali. Seorang lelaki yang rajin, yang tidak kisah membantu orang lain kini menjadi suamiku. Yang selalu bertanya di dalam kelas itulah suamiku. Yang menjual laicikang di UIA itulah jodohku. =) =) =)

“Abang, sayang terima abang seadanya.”

63651_750443518341340_7402658264478703525_n