Tag Archives: cinta

Kemanisan dalam Kepahitan ><

Standard

Ramai yang bertanya, “Adilah, kenapa tak update blog?” “Adilah, nak tahu kesinambungan cerita Istikharah Cinta Hani. Cepatlah sambung.” “Aku tengah tunggu update dari blog hang ni.. Bila nak start?” “Dah lama tak nampak post baru. Rindu nak baca.”

Saya malu untuk menulis kerana tiada bakat dan kepandaian. Kedua kerana malas dan sibuk dengan belajar dan kelas.

Hmm.. Hanya keluhan yang mampu dilepaskan. Bukan tidak mahu menulis lagi, tetapi semangat sedikit luntur kebelakangan ini, tiada cerita menarik yang dapat dikongsi, terasa sesak dan berat tersimpan di dalam dada, malas untuk berkongsi, sebaliknya hanya diam membisukan diri. Tetap tersenyum walaupun sukar. 🙂

Nampaknya semuanya semakin sukar dan tidak mudah. Selalu kita mendengar orang menyebut, “Kita hanya merancang, tetapi Allah jua yang menentukan. Bersabarlah….”

Dot dot dot… Oleh itu jangan cepat berputus asa dan lemah.

Namun, kehidupan tetap perlu diteruskan. Di dalam hidup ini ujian merupakan sunnatullah buat hamba-Nya. Bukan tanda Allah tidak sayang kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Hikmahnya terlalu banyak untuk diambil iktibar dari semua ujian yang perlu kita lalui bukan?

Saya teringat akan analogi yang dikongsikan oleh seorang kakak usrah tempoh hari tentang ujian dan mehnah. Analoginya mudah saja. Kakak bertanya, “Mengapa jalan raya itu dibina bertar, bukannya bermozek atau rata sahaja?”

Seorang menjawab, “Kerana sekiranya jalan raya itu tidak bertar dan tidak berbatu ia akan menjadi licin kerana tiada daya geseran lalu akan berlakunya kemalangan dan perlanggaran. Jalan yang kasar itu dicipta demi keselamatan pengguna jalan raya.”

Begitu juga dengan kehidupan kita ini. Andai sepanjang perjalanan hidup kita ini semuanya mudah sahaja, pelbagai masalah akan timbul kerana ujian itu mematangkan diri, membuatkan kita lebih berfikir, membuatkan kita lebih tabah dan sabar. Ujian-ujian itu diciptakan demi mendidik diri menempuh jalan menuju redha Allah. Redha Allah adalah hadiah yang paling berharga yang mahu kita semua miliki. Kerana jalan keredhaan adalah jalan menuju syurga Allah.”

ujian allah

Walaupun pelbagai ujian yang melanda, kita tetap perlu mempositiifkan diri dan sentiasa fokus dalam aktiviti seharian. Belajar, bersosial, berusrah, tarbiah,dakwah, dan aktiviti-aktiviti lain mestilah diteruskan seperti biasa.

Meskipun hati terasa berat dengan bebanan ujian dan terasa pahit, namun senyuman yang manis tetap terukir kepada teman-teman yang lain kerana disitulah tersembunyinya sebuah ketabahan. Ketawa dan jenaka tetap menghiasi hari-hari kita kerana apabila kita membahagiakan orang lain, kebahagiaan untuk diri sendiri juga tetap terasa. Langkah kaki juga mesti tetap padu dan kukuh meskipun hati terasa lemah.

Mukmin yang hebat itu hanya lemah di hadapan Allah, tetapi tampak kuat di mata manusia kerana itulah dakwah dan perjuangan. Seorang daie itu mestilah sentiasa kuat dan tabah kerana dia perlu membimbing manusia lain dan juga dirinya sendiri tabah dengan ujian Allah. Seorang muslim itu tentulah daie kerana Allah telah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di atas muka bumi.

Ujian itu indah dan manis bagi mereka yang mencintai dan mengenali Allah. Saya teringat akan kata-kata seorang pensyarah Biochemistry, Dr Tariqurrahman, “ Everybody who has no scared to Allah, he or she will scared to everything. Everybody who scared to Allah, will scared to nothing.” Kerana seorang muslim yang hanya takut kepada Allah (seksaan-Nya), akan sentiasa patuh dan yakin kepada Allah tanpa sedikitpun keraguan, dan berani menempuh cabaran.

Ujian itu mendekatkan diri kita kepada Allah. Manisnya cinta Allah kepada hamba-Nya. Dicptakan dugaan supaya kita dekat dengan-Nya. Subhanallah.. Apabila ditimpa ujian, pastilah terasa sakit, seluruh jasad juga menanggung kesusahan. Oleh itu, jangan mudah berputus asa dari rahmat Allah. Perbanyakkan zikir, istighfar, solat, membaca Al-Quran dan perbanyakkan doa agar Allah berikan kemudahan kepada kita semua.

Dr. Tariq juga pernah bercerita tentang kisah Nabi Ayyub yang ditimpa ujian penyakit yang dahsyat. Namun, kesakitan itu tidak sedikitpun dikeluhkan oleh nabi. Sebaliknya baginda mengganggap ujian itu indah kerana mendekatkan dirinya kepada Allah. Meskipun susah, namun tidak sedikitpun nabi mengeluh. Itulah contoh manusia yang diuji, tetapi ketaatannya kepada Allah semakin membuah dan bercambah.

Ujian itu membuatkan air mata seringkali mengalir. Itulah tanda hati masih lembut untuk mengadu kepada Allah. Hati yang keras akan susah mengingati Allah dan sukar menerima hidayah. Oleh itu berbahagialah andai air mata itu mengalir membasahi telekungmu kerana Allah telah titipkan rasa kerendahan hati di dalam diri kita. Namun, bersabar dan menjadi mukmin yang kuat itu lebih baik.

=) =)

Saya tidak kuat, tetapi kerana hadirnya teman-teman di sisi membuatkan saya cuba tabahkan hati dan meneruskan misi dakwah dan tarbiah dengan kesungguhan. Kerana kasih Allah jualah saya masih teguh berdiri, tetap melangkah menuju keredhaan Ilahi.

Ujian itu rahmat,

sabar itu cinta,

dugaan itu membahagiakan,

sakit itu indah,

bagi insan yang yakin dengan Tuhan.

Istikharah Cinta Hani 2

Standard

Buku teks Management dan buku nota Hani telah tersedia di atas meja belajarnya. Sebatang pensel kayu dan beberapa batang pen berselarakan di atas meja. Jam di meja menunjukkan pukul 2 petang. Hani menjenguk ke tingkap. Langit begitu cerah sekali. Matahari sangat setia menyinari bumi lalu menjadi terang dengan penuh keindahan. Angin hanya bertiup perlahan, lalu pokok tidak menarikan daun-daunnya yang indah.

Tangan ditadah dan doa dipohon dengan kerendahan hati. Mudah-mudahan ilmu yang dipelajarinya diberkati.

Pensel kayu yang dihujungnya ada pelekat yang tertulis, “Setitik dakwat, sejuta dakwah” yang selalu menjadi motivasi kepada dirinya diambil lalu dicatat segala nota-nota penting. 12 hari lagi Hani bakal menduduki peperiksaan akhir tahun.

Hani mahu bersungguh-sungguh kali ini. Dia mahu menjadi seorang muslim yang berjasa kepada agama, yang berilmu. Di samping itu dia juga berharap dengan keputusan yang baik nanti melayakkan dia memohon biasiswa. Kerana pinjaman ptptn yang diperolehnya tidak mencukupi untuk membayar yuran dan untuk perbelanjaannya sehari-hari..

Ayahnya pula tidak mampu untuk memberikan lebih wang kepadanya kerana gaji yang diperoleh hanya cukup-cukup makan untuk keluarganya. Kerana itulah keazamannya lebih kuat kali ini.

Gerak tari penanya semakin lama semakin perlahan kerana fikirannya mengelamun tidak tahu ke mana. Matanya tertumpu pada bait-bait ilmu yang tercatat di buku, tetapi hatinya jauh melayang kepada seseorang.

“Ya Allah.. Ini bukan di atas kekuasaanku. Kuserahkan segalanya kepada-Mu.”

Hani tidak mahu merancang dan berbincang, biarlah Allah yang menentukan dan mengaturkan segalanya.

Pensel ajaibnya dicapai semula. Dia cuba membetulkan kembali fokusnya. Sukar sekali…. Hani menggeleng.

“ Ya Allah..Benar aku lemah. Kuserahkan segalanya kepada-Mu.”

“Hmmm…” Keluhan panjang dilepaskan. Hani berserah.

http://bit.ly/1mjtYdk

Kenapa Awak Berpurdah?

Standard

“Bunyi bising memecah kesunyian pagi. Angin pagi terasa begitu dingin. Tetapi mengapa hati ini sukar mensyukuri segala nikmat? Allah…”

Pelbagai persoalan dilontarkan kepada saya apabila saya mula memakai purdah. Dan ada yang masih terus bertanya dan bertanya… “Adilah, kenapa Adilah pakai purdah?” “Adilah, kenapa awak pakai purdah?” Tidak putus-putus soalan itu ditanya. Allahu Akbar… Soalan yang memerlukan jawapan yang sangat panjang untuk aku sampaikan..Kerana ia bukan dariku, tapi ini semua ketentuan Allah.

Segalanya bermula di HATI. Di saat hati ini merindukan Tuhan, mahu sekali wajah ini menjadi rahsia. Di saat hati ini merindukan Tuhan, mahu sekali aku tutupkan wajahku. Tidak tahu mengapa.. Hati ini memberontak untuk aku memakai purdah.

Hatta, bukan kerana ada sesiapa yang menyuruh. Tiada seorang pun yang memintaku untuk memakai purdah, tetapi kerana hati ini menjadi enak apabila wajah ini menjadi rahsia. Hati ini semakin dekat dengan Allah apabila wajah ini ditutup dengan secebis kain.

Aku tertanya-tanya pada mulanya, “ Ya Allah… Kenapa Kau takdirkan aku memakai purdah sedangkan aku tidak mampu dan lemah. Ya Allah, kenapa Kau ujiku begini sedangkan aku berasa tidak mampu. Aku tidak mampu menanggung ujian ini ya Allah. Terlalu berat buatku.” Sungguh, aku tidak kuat…

Ini juga jawapan di atas persoalan teman-teman, kerana ini ujian Allah untuk hamba-Nya yang lemah ini.

Aku bukanlah seorang yang hebat, warak, alim dan solehah. Aku benar-benar cuma insan biasa yang tidak punya apa-apa kelebihan, atau kecantikan.. Bahkan aku juga tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat. Malah aku bukanlah berasal daripada keluarga yang berpendidikan agama yang tinggi, ayahku bukan ustaz, ibuku bukan ustazah. Malah di saat aku memakai purdah, mereka juga tidak tahu..

Berat hati ini untuk memberitahu mereka. Tetapi kerana Allah, aku lakukan juga meskipun berat yang teramat sangat.

Emak dan abah pada mulanya sukar menerima.. Allah, berat hatiku menanggung ujian itu. Sedih.. Tapi mereka mula menerimaku seadanya kerana aku adalah anak. Kasih sayang ibu dan ayah membuatkan mereka menerimaku seadanya. Mereka menyayangiku seadanya.

Alhamdulillah..

Jawapannya, kerana hati ini yang meminta untuk menuruti aku untuk mentaati perintah Allah. Andai tidak dituruti, aku berasa tidak senang. Jawapannya, kerana aku mahu lebih dekat dengan Allah.. Jawapannya, kerana aku mahu dicintai Allah… Jawapannya, kerana aku rindu kepada Allah..

Pada mulanya, saya  berasa agak berat meskipun telah memakai purdah. Kerana tidak biasa apabila orang sekeliling asyik memandang dan bertanya. Berhari-hari air mata ini berguguran mengalir ke pipi tidak henti. Selera makanku hilang dan aku hilang dunia sekeliling.

Sebulan berlalu, dua bulan berlalu dan kini sudah 3 bulan aku memakai purdah, Alhamdulillah Allah beri kemudahan demi kemudahan. Ini ujian buatku…

Sahabat, sampaikanlah doa buat diriku ini juga. Kerana aku jua insan seperti kalian, tiada bezanya. Ilmuku sedikit, amalku juga sedikit, ibadahku juga lemah sekali..

http://bit.ly/1mjtYdk

ISTIKHARAH CINTA HANI

Standard

Hani juga sama seperti kebanyakan manusia yang tidak terlepas daripada diuji dengan rasa suka dan cinta pada seseorang. Sekali hatinya terdetik dengan rasa itu, terus dahinya menyembah sujud kepada yang Esa memohon perlindungan dan petunjuk daripada Allah s.w.t.

Hani tidak mahu rasa yang hadir di dalam hatinya itu dipengaruhi oleh hasutan syaitan, dan bisikan nafsu yang akan membinasakan dirinya sendiri kelak. Bercucuran air matanya mengalir deras membasahi kain telekungnya yang putih kerana takut akan ujian itu.

Tidak pernah dia menyandarkan rasa cintanya kepada manusia kepada Allah.. Tidak pernah. Entah kenapa kali ini dia benar-benar menyerahkan seluruh jiwa dan raganya kepada Allah di saat hatinya telah diketuk oleh seorang insan.

“Apa nak jadi, jadilah…” Suka atau tidak, yang pastinya dia akan terus memohon kepada Allah melalui solat istikharah dan doa yang tidak putus..

Baris-baris ayat cinta disusun dengan kemas di dalam hatinya berpandukan dengan mujahadah dan ketaqwaannya kepada Allah. Sekalipun tidak dicanang dibibirnya.

Kala rindu.

Ditepisnya dengan sinaran keimanan yang ada di dalam hatinya.

Terbitnya Cinta.

Disimpan rapi di dalam sanubarinya berlandaskan ketaqwaannya kepada yang Maha Mengetahui.

Allah… Berat benar menanggung rasa cinta andai tidak disandarkan kepada Allah. Setiap kali rasa sukar itu menjengah ke dalam hatinya, terus dia salurkan kepada Sang Pencipta.. Langsung tidak dia menyatakan rasa itu kepada makhluk.

“ Ya Allah.. Andai benar dia jodohku, dan aku adalah jodohnya, maka permudahkanlah. Andai sukar, permudahkanlah, andai jauh dekatkanlah, andai haram sucikanlah.. Andai benar dia jodohku, satukanlah hatinya dengan hatiku, dan titipkanlah rasa cinta semata-mata keranaMu”

Doa yang tidak putus-putus demi sebuah keredhaan yang Esa.

Nah. Semakin hari rasa itu semakin bercambah antara mereka. Tautan hati itu semakin kuat dirasai. Tiada siapa yang tahu adanya cinta di antara mereka melainkan Allah yang Satu. Cinta yang hadir di dalam hati membuatkan insan yang bernama Hani ini semakin merindui dan mencintai tuhannya.

Setiap kali timbul soal perbincangan tentang baitul muslim antara mereka, hanya satu yang bermain di fikiran Hani, “ISTIKHARAH DAN DOA”.. itu sahaja yang sentiasa topik perbualan hati mereka. Tidak pernah kata’cinta’, ‘sayang’, ‘rindu’ hadir di antara mereka. Kata cinta, sayang dan rindu itu tidak mudah terluah di bibir, sebaliknya hanya tersimpan di dalam hati buat rakaman tuhan mereka.

Mujahadah cinta yang Hani korbankan ini semata-mata kerana dia tidak mahu korbankan cintanya kepada Allah. Andai dia kehilangan cinta manusia sekalipun, Hani tidak sanggup kehilangan cinta yang Maha Agung.  Ibadah dan aqidahnya di jaga rapi, hatta ikhtilatnya juga dia tidak mahu pinggirkan. Biarlah orang menggelarnya jumud kerana tidak ber’couple’, tidak bersosial dengan lelaki, asalkan dia keredhaan Allah bersamanya.

Tidak pernah sekalipun doa dipanjatkan dengan alpa dan leka. Sebaliknya dengan penuh pengharapan dan kebergantungan kepada Allah.

Allahu Akbar, Maha suci Allah… Setiap kali Hani menunaikan solat istikharah, pasti ada sahaja peristiwa yang sukar diterjemahkan..

“Ana mahu menjadikan anti sebagai isteri. Sudilah menunggu ana. ”

Siapa yang tidak bahagia, tetapi sebenarnya Hani sedang diuji. Sukarnya Hani melalui ujian ini hanya Dia yang Esa sahaja yang mengetahuinya. Pelbagai ujian yang menimpa Hani dan dia, tetapi harapan Hani kepada Allah tidak putus. Kerap kali manik-manik jernih mengalir ke pipinya.. Selalu hatinya ditusuk pedih tetapi digagahi jua untuk tidak putus kebergantungan kepada Allah.

Allah.. Hani berdoa lagi.. tidak sekalipun dia merasakan bahawa dia telah berjaya. Tidak, hatinya masih sarat dengan pengharapan kepada Allah.. Doa yang tidak putus bagai angin yang tidak pernah berhenti bertiup, bagai air sungai yang tidak berhenti mengalir.

Istikharah Hani tidak putus setiap hari. Hari demi hari berlalu.. semakin hari semakin Allah menunjukkan jalan kemudahan. Mahu sekali hatinya berkata bahawa dia benar-benar cinta dan rindu kepada  si dia tetapi ditahannya demi sebuah pengharapannya kepada Allah.. Demi manisnya sebuah keberkatan.

Seandainya dikorek hatinya yang paling dalam, pasti tidak berkurang pun kasih sayang yang dipendamnya buat insan dicintainya kerana setiap kali rasa itu hadir, kepada Allah sahajalah tempat dia mengadu.. Jangan sekalipun rasa cinta Hani kepada dia mengatasi cinta kepada Allah.

Kerana.

Sesungguhnya siapa yang menghadirkan rasa cinta itu kalau bukan Allah s.w.t. Oleh itu, janganlah khuatir andai diuji sebegini kerana Allah sentiasa ada untuk memudahkan jalan. Yang pastinya janganlah jalan-jalan cinta itu dicemari dengan dosa-dosa dan maksiat kepada-Nya. Bukannya memilih jalan-jalan yang dibenci oleh-Nya seperti ber’couple’, bermesej siang dan malam, bergayut di telefon tengah-tengah malam dan berjumpa berdua-duaan di suatu tempat…

Setiap kali Hani online facebook, pasti akan terlihat dia yang turut online juga. Tetapi Hani menguatkan diri untuk tidak menegur dia. Meskipun dengan satu klik Hani mampu berhubung dengannya, tapi tetap Hani tidak melakukannya.. Hanya kepada Allah tempat Hani berhubung.

Begitu juga dengan si dia, sekali sekala ada juga menegur Hani, ada ketikanya terlihat juga cintanya untuk Hani membuatkan Hani tersenyum sendirian, membuatkan hatinya berbunga indah, tetapi keimanan mereka tetap menghalangi mereka daripada merentasi batas yang telah ditetapkan oleh agama.

Hanya hati yang berbicara, tautan hati itu tetap di rasa, keindahan cinta itu tetap ada, tetapi segalanya “ISTIKHARAH DAN DOA” tetap menjadi topik di hati mereka. 4 bulan telah berlalu, istikharah tidak pernah putus meskipun masing-masing telah tahu rasa di hati. Namun kebergantungan kepada Allah tetap menjadi jalan utama.

Persoalan yang timbul, ‘mengapa ISTIKHARAH DAN DOA’ menjadi jalan utama?

Jawabnya…

Kerana belum pasti dia jodoh Hani dan belum pasti Hani adalah jodohnya. Hanya Allah yang tahu, jadi biarlah Allah yang mengatur.

Kata kuncinya, ‘YAKINLAH DENGAN ALLAH’

Kompas Cinta

Standard

Malam sedang melabuhkan tirainya yang indah. Sang mentari kembali menyapa alam membasahi bumi dengan sinarnya yang cerah. Subhanallah. Indahnya setiap kejadian ciptaan Allah yang Esa.

 

Beberapa kali buku ditatap tetapi ditutupnya kembali. Tidak tahu apa yang merunsingkan hati kecil dan fikirannya ketika ini. Sukar ditafsirkan.

 

Malah sudah beberapa hari tidurnya tidak nyenyak seperti selalu. Terkumat kamit mulutnya berzikir kepada Allah, tetapi hatinya tetap dirundung gelisah.

 

“Ya Allah..permudahkanlah segalanya dan tunjukkanlah jalan yang benar.” Doa hati kecilnya yang sarat dengan pengharapan yang ikhlas. Agar ketabahannya mampu menghadapi segala cabaran dan onar.

 

Di saat cinta bertandang di hati, tidak tahu mengapa hatinya berasa gundah. Mungkin juga kerana takut akan cinta yang hadir ini tidak dipandu ke arah yang sewajarnya. Berkali-kali dia berzikir menyebut nama Tuhannya. Cuba mencari di segenap sudut akan dirinya semula.

 

Dia tidak mengharapkan berlari menuju keredhaan, tetapi cukuplah sekadar merangkak mendambakan kasih Tuhan. Kerana itu sahaja yang dia mampu lakukan setakat ini.

 

Air mata mengalir lagi. Barangkali untuk menyucikan sanubarinya yang jauh dari Allah s.w.t. Barangkali untuk menjernihkan kembali kekeruhan di dalam hatinya. Dia juga tidak tahu mengapa air mata itu menitis tanpa dia pinta.

 

Cinta yang hadir perlu dipandu dengan kompas keimanan. Dilestarikan dengan keikhlasan. Dibajai dengan ilmu pengetahuan dan jati diri. Tanpa ilmu, magnet kompas cinta yang bergetar hebat ini mungkin bakal tersasar dari jalan ketaqwaannya. Mungkin tersepit di dalam kewarasannya.

 

Sejenak dia berfikir.

Buku-buku di rak yang tersusun rapi itu di ambilnya satu persatu lalu dibacanya dengan tekun. Mudah-mudahan dapat mengisi hatinya yang kosong itu dengan ilmu. Agar dapat menyelamatkan hatinya yang tersepit dalam kejahilan.

 

Lalu dia teringat akan pesanan sahabatnya. “Hati kita ini ibarat kompas. Ia tidak akan tetap. Sentiasa berubah-ubah. Sebab itu setiap kali teringatkan selain Allah, di saat itu hati kita perlu cepat-cepat istighfar dan ingat kepada Allah. In shaa Allah, andai hati kita ini dipenuhi rasa cinta kepada Allah, kita tidak akan mudah terikut kata hati yang membinasakan.”

 

Ini adalah kali pertama dia bercakap dan mengadu soal hati kepada sahabatnya itu. Dan syukur pada Ilahi kerana dia tidak tersalah memilih teman untuk berbicara.

 

Sekarang barulah dia faham apa maksud sahabatnya itu. Benar. Hati kita ini ibarat kompas. Tetapi mestilah dipandu oleh magnet yang betul iaitu magnet ilmu dan iman. Agar tidak terpinga-pinga di dalam kerungsingannya sendiri. Agar tidak tersesat di dalam kata hatinya yang membisikkan.

anime_jilbab_131.jpg_320_320_0_9223372036854775000_0_1_0

Namun, ia tetap sukar dan rapuh. Sukar sekali terasa di benaknya yang perit untuk menggapai cinta sang Pencipta yang Satu. Allah pemilik langit dan bumi.. ingin sekali dia penuhi di setiap ruang di hatinya dengan cinta yang hakiki iaitu cinta kepada Tuhan yang Menciptakan.

“Kompas Keimanan, pandulah aku ke pulau bahagia itu ”