Tag Archives: emak

Mak, “aishiteru”

Standard

“Mak..”

Hatiku berbisik halus..

Air mata bergenangan, bertakung di kelopak mataku yang terlalu merindui seorang insan yang sangat rapat denganku. Sebagai anak sulung, bagiku emaklah ibu, emaklah sahabat, emaklah teman yang paling setia disisiku. Sejak mataku mampu melihat dunia ini, emaklah yang selalu menghiburkan dan mendidik dengan tegas dan penuh kasih sayang.

Di saaat hatiku dirundung resah, hanya satu yang aku fikirkan.

“Mak, sihatkah kau di sana..” air mataku mengalir laju. Petang itu hatiku benar-benar sayu kerana teringat pada emak dan abah di kampung. Hati terlalu rasa ingin pulang menjenguk mereka. Tapi apakan daya, masa dan kesibukan tidak mengizinkan.

Kawan-kawan sekeliling melabelkan aku seorang yang pendiam. Tapi kamu tidak pernah melihat aku dengan emak.. Kami mampu berborak sejak bangun tidur sehinggalah pergi tidur semula.. Kami mampu berkongsi pelabagai perkara tanpa jemu, bergelak ketawa dan menangis bersama. 1001 cerita dikongsikan antara aku dan emak. Di sisinya, akulah anak yang paling riang. Riuh satu rumah dengan gelak tawa aku dan emak. Sehingga emak melabelkan aku sebagai seorang yang tidak matang.

Begitulah saya dengan emak. Terlalu rapat sehingga apabila jarak memisahkan, hati terasa terlalu sedih.

Kasih sayang seorang ibu itu terlalu luar biasa. Aku terfikir, mampukah diri yang lemah ini menjadi seorang ibu seperti dirinya yang sangat kuat dan tabah pada suatu hari nanti.

Emak mengajarku pelbagai perkara sehingga kadang-kadang aku tidak sedar bahawa dia mendidikku dengan begitu halus.

Dengan kawan-kawan, aku berasa sedikit jauh dan sukar untuk berasa begitu. Iaitu satu perasaan sayang sepertimana aku dengan ibu. Kerana duniaku adalah ibu, abah, adik-adik, tok dan tokwan sejak aku kecil sehingga besar.  Duniaku adalah dengan mereka. Duniaku tanpa mereka adalah asing bagiku.

Sahabatku berpesan, kalau sayang, jangan terlalu sayang kerana yang hidup pasti akan mati. Tapi apakan daya, andai mereka pergi, kuberharap ada seseorang yang dapat mengisi kekosongan hidupku dengan menghadirkan seseorang seperti mereka.

“Emak”

Barangkali saya menulis tentang emak kerana di saat ini hati ini terlalu merindui dia.. Air mata ini sukar untuk mengalir melainkan ada hal yang berkaitan dengan keluarga. Ia terlalu menikam dan menekan jiwa dan perasaanku.

Tapi kalau berkaitan dengan emak, abah atau adik-adik, air mata ini lebih senang untuk mengalir. Banyak kali emak berpesan supaya kuat semangat dan banyakkan bersabar. Aku tidak kisah apa sahaja pandangan orang terhadapku atau melabelkan aku sebagai anak manja atau sebagainya. Tidak peduli sama sekali. Kerana mereka tidak mengerti.

“Emak”

Aku rindu segalanya tentang dirinya. Emak marah kerana sayang, emak tegas kerana sayang, emak sedih kerana sayang. Kasih sayangnya itulah yang terlalu berharga kerana segala setiap perbuatannya dan apa yang dirasainya itu adalah kerana sayang semata-mata.

Mungkin semua tidak tahu kenapa saya rapat dengan emak dan abah serta adik beradik yang lain. Saya pernah sakit. Sakit yang sangat teruk. Dan mereka sahajala yang setia menemaniku sepanjang saya sakit. Mereka sahajalah yang menjadi saksi melihat saya sakit. Mereka sahajalah yang sedia memenuhi segala keperluanku semasa aku sakit.

Mana mungkin insan sebegitu rupa membuatkan aku senang berjauhan dengan mereka. Kerana terlalu banyak pengorbanan dan kasih sayang yang telah mereka curahkan buatku.

Di saat sahabat-sahabat lain berada entah di mana, di saat itu emak dan abah sahajalah yang sentiasa di sisiku.. Sangat setia dan tabah menjaga dan merawatku sepanjang aku sakit.

Allah..

Semoga Kau merahmati mereka.

Emak..

dan

Abah..

 

 

Advertisements

Suara Hati Seorang Ibu……Tidak Pernah Kubayangkan

Standard

Pada pukul 1 tengah hari tadi, saya sengaja menghantar mesej pada emak. Asalnya hanya berniat untuk bertanyakan idea dan pendapat dari emak. Tetapi sebenarnya hanya mahu melepaskan rindu buatnya yang kerap kali menghantui diri. Sedangkan sebenarnya setiap hari saya menghubunginya. Walaubagaimanapun rasa rindu itu tetap jua hadir di jiwa ini. Mendengar suaranya membuatkan keresahan hati ini terubat.

 

Mak, saya tak tahu nak kongsikan apa pula di dalam blog saya ini. Mak ada idea atau suara hati? Atau tentang masalah anak muda sekarang ni ke.” Ayat yang kedua itu saya hanya berseloroh dengan emak sahaja. Tetapi sebenarnya saya benar-benar kebuntuan idea ketika itu dan terfikir pula mana tahu emak ada sesuatu yang ingin dikongsikan tentang isu remaja sekarang.

 

Lama juga saya menunggu. Pada pukul 4 petang barulah emak membalas.

From: Mak

“ Kadang-kadang mak risau tentang adik kamu. Dalam bulan ini, dia tak hubungi mak pun. Kalau dulu hari-hari dia call mak. Tak pun 2 hari seminggu. Sekarang ini seminggu sekali pun payah nak call mak.”

 

Saya terbayang suara emak yang sedang membicarakan ini. Sudah tentu kesedihan sedang ditahannya dengan tabah. Dari mesejnya itu tidak tergambar kesedihannya. Tetapi kenapa sampai emak meluahkan sedemikian rupa? Soalan saya tadi tiada kena mengena langsung dengan adik.

 

Lama saya menatap mesej dari emak ini. Tak pernah terlintas di fikiran bahawa emak akan menjawab sedemikian untuk soalan saya tadi. Saya hanya bertanyakan tentang pendapat atau suara hati tentang remaja sekarang. Tapi jawapan emak tadi benar-benar membuatkan diri saya tersentuh.

 

Ya, itulah suara hati seorang ibu. Tidak pernah ssaya bertanyakan suara hati emak dan itu pula secara tidak langsung. Ya Allah, rupanya itu yang dirisaukan oleh seorang ibu. Ibuku ya Allah. Di dalam hati ini ada sedikit kekesalan tentang sikap adikku itu. Bukan itu sahaja, rasa marah juga turut menguasai diri. Saya amat pantang apabila ada seseorang yang sanggup membuatkan emak bersedih hati dan risau.

 

Di sebalik kemarahan itu, perasaan kasihan pada emak lebih menguasai diri. Saya membalas pada emak,

“ La ye ke mak. Dia sibuk kot. Mungkin dia banyak kerja yang perlu diselesaikan.” Saya hanya sekadar mahu menyedapkan hati emak. Ini sahaja yang saya mampu selain berdoa pada emak agar emak sentiasa di bawah lindungan rahmat-Nya. Sedangkan saya tahu apalah sangat kerja yang perlu dilakukan oleh seorang pelajar Tingkatan Dua.

 

Emak saya hanyalah seorang surirumah. Anak-anaklah sahaja yang selalu menghiburkan hatinya. Tetapi apabila 3 orang anaknya tiada di sisi, seorang di UIA, dan dua orang lagi di asrama, dan 2 orang lagi bersekolah rendah pada waktu pagi, sudah tentu dia merasakan kesunyian. Di rumah ada abah yang setia menemani emak. Tetapi sudah tentu kerinduan pada anak-anaknya lebih menggugat jiwanya.

 

Saya cuba menyelami hati emak. Saya terfikir bahawa saya dan adik-adik ialah anak-anak yang emak lahirkan dan membesarkan sejak kecil sehingga mampu berdikari sedikit demi sedikit. Sudah tentu kehadiran anak-anak ialah pengubat segala duka dan keletihannya. Tetapi jika anak yang tiada di sisi ini rasanya semakin melupai dirinya, sudah tentu hati itu akan semakin terasa.

 

Air mata yang tidak kupinta berlinangan mengalir menambah rindu pada emak di kampung. Sebenarnya mahu sahaja pulang ke Pulau Pinang minggu ini, tetapi oleh kerana terlalu banyak kekangan, saya hanya bercadang untuk pulang pada minggu hadapan.

 

Dari luahan hati emak itu, saya cuba menyalahkan diri saya sendiri. Selama ini, apabila kita sudah mampu mencari kawan sendiri untuk dikongsi segala masalah dan luahan hati,apabila kita mampu untuk berdikari dan mampu membeli makanan sendiri, kita lupa pada emak yang dahulu sehingga kini ialah seorang yang setia di samping kita.

 

Tidak pernah pula dia merungut penat dan lelah dalam membesarkan kita semua. Subhanallah, itulah yang dikatakan pengorbanan seorang ibu. Tetapi mengapa jauh sekali ingatan kepada emak yang membesarkan sedangkan emak sudah tentu setiap masa teringatkan anak-anaknya. Mengapa tidak? Kerana selama lebih 9 bulan dia menjaga kandungannya dengan penuh kasih sayang dan berhati-hati.

 

Tetapi bagaimana pula perasaannya apabila anak-anak semakin jauh darinya? Pernahkah kalian terfikir? Pernahkah kalian terfikir apa yang ibu kalian rasakan apabila kalian jauh darinya. Di depan kita, emak sentiasa tabah. Katanya sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membesarkan kita. Tetapi bagaimana pula tanggungjawab kita sebagai seorang anak? Sudahkah berkorban untuknya atau kita hanya mementingkan diri sendiri??!

 

Wahai sahabat sekalian, hati seorang ibu. Pernahkah kita terfikir? Kita hanya tahu memikirkan suara hati kita sahaja. Sedangkan suara hatinya lebih dahsyat membawa kesedihan pada hatinya. Bagaimana tidak. Dialah yang paling banyak berkorban selain ayah yang tabah mencari nafkah buat keluarga. Tetapi mengapa hari ini kita tidak mahu langsung mendengar suara hatinya seolah-olah hanya suara hati kita sahaja yang perlu didengari. Malah, kesalahan yang pernah kita lakukan padanya jarang pula kita sesali.

 

Emak, maafkan saya. Sebab saya bukan anak yang baik dan saya bukan seorang kakak yang baik.