Tag Archives: istikharah

Istikharah: Allah Sentiasa Mendengar

Standard

7 Jun 2014 ialah hari aku bertukar status daripada single kepada married.  Ketika usia 21 tahun.=)))

10410841_750447958340896_5885437523853854409_n

Aku mengenali suamiku ketika sama-sama satu kumpulan makmal pada semester satu dahulu. Hanya kenalan. Kali pertama melihatnya sebenarnya hatiku rasa sesuatu yang aneh yang aku sendiri tidak pasti. Terasa berdebar-debar yang terlalu luar biasa. Melihatnya membuatkan hatiku tidak keruan.

Selama setahun aku memendam rasa itu yang aku sendiri tidak pasti. Ini kerana ketika itu aku sudah mempunyai ikatan dengan orang lain. Begitu juga dengan dirinya. Suamiku sendiri tidak tahu apa-apa tentang perasaanku. Jadi aku sedaya upaya membuang perasaan itu semampu yang mungkin. Tetapi sukar sekali. Muhammad Anuar ini sentiasa bermain dihati. Ketika itu yang kutahu bukan aku dihatinya.

Sejak itu aku tidak putus menunaikan solat sunat istikharah meminta supaya Allah berikan petunjuk buatku. Kerana kuterlalu bingung dengan perasaan sendiri. Pada mulanya aku berfikir barangkali mungkin perasaan terhadap suamiku ketika itu hanyalah mainan syaitan semata-mata. Yang ingin merosakkan ikatanku dengan orang lain ketika itu. Jadi ku berusaha untuk membuang perasaan pada suamiku ketika itu.

Selama setahun aku memendam rasa, tiada seorangpun yang tahu apa yang bermain di hatiku. Termasuklah suamiku ketika itu. Dia langsung tidak tahu bahawa aku benar-benar merasakan sesuatu terhadap dirinya. Hanya pada Allah sahajalah aku mengadu. Sahabat baikku sendiri tidak tahu menahu.

Pada ketika itu aku telah mempunyai ikatan dengan orang lain. Oleh itu aku berusaha untuk menempis perasaanku terhadap suamiku ketika itu memandangkan dia sendiri tidak tahu menahu. Dan kujuga tahu dia turut mempunyai ikatan dengan orang lain.

Setiap kali istikharah dilakukan, pastiku kan bermimpi wajah suamiku. Adakalanya bermimpi dia datang menolongku dari bencana bahaya yang menimpaku. Allahu Akbar. Aku benar-benar bingung dengan mimpi-mimpi itu. Selama itu juga aku mendiamkan diri.

Selamaku kenal suamiku, dia sendiri tidak mempunyai nombor telefonku. Begitu juga aku turut tidak mempunyai apa-apa medium yang membolehkan kami berhubung. Kami hanya berkomunikasi di makmal sebagai teman sekumpulan. Tidak lebih dari itu. Jika ada apa-apa yang perlu disampaikan aku akan meminta rakan sekumpulan lain untuk sampaikan berkenaan buku laporan atau apa-apa masalah berkenaan laporan ujikaji kepadanya.

Tambahan pula aku seorang perempuan yang memakai purdah membuatkan dia tidak berani untuk mendekati diriku. Memang aku sengaja tidak mahu meberikan nombor telefonku kepada mana-mana lelaki kerana mahu menjaga diri.

Sehinggalah suatu hari aku sangat-sangat memerlukan perkhidmatan sewa kereta dan kutahu bahawa suamiku ada menyediakannya. Lalu aku meminta nombornya daripada seorang teman sekelas. Di saat itulah aku mempunyai nombor bimbitnya.

Beberapa hari selepas aku menyewa keretanya, suamiku menghantar mesej kepadaku dengan soalan yang cepumas yang membuatkan jiwaku tidak keruan dan berdebar-debar. Hampir pengsan aku dibuatnya.

“Adilah, awak sudah berpunya atau belum?”

Sungguh ketika itu aku tidak tahu bagaimana harus kujawab pertanyaanya. Lalu kumemikirkan bahawa aku sudah mempunyai ikatan dengan orang lain walau tidak rasmi. Jawapan yang kuberikan kepadanya ialah “YA”. Aku menjawab sedemikian dalam keadaan tidak rela kerana hatiku amat menyukainya kerana hampir setiap hari dia hadir di dalam hatiku tanpaku pinta. Dan dia sentiasa hadir di dalam mimpiku tanpa kuharapkan.

Soalannya itu bagaikan mimpi jadi kenyataan. Bagai angan-angan jadi realiti. Sungguh tidak menyangka. Ketika itu aku tahu suamiku telah mempunyai ikatan dengan orang lain sebelum ini yang juga kawan rapatku sendiri. Kawanku itu juga selalu menceritakan kisahnya dengan suamiku ketika itu. Tidakku sangka dia yang diceritakan oleh kawanku itulah jodohku.

Selepas suamiku tahu bahawa aku telah mempunyai orang lain, dia tetap tidak berputus asa. Dia terus memujukku kerana dia yakin bahawa aku adalah jodohnya. Setiap hari aku terpaksa melihat dirinya yang sentiasa bermuram. Sedih yang kurasa ketika itu sedangkan akulah yang menolaknya.

Setiap kali aku teringatkannya aku akan sentiasa beristighfar dan adakalanya air mataku berguguran mengalir setiap kaliku berdoa kerana perasaan itu terlalu dalam sehingga aku sendiri tidak dapat meneka apa yang sedangku rasa.

Aku juga berusaha menjauhi dirinya sehingga aku menukar nombor telefon baru dan bloknya di facebook. Sehingga tiada lagi jalan untuk dia berhubung denganku. Sebulan berlalu, aku berusaha menjauhi suamiku. Selama itu jugalah Allah memberikan pelbagai ujian di dalam hubunganku dengan orang lain pada ketika itu sehingga aku terpaksa memutuskan ikatan yang sedia ada. Pada ketika itu aku sudah tidak sanggup menanggung beban menipu perasaanku sendiri bahawa aku tersangat menyukai suamiku di saat itu.

Aku telah menolak seseorang yang seringkali diberi petunjuk oleh Allah. Yang selalu hadir di dalam mimpiku. Akhirnya kugagahkan diri untuk menghantar mesej kepada suamiku bahawa kuterimanya sebagai jodohku. Malu sangat menebal. Hatiku berdegup kencang. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan menyerahkan segalanya. Kuterfikir pada ketika itu, andai terjadi perkahwinan itu maka dialah jodoh yang terbaik buat diriku.

Rupa-rupanya perasaan aneh yang wujud dalam diriku sebelum ini terhadap suamiku adalah kerana dia jodohku yang kunantikan selama ini. Perasaan yang tiada siapapun tahu melainkan Allah s.w.t.

Bercinta selepas nikah tersangat indah. Kubersyukur kerana dapat mengenali suamiku selepas diijabkabulkan. Kubersyukur kerana dapat mencintai suamiku selepas nikah.

Istikharah cintaku kini berakhir dan menemui jawapan. Sebelumku menerima suamiku, pelbagai perkara bermain dihatiku. Ku terfikir, selama ini aku berdoa agar Allah memberikanku petunjuk akan siapa jodohku dan Allah telah tunaikan. Hatiku sentiasa tergerak ke arah suamiku. Oleh itu mengapa aku mahu menidakkan doaku sendiri?

Aku juga berdoa agar Allah mempercepatkan jodohku. Dan Allah telah mempertemukanku dengan seseorang yang benar-benar ingin mengahwiniku. Jadi mengapaku ingin menolak?

Ketika itu aku telah menanggung sakit sudah bertahun-tahun. Jadi kuterfikir ingin mempunyai seseorang di sampingku yang boleh menjagaku.

Aku juga pinta kepada Allah agar apabila jodohku telah sampai semoga hati ibu dan ayahku akan terbuka untuk membenarkan aku berkahwin ketika masih belajar dan Allah telah tunaikan juga perkara itu. Hati ibu ayahku yang selama ini tertutup yang berkeras menghalangku berkahwin terbuka dengan senang apabila mengenali suamiku. Walaupun belum bersemuka dan hanya mendengar suara, ayahku terus terpaut padanya. Membuatkanku benar-benar yakin untuk menerimanya.

Tidakku sangka semudah ini jodohku dengan suamiku sedangkan sebelum ini pelbagai rintangan dan dugaan menimpa aku ketika mempunyai ikatan dengan orang lain. Ada saja halangan yang terpaksa kutempuhi. Tetapi dengan suamiku ini, segalanya berlangsung dengan mudah. Segala yang dirancang berjalan dengan lancer. Tempoh pengenalan kami juga terlalu singkat yang diakhiri dengan ikatan perkahwinan. Kini dia yang hanya kawan sekelas sudah menjadi suamiku. Dia yang sebelum ini kucuba jauhi kini menjadi teman hidupku.

Tidak pernahku sangka jodohku adalah dengan Muhammad Anuar bin Razali. Seorang lelaki yang rajin, yang tidak kisah membantu orang lain kini menjadi suamiku. Yang selalu bertanya di dalam kelas itulah suamiku. Yang menjual laicikang di UIA itulah jodohku. =) =) =)

“Abang, sayang terima abang seadanya.”

63651_750443518341340_7402658264478703525_n

Advertisements

Istikharah Cinta Hani 2

Standard

Buku teks Management dan buku nota Hani telah tersedia di atas meja belajarnya. Sebatang pensel kayu dan beberapa batang pen berselarakan di atas meja. Jam di meja menunjukkan pukul 2 petang. Hani menjenguk ke tingkap. Langit begitu cerah sekali. Matahari sangat setia menyinari bumi lalu menjadi terang dengan penuh keindahan. Angin hanya bertiup perlahan, lalu pokok tidak menarikan daun-daunnya yang indah.

Tangan ditadah dan doa dipohon dengan kerendahan hati. Mudah-mudahan ilmu yang dipelajarinya diberkati.

Pensel kayu yang dihujungnya ada pelekat yang tertulis, “Setitik dakwat, sejuta dakwah” yang selalu menjadi motivasi kepada dirinya diambil lalu dicatat segala nota-nota penting. 12 hari lagi Hani bakal menduduki peperiksaan akhir tahun.

Hani mahu bersungguh-sungguh kali ini. Dia mahu menjadi seorang muslim yang berjasa kepada agama, yang berilmu. Di samping itu dia juga berharap dengan keputusan yang baik nanti melayakkan dia memohon biasiswa. Kerana pinjaman ptptn yang diperolehnya tidak mencukupi untuk membayar yuran dan untuk perbelanjaannya sehari-hari..

Ayahnya pula tidak mampu untuk memberikan lebih wang kepadanya kerana gaji yang diperoleh hanya cukup-cukup makan untuk keluarganya. Kerana itulah keazamannya lebih kuat kali ini.

Gerak tari penanya semakin lama semakin perlahan kerana fikirannya mengelamun tidak tahu ke mana. Matanya tertumpu pada bait-bait ilmu yang tercatat di buku, tetapi hatinya jauh melayang kepada seseorang.

“Ya Allah.. Ini bukan di atas kekuasaanku. Kuserahkan segalanya kepada-Mu.”

Hani tidak mahu merancang dan berbincang, biarlah Allah yang menentukan dan mengaturkan segalanya.

Pensel ajaibnya dicapai semula. Dia cuba membetulkan kembali fokusnya. Sukar sekali…. Hani menggeleng.

“ Ya Allah..Benar aku lemah. Kuserahkan segalanya kepada-Mu.”

“Hmmm…” Keluhan panjang dilepaskan. Hani berserah.

http://bit.ly/1mjtYdk

ISTIKHARAH CINTA HANI

Standard

Hani juga sama seperti kebanyakan manusia yang tidak terlepas daripada diuji dengan rasa suka dan cinta pada seseorang. Sekali hatinya terdetik dengan rasa itu, terus dahinya menyembah sujud kepada yang Esa memohon perlindungan dan petunjuk daripada Allah s.w.t.

Hani tidak mahu rasa yang hadir di dalam hatinya itu dipengaruhi oleh hasutan syaitan, dan bisikan nafsu yang akan membinasakan dirinya sendiri kelak. Bercucuran air matanya mengalir deras membasahi kain telekungnya yang putih kerana takut akan ujian itu.

Tidak pernah dia menyandarkan rasa cintanya kepada manusia kepada Allah.. Tidak pernah. Entah kenapa kali ini dia benar-benar menyerahkan seluruh jiwa dan raganya kepada Allah di saat hatinya telah diketuk oleh seorang insan.

“Apa nak jadi, jadilah…” Suka atau tidak, yang pastinya dia akan terus memohon kepada Allah melalui solat istikharah dan doa yang tidak putus..

Baris-baris ayat cinta disusun dengan kemas di dalam hatinya berpandukan dengan mujahadah dan ketaqwaannya kepada Allah. Sekalipun tidak dicanang dibibirnya.

Kala rindu.

Ditepisnya dengan sinaran keimanan yang ada di dalam hatinya.

Terbitnya Cinta.

Disimpan rapi di dalam sanubarinya berlandaskan ketaqwaannya kepada yang Maha Mengetahui.

Allah… Berat benar menanggung rasa cinta andai tidak disandarkan kepada Allah. Setiap kali rasa sukar itu menjengah ke dalam hatinya, terus dia salurkan kepada Sang Pencipta.. Langsung tidak dia menyatakan rasa itu kepada makhluk.

“ Ya Allah.. Andai benar dia jodohku, dan aku adalah jodohnya, maka permudahkanlah. Andai sukar, permudahkanlah, andai jauh dekatkanlah, andai haram sucikanlah.. Andai benar dia jodohku, satukanlah hatinya dengan hatiku, dan titipkanlah rasa cinta semata-mata keranaMu”

Doa yang tidak putus-putus demi sebuah keredhaan yang Esa.

Nah. Semakin hari rasa itu semakin bercambah antara mereka. Tautan hati itu semakin kuat dirasai. Tiada siapa yang tahu adanya cinta di antara mereka melainkan Allah yang Satu. Cinta yang hadir di dalam hati membuatkan insan yang bernama Hani ini semakin merindui dan mencintai tuhannya.

Setiap kali timbul soal perbincangan tentang baitul muslim antara mereka, hanya satu yang bermain di fikiran Hani, “ISTIKHARAH DAN DOA”.. itu sahaja yang sentiasa topik perbualan hati mereka. Tidak pernah kata’cinta’, ‘sayang’, ‘rindu’ hadir di antara mereka. Kata cinta, sayang dan rindu itu tidak mudah terluah di bibir, sebaliknya hanya tersimpan di dalam hati buat rakaman tuhan mereka.

Mujahadah cinta yang Hani korbankan ini semata-mata kerana dia tidak mahu korbankan cintanya kepada Allah. Andai dia kehilangan cinta manusia sekalipun, Hani tidak sanggup kehilangan cinta yang Maha Agung.  Ibadah dan aqidahnya di jaga rapi, hatta ikhtilatnya juga dia tidak mahu pinggirkan. Biarlah orang menggelarnya jumud kerana tidak ber’couple’, tidak bersosial dengan lelaki, asalkan dia keredhaan Allah bersamanya.

Tidak pernah sekalipun doa dipanjatkan dengan alpa dan leka. Sebaliknya dengan penuh pengharapan dan kebergantungan kepada Allah.

Allahu Akbar, Maha suci Allah… Setiap kali Hani menunaikan solat istikharah, pasti ada sahaja peristiwa yang sukar diterjemahkan..

“Ana mahu menjadikan anti sebagai isteri. Sudilah menunggu ana. ”

Siapa yang tidak bahagia, tetapi sebenarnya Hani sedang diuji. Sukarnya Hani melalui ujian ini hanya Dia yang Esa sahaja yang mengetahuinya. Pelbagai ujian yang menimpa Hani dan dia, tetapi harapan Hani kepada Allah tidak putus. Kerap kali manik-manik jernih mengalir ke pipinya.. Selalu hatinya ditusuk pedih tetapi digagahi jua untuk tidak putus kebergantungan kepada Allah.

Allah.. Hani berdoa lagi.. tidak sekalipun dia merasakan bahawa dia telah berjaya. Tidak, hatinya masih sarat dengan pengharapan kepada Allah.. Doa yang tidak putus bagai angin yang tidak pernah berhenti bertiup, bagai air sungai yang tidak berhenti mengalir.

Istikharah Hani tidak putus setiap hari. Hari demi hari berlalu.. semakin hari semakin Allah menunjukkan jalan kemudahan. Mahu sekali hatinya berkata bahawa dia benar-benar cinta dan rindu kepada  si dia tetapi ditahannya demi sebuah pengharapannya kepada Allah.. Demi manisnya sebuah keberkatan.

Seandainya dikorek hatinya yang paling dalam, pasti tidak berkurang pun kasih sayang yang dipendamnya buat insan dicintainya kerana setiap kali rasa itu hadir, kepada Allah sahajalah tempat dia mengadu.. Jangan sekalipun rasa cinta Hani kepada dia mengatasi cinta kepada Allah.

Kerana.

Sesungguhnya siapa yang menghadirkan rasa cinta itu kalau bukan Allah s.w.t. Oleh itu, janganlah khuatir andai diuji sebegini kerana Allah sentiasa ada untuk memudahkan jalan. Yang pastinya janganlah jalan-jalan cinta itu dicemari dengan dosa-dosa dan maksiat kepada-Nya. Bukannya memilih jalan-jalan yang dibenci oleh-Nya seperti ber’couple’, bermesej siang dan malam, bergayut di telefon tengah-tengah malam dan berjumpa berdua-duaan di suatu tempat…

Setiap kali Hani online facebook, pasti akan terlihat dia yang turut online juga. Tetapi Hani menguatkan diri untuk tidak menegur dia. Meskipun dengan satu klik Hani mampu berhubung dengannya, tapi tetap Hani tidak melakukannya.. Hanya kepada Allah tempat Hani berhubung.

Begitu juga dengan si dia, sekali sekala ada juga menegur Hani, ada ketikanya terlihat juga cintanya untuk Hani membuatkan Hani tersenyum sendirian, membuatkan hatinya berbunga indah, tetapi keimanan mereka tetap menghalangi mereka daripada merentasi batas yang telah ditetapkan oleh agama.

Hanya hati yang berbicara, tautan hati itu tetap di rasa, keindahan cinta itu tetap ada, tetapi segalanya “ISTIKHARAH DAN DOA” tetap menjadi topik di hati mereka. 4 bulan telah berlalu, istikharah tidak pernah putus meskipun masing-masing telah tahu rasa di hati. Namun kebergantungan kepada Allah tetap menjadi jalan utama.

Persoalan yang timbul, ‘mengapa ISTIKHARAH DAN DOA’ menjadi jalan utama?

Jawabnya…

Kerana belum pasti dia jodoh Hani dan belum pasti Hani adalah jodohnya. Hanya Allah yang tahu, jadi biarlah Allah yang mengatur.

Kata kuncinya, ‘YAKINLAH DENGAN ALLAH’