Tag Archives: jodoh itu rahsia

Jodoh itu Rahsia, Jalannya Cuma Doa

Standard

Jodoh itu rahsia… itulah entry saya sebelum saya diijabkabulkan, juga sebelum saya mengenali jodoh saya dan sebelum saya mengetahui bahawa dialah jodoh saya. Benar, saya mengenali suami saya setelah kami bernikah. Sebelum itu dia bukan siapa-siapa bagi saya.

Rasanya sudah 11 bulan saya dan suami mendirikan rumahtangga. Pahit dan manis menjadi lumrah dalam kehidupan kami sebagai suami isteri. Ketabahan yang jitu saya pohonkan kepada tuhan saban hari untuk mengenali pasangan yang baru kukenal setelah bernikah dengannya. Baik dan buruknya kucuba terima seeadanya.

Beberapa sahabat bertanya kepada saya dengan pelbagai soalan tentang jodoh yang adakalanya tidak mampu saya berikan jawapannya dengan tepat. Jawabnya kerana jodoh itu rahsia dari Allah. Saya juga tidak tahu siapa jodoh saya sebelum saya bernikah. Malah segalanya berjalan dengan begitu cepat tanpa sempat saya mengenali bakal suami saya sebelum kami bernikah. Tambahan lagi segalanya berlaku dengan pantas sehinggakan saya tidak ingat akan tarikh dia datang kerumah saya, bila dia melamar saya, bila dia menelefon ayah saya. Segalanya berlalu dengan pengaturan dari Allah. Malah mungkin juga diluar pengetahuan saya bagaimana ia disusun.

Soalan yang pernah saya terima daripada seorang teman, “Adilah, bagaimana awak yakin bahawa dialah jodoh awak?

Jawab saya, “Saya sentiasa menjadikan solat sunat istikharah sebagai amalan saya setiap hari. Saya lakukannya bukan kerana ingin mencari jodoh, tetapi agar urusan saya pada setiap hari malah untuk hal-hal yang rumit dan menyulitkan itu dipemrudahkan oleh Allah Azzawajalla. Itu sahaja. Saya tidak yakin dengan bakal suami saya, saya cuma yakin dengan Allah. Andai benar dia jodoh saya, maka itu sahajalah yang terbaik. Tiada apa yang perlu saya pertikaikan lagi. Saya benar-benar meletakkan kebergantungan saya kepada Allah. Andai akad nikah itu berlaku maka dialah yang tercipta untuk saya. Tawakal dan doa yang menjadi penawar.”

Amalan sunat istikharah itu membuatkan saya yakin akan segala-galanya dan meletakkan kebergantungan hanyalah kepada-Nya. Sebelum dia melamar saya, saya sudah bermimpikan suami saya beberapa kali. Saya bermimpi dia menyelamatkan saya daripada bahaya. Walaubagaimanapun,saya tidak menjadikan alasan mimpi itu sebagai alasan untuk saya bernikah dengannya. Sebaliknya saya serahkan segalanya kepada Allah yang Esa. Malah ketika kali pertama saya melihat suami saya sebelum kami bernikah, ada suatu perasaan aneh yang muncul dalam diri saya. Tetapi itu juga tidak membuatkan saya yakin bahawa dia jodoh saya sebelum kami bernikah. Perasaan itu hadir hampir setahun tanpa suami saya sendiri mengetahui apa-apa sehinggalah dia sendiri meluahkan hasrat di hatinya.

Oleh itu, saya rasa bagi sahabat yang merasa ragu-ragu atau resah memikirkan soal jodoh, perbanyakkan amalan sunat istikharah dan teruskan berdoa memohon agar Allah permudahkan segalanya serta mendekatkan diri dengan Allah pada setiap masa agar diri kita tidak mudah termakan dengan hasutan syaitan yang selalu membisikkkan.

Ada juga sahabat yang datang bertanyakan, “Bagaimana mahu yakinkan ibu dan ayah bahawa kita sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga?”

Soalan ini merupakan soalan yang sukar untuk saya jawabkan. Hal ini kerana segalanya berubah di saat jodoh saya telah sampai. Sebelum itu, ibu dan ayah sangat bertegas melarang saya berkahwin ketika masih belajar. Tambahan pula masih berbaki 3 tahun lagi untuk saya menamatkan pengajian saya dalam peringkat ijazah. Tetapi apabila saya memberitahu abah bahawa ada seorang lelaki dari kelas saya ingin menjadikan saya sebagai seorang isteri, abah terus berkata, “Kalau dia betul-betul serius, bolehlah hubungi abah, boleh abah kenal-kenal dengan dia.” Saya sendiri terkejut dengan jawapan daripada abah. Apabila suami saya menelefon abah saya, sebelum itu dia sudah merangka skrip untuk bercakap dengan abah saya. Tetapi katanya, dia tidak perlukan langsung skrip itu kerana segalanya begitu mudah sekali apabila berbicara dengan abah. Abah sangatlah baik dan lembut dalam menutur katanya. Cuma pada mulanya ibu sangat tidak bersetuju. Ibu muram dan bersedih pada awalnya. Tetapi abah yang selalu memujuk emak agar redha bahawa jodoh saya telah sampai. Abah selalu menasihati emak bahawa segala yang berlaku adalah atas perancangan daripada Allah dan kita tiada hak untuk menghalangnya. Dan abah juga menasihati emak agar tidak bersedih sebaliknya merestui perkahwinan yang bakal berlangsung kerana saya tetap anak emak dan sudah tentu emak mahukan yang terbaik untuk anaknya.

Ada juga sahabat bertanya, “Bagaimana kalau saya bermimpikan seseorang sedangkan orang itu ialah orang yang saya tidak suka. Saya sudah mempunyai pilihan saya sendiri yang saya rasakan dia mempunyai matlamat yang sama dengan saya, dan saya rasa dia lebih sekufu dengan saya berbanding lelaki yang di dalam mimpi saya itu.”

Jawab saya mudah saja, dia yang kita kenal sebelum bernikah tidak sama selepasnya. Dia yang kita sangkakan terbaik untuk kita belum tentu yang terbaik yang Allah janjikan untuk kita. Alam perkahwinan itu ialah satu alam yang berbeza sebelum kita masih di zaman bujang. Segalanya tidak serupa kerana di situlah tanggungjawab kita diuji, keikhlasan kita dalam memberikan kasih sayang…

Oleh itu, perbanyakkan berdoa agar segalanya dipermudahkan oleh-Nya. Dialah yang mengetahui segalanya berbanding kita manusia yang lemah dan kerdil ini. Doa itulah senjata orang mukmin yang paling berkesan. Doa juga penawar yang paling mujarab untuk segala kesakitan.

Banyak lagi yang ingin saya kongsikan. Tetapi kesihatan yang tidak mengizinkan membuatkan saya berhenti di sini saja. Maafkan saya. Doakan saya sentiasa sihat ketika mengandungkan seorang insan yang bakal lahir ke dunia ini.

Advertisements

JODOH itu RAHSIA

Standard

Seperti kata-kata seorang alim, DUNIA seperti seorang musafir yang berkelana di sebuah padang pasir. Apabila terjumpa sepohon pokok, dia singgah berteduh di situ kemudian berlalu pergi. DUNIA hanya sementara.. Yang kekal ialah akhirat yang abadi.

Sambil memicit-micit kepalanya yang sakit, Hani gagahi juga untuk menelaah nota Microbiology di dalam makmal komputer pada petang itu. Di saat kawan-kawan sekelasnya khusyuk dengan agenda masing-masing, berfacebooking, mendengar muzik,dan sebagainya, Hani memilih untuk mengulangkaji pelajaran.

“Rahsia..”

Masih terngiang-ngiang lagi di telinganya akan kata-kata seorang kakak senior yang rapat dengannya. Hani cuba mengingati setiap bait kata-kata Kak Aisyah dengan teliti.

“ Jodoh ini rahsia Allah. Disebabkan ia rahsia, sebab itulah Allah ingin menguji kita sama ada kita menjadi orang yang sabar atau tidak, seorang yang menjaga hati atau tidak, seorang yang memelihara batas-batas pergaulan atau tidak. Allah mahu menguji sama ada kita ini menjadi seorang hamba yang fokus kepada ibadah kepada Allah atau kepada sesuatu yang tidak pasti yang bersifat keduniaan.”

“ Jodoh ini hanya Allah sahaja yang tahu. Daripada Hani membazir masa mengotorkan hati memikirkan lelaki yang belum tentu jodoh Hani, lebih baik Hani fokus kepada hubungan Hani dengan Allah s.w.t.”

“ Apabila jodoh Hani telah sampai, tanpa perancangan Hani, Allah sendiri yang akan aturkan. Jadi buat apa kalau Hani tahu perasaan seorang lelaki terhadap Hani sekalipun sedangkan Allah taala mungkin telah aturkan jodoh Hani 4 atau 5 tahun akan datang. Jadi tiada gunanya Hani mengetahui perasaan seorang lelaki kepada Hani pada waktu ini. Serahkan segalanya kepada Allah. Biar Allah yang aturkan.”

Nasihat yang paling menusuk jiwanya  dari Kak Aisyah ialah..

483231_407834762606863_801051659_n

“ Untuk tujuan apa Hani perlu tahu perasaan lelaki terhadap Hani sedangkan dia masih belum menjadi suami Hani. Kalau dia menyatakan perasaan dia terhadap Hani sekarang tetapi tempoh untuk berkahwin itu masih lambat maka Allah akan menarik sedikit nikmat cinta dan sayang itu dari Hani.”

“ Ianya ibarat apabila seseorang itu sudah memiliki seutas jam tangan. Tetapi suatu hari ketika dia keluar membeli belah di sebuah pusat membeli belah, dia terlihat satu jam tangan ini dan dia sangat berkenan pada jam tersebut lalu membelinya. Sedangkan dia sudah memiliki jam. Mengapa tidak bersabar dan terlalu mencintai habuan dunia sedangkan mana tahu Allah telah menyimpan seutas jam tangan yang lebih cantik di syurga nanti berkat kesabarannya yang tidak tamak dengan keindahan dunia.”

Hani mengangguk-ngangguk tanda setuju dengan nasihat Kak Aisyah. Baru dia sedar bahawa soal hati ini perlu diserahkan kepada Allah. Sekiranya kita sendiri yang menguruskan masalah hati ini, maka ia akan bercampur dengan hawa nafsu dan keinginan dunia yang sementara ini.

RAHSIA.

Mati juga RAHSIA. Mati itu sudah pasti. Mengapa tidak mempersiapkan diri untuk itu? Mengapa sibuk memikirkan soal jodoh yang belum pasti lagi ada di dunia ini atau di akhirat nanti sedangkan MATI itu pasti sekali akan tiba di dunia ini.

1menunggumu

“Kak Aisyah, saya tengok orang yang bercinta itu mesti akan selalu berhubung. Malah ada juga cinta Islamik. Bukankah apabila lelaki dan perempuan itu saling berhubung danbelum ada ikatan yang sah, ia tetap akan menganggu hati dan susah untuk menjaganya apatah lagi menjaga hubungan dengan Allah.”

“ Betullah tu… Akak juga tidak faham orang yang cinta Islamik ini. Sedangkan cinta yang halal itu hanya untuk suami kita nanti sahaja. “

“Lelaki yang Hani kenal ini dia langsung tidak menghubungi Hani, dia tidak mesej Hani atau berbincang dengan Hani. Tetapi dia pernah berjumpa dengan ibu dan ayah Hani dan menyatakan hasrat di hatinya.”

“ Betullah apa yang lelaki itu lakukan. Hani, Hani mahu ke menjadi seperti orang yang selalu berhubung itu? Yang tidak menjaga batas-batas syariat? “

Hani menggeleng..

“Walaupun dia dah datang berjumpa dengan ibu dan ayah Hani, dia tetap masih belum sah untuk Hani berhubung dengannya. Dan jodoh Hani dengannya masih lagi menjadi rahsia Allah. Barangkali dia bukan jodoh yang Hani harapkan. Sebaiknya sekali lagi Kak Aisyah mahu berpesan, Hani tumpukanlah pada hubungan Hani dengan Allah.”

“ Tambahan lagi, Allah dah berfirman bahawa perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan sebaliknya. Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Kalau Hani seorang perempuan yang solehah, tak kanlah Allah nak beri lelaki yang jahat pula untuk Hani. Sudah tentu lelaki yang baik juga. Oleh itu, Hani tidak perlu memeningkan kepala memikirkan soal jodoh. Apabila sampai waktunya, ia akan sampai dan Allah akan sampaikan seseorang yang sesuai dengan kita.”

Hani diam sahaja sambil mengiakan kata-kata Kak Aisyah.

“ Tapikan Kak Aisyah, ramai kawan-kawan Hani yang apabila dia menyukai seorang lelaki yang baik, dia terus mahu beriktiqad untuk jadi baik seperti lelaki dan mencontohi lelaki itu juga supaya layak bersama dengan lelaki tersebut sebab berdasarkan firman Allah bahawa kalau mahu memiliki lelaki yang soleh, perlu menjadi soleh dahulu..”

“ Betul. Mahu berubah menjadi baik itu memang bagus. Tetapi, niat itu yang salah kerana mahu berubah semata-mata kerana manusia. Kerana melihat lelaki itu sebagai idola dan memujanya kerana dia baik. Sedangkan Rasulullah yang merupakan lelaki yang paling baik akhlaknya yang telah berjuang untuk umatnya, kenapa tidak disanjungi dan dicontohi? Kenapa perlu mencontohi lelaki yang bukan muhrim yang sedikit sebanyak akan mengganggu hati kita. Sedangkan rasulullah ikon sepanjang zaman.”

“ Manusia mampu memilih. Tetapi mengapa tidak memilih yang terbaik? Yakni Rasulullah. Lainlah yang mahu kita contohi itu ialah suami kita sendiri. Apabila telah berkahwin nanti, suami kita seorang yang rajin membaca Al-Quran, maka tidak salah untuk kita menyanjungi dirinya dan mencontohi perbuatannya itu.”

Hani terkesima. Benar.

Rasulullah junjungan teragung yang sempurna akhlak dan ibadahnya. Kenapa kita tidak menjadikan rasulullah sebagai tauladan. Kenapa perlu kita jadikan lelaki yang bukan muhrim sebagai ikutan? Sedangkan kita tidak tahu syurga atau neraka bagi lelaki yang kita sanjungi itu sedangkan kita telah pasti bahawa Rasulullah adalah ahli syurga yang abadi.

Jagalah hati. In shaa Allah Allah akan temukan kita dengan seorang lelaki yang menjaga hati juga. Jagalah batas pergaulan. In shaa Allah Allah akan jodohkan kita dengan seorang lelaki yang menjaga pergaulannya dengan permpuan juga. Peliharalah hubungan dengan Allah. Mudah-mudahan Allah akan memelihara kehidupan kita di dunia.

http://bit.ly/1mjtYdk