Perkemaskan Matlamat Hidupmu

Standard

Matlamat hidup yang jelas akan memandu hidup manusia. Namun, matlamat tersebut haruslah tepat, benar dan mengikut syarak. Sebagai seorang muslim, apakah matlamat yang terbesar? Sudah tentu untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t. Redha Allah. Ya, sekali lagi redha Allah sahaja matlamat yang terbesar.

 

Jangan berputus asa…

Matlamat tersebut akan sentiasa memandu hidup kita. Setiap kali kita menemui kegagalan hidup, maka periksa kembali apa sebenarnya matlamat hidup kita seawalnya. Gagal dalam peperiksaan? Bukanlah bermakna hidup telah berakhir. Kerana matlamat hidup kita lebih besar daripada sebuah peperiksaan. Matlamat seorang muslim ialah untuk menggapai redha Allah.

 

Oleh itu, jangan berputus asa. Sebaliknya terus bangkit dan berjuang. Kerana untuk menggapai syurga, tiada istilah berputus asa dan mengalah. Gagal bermaksud Allah mahu kita ini menjadi lebih baik daripada semalam.

 

Allah telah berfirman di dalam surah Yusuf pada ayat ke 87, “… dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t.”

allah with me

Hidup ini ibarat roda. Adakalanya kita di atas, adakalanya kita di bawah. Saya tertarik dengan kata-kata Hilal Asyraf di dalam bukunya Langit Ilahi tentang orang yang bijak ialah yang apabila berada di bawah, dia akan segera berusaha untuk naik ke atas. Ya, tidak akan selamanya berada di bawah.

 

Syurga itu dikelilingi oleh kepayahan, kesengsaraan kerana yang menghuninya ialah manusia yang tabah dan sabar mentaati perintah Allah dan menghadapi kesulitan dengan penuh kesabaran dan tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah. =)

 

Janganlah gadaikan syurga yang indah hanya kerana kegagalan kita di dunia yang fana ini. Matlamat umat Islam lebih jauh dan besar. lihatlah betapa ramai yang mengambil jalan singkat seperti terjun bangunan, meminum racun dan sebagainya kerana gagal dalam kehidupan. Sedarilah bahawa matlamat kita lebih besar iaitu untuk menggarap syurga Ilahi.

 

Matlamat yang jelas iaitu untuk mencapai keredhaan Allah akan sentiasa pandu hidup manusia ke arah yang benar. Kerana matlamat tersebut, manusia mentaati perintah Allah. Manusia akan menjaga kehormatan dirinya. Manusia akan berbuat baik sesama manusia.

 

Hidup untuk berjuang

Kerana matlamat tersebut, seluruh umat Islam akan bangkit berjuang untuk Islam. Mereka akan mempunyai semangat juang yang tinggi. Sedarlah bahawa umat Islam terdahulu juga menghadapi kepayahan dan kesusahan untuk menegakkan Islam. Namun, kerana matlamat mereka sangat jelas, oleh itu mereka sedikitpun tidak gentar malah berani menegakkan kebenaran.

 

Tetapkan matlamat hidupmu. Mengapa hidup di atas dunia? Andai kata matlamat hidup anda masih belum jelas, perkemaskanlah. Katakanlah pada dirimu, “AKU HIDUP UNTUK ISLAM.” Sebutkannya berkali-kali. Pasti air mata yang bergelinangan. Kenapa? Kerana berat  untuk melakukannya. Oleh itu, baikilah hubungan dengan Allah agar roh untuk berjuang itu hadir ke dalam jiwa.

 

Sedangkan sudah terang lagi bersuluh kita ini dilahirkan sebagai orang Islam. Tetapi mengapa masih belum mahu hidup untuk Islam? Kerana sejak awal lagi kita tidak mempunyai matlamat yang benar dan tepat. Allahu Akbar…

 

Benar sahabat-sahabatku sekalian. Sukar sekali untuk menggadaikan diri untuk Islam kerana hidup kita ini sudah terlalu sibuk dengan kenikmatan dunia sehingga kita masih berkira-kira sama ada mahu berjuang atau tidak. Allah..Astaghfirullah…

 

Lihatlah apa  yang terjadi di abad ini, manusia kian lupa apa matlamat hidup di dunia ini. Mereka tidak jelas akan matlamat hidup yang sebenar lalu tersesat dari jalan yang sewajarnya. Kerana itulah, umat Islam kini seolah-oleh hilang roh Islam.

 

Ada yang terlibat dengan gejala sosial, leka dengan hiburan, terlibat dengan seks bebas, pembuangan bayi malah saling berbunuhan sesama sendiri. Boleh dikatakan sekarang ramai umat Islam yang tidak mengenali lagi Islam. Tiada lagi mempunyai matlamat yang jelas untuk Islam.

 

Namun begitu, adakah mereka yang mempunyai matlamat yang jelas perlu membiarkan hal ini terus menjadi parah dan tenat? Tidak. Sebaliknya berbuatlah sesuatu untuk menyelamatkan Islam itu sendiri. Matlamat tersebut bukan untuk diri sendiri semata-mata tetapi juga untuk manusia sejagat. Kerana Islam itu sendiri bersifat sewarjagat.

 

Astaghfirullah.. Kedengaran umat Islam kini kian parah. Bukan sahaja bumi semakin tenat, tetapi juga jasad-jasad yang tidak memiliki roh Islam yang memakmurkan bumi. Adakah mereka tiada matlamat yang jelas? Sedangkan matlamat seorang muslim tidak lain tidak bukan adalah untuk mencapai redha Allah s.w.t.

 

Kerana itu pentingnya miliki matlamat yang jelas, tepat dan benar. Tanpanya ibarat kehilangan kompas kehidupan dari Allah s.w.t. Hal ini kerana kita tidak tahu kepada apa kita patut jadikan sandaran. Sedangkan telah jelas iaitu kepada syariat yang diturunkan oleh Allah kepada rasulullah s.a.w.

 

Tanya pada dirimu, “Apa Matlamat Hidupku ?”

 

Saudara dan saudari sekalian, apa matlamat hidup kalian?

Sekiranya untuk mencapai redha Allah, maka tutuplah aurat, berbuat baiklah dan tinggalkanlah kejahatan.

Ayuh, perkemaskan lagi matlamat hidup kita yang sebenarnya. Kerana mereka yang berpegang teguh dengan tali Allah tidak akan tersesat dari jalan yang benar.

 

Allah s.w.t telah berfirman akan “ …..sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu barangsiapa yang engkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah memegang tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 256)

Wallahualam… ‘Ya Allah, bantulah kami semua dalam mentaati perintahMu dan hidup di dalam rahmatMu.. Aminn…”

Advertisements

Seorang Ayah…..

Standard

“Apa yang abah cakap sekarang mungkin kamu semua belum lagi lalui. Tapi kamu semua akan sedar akan kebenaran kata-kata abah apabila tiba masanya nanti.”

 

Saya diam.

 

Di dalam hati,

 

“Abah, sebenarnya apa yang abah cakap dahulu, telah pun saya lalui sekarang. Terima kasih abah. Benar cakap abah.”

 

Satu lagi yang membuatkan saya sedar. Abah telah banyak berkorban. Dah 20 tahun. Tanpa jemu dan lelah. Demi mencari nafkah untuk keluarga. Para sahabat, sedarlah, bukan senang untuk bekerja keras untuk sepanjang hidup. Tetapi bagi seorang ayah, mereka sangat tabah. Mereka tidak pernah hirau penat dan lelah.

 

Subhanallah. Sudah tentu Allah akan mengganjari mereka dengan ganjaran yang sangat setimpal. Abah ana dan antum sudah tentunya. Mereka sangat tabah bukan?

 

Kebahagiaan mereka adalah apabila melihat isteri, anak-anak dan ahli keluarganya gembira dan hidup dalam keharmonian. Kerisauan kita adalah kerisauan mereka. Susah kita adalah susah mereka. Siang dan malam memikirkan tentang kita sahaja. berfikir tentang bagaimana untuk memberi kemudahan kepada kita dan memimpin kita semua ke arah yang diredhai oleh Allah.

 

Itulah seorang ayah. Mereka tidak pernah mengenal erti putus asa dan mengalah. Kerja keras di samping tidak pernah melupakan ibadah kepada Allah.

 

Itulah yang Allah anugerahkan kepada seorang lelaki. Besarnya amanah yang Allah tanggungkan ke atas bahu mereka. Besar juga semangat dan sifat tanggungjawab mereka demi kebahagiaan orang sekeliling. Demi amanah  yang dipertanggungjawabkan ke atas diri mereka dan bukan untuk kesenangan diri mereka sendiri.

 

Benar. Seorang ibu lebih kaya dengan kasih sayang. Tetapi kasih sayang seorang ayah disertai dengan pengorbanan sepanjang hayat. Malah amanah yang Allah beri kepada kaum yang bergelar ayah ini akan berlangsung hingga ke negeri akhirat. Merekalah yang akan menanggung sebahagian besar dari apa yang kita kerjakan.

 

Isteri tidak menutup aurat. Suaminyalah yang akan menanggung di akhirat nanti. Anak perempuan tidak menutup aurat. Ayahnyalah yang akan bersoal jawab dengan Allah s.w.t.

 

Kata-kata abah sungguh bermotivasi. Dia tidak pernah berbual kosong dengan anak-anaknya. Pasti akan tersirat seribu hikmah dan manfaat. Kerana katanya, dia takut andai dia tidak sampaikan apa yang dia tahu, Allah bakal mempersoalkan hal tersebut di akhirat kelak.

 

Betapa besar tanggungjawab tersebut. Tanggungjawab untuk menyampaikan dan menegur. Walaupun kadang-kadang saya dan adik-adik jemu dan mengantuk mendengar ceramah dan tazkirah dari abah. Tapi suatu hari, kami semua akan sedar dengan sendirinya bahawa kata-kata abah tempoh hari sangat bernilai untuk kami semua.

 

Saya tahu bukan mudah untuk menyampaikan sesuatu yang kita tahu. Kerana takut-takut apa yang disampaikan itu mungkin muak untuk didengar. Tapi abah tidak hiraukan semua itu. Abah tetap setia menyampaikan walaupun adakalanya saya dan adik-adik hanya mendiamkan diri. Seolah-olah abah sedang bercakap dengan tunggul kayu. Tetapi abah tidak peduli.

 

Kata abah, kehidupan yang sedang saya dan adik-adik lalui sekarang bukan lagi kehidupan yang sebenar. Kehidupan yang sebenar apabila telah masuk alam pekerjaan dan perkahwinan. Percayalah apa yang kita sedang lalui sekarang ini tidak seberapa. Ketika itulah iman dan ketaqwaan akan benar-benar teruji.

 

Baru petang tadi abah berpesan kepada kami semua agar menggunakan masa muda, sihat dan waktu lapang ini dengan sebaiknya. Inilah tanda syukur kepada Allah akan segala nikmat Allah kepada kita.bukan hanya tahu menyebut kata syukur semata-mata. Tanda syukur ialah menggunakan nikmat yang Allah kurniakan dengan sebaiknya.

 

Abah juga berpesan agar belajar dengan bersungguh-sungguh. Memanglah bukan peluang pekerjaan yang dijanjikan tetapi ilmu. Ilmu itu lebih penting.

 

Saya tahu permulaan hidup abah memimpin keluarga kami bukan mudah. Segalanya menjadi mudah kerana abah meletakkan kebergantungan dan kepercayaan serta keyakinan kepada Allah. Dengan pendapatan bulanan sangat sedikit. Sudah tentu sukar.

 

Saya teringat akan kisah abah kepada kami. Ketika itu saya masih kecil. Abah tidak sanggup apabila kami terpaksa menumpang di rumah orang ketika hujan lebat. Masa itu abah belum mampu membeli sebuah kereta. Hanya mampu menaiki motosikal untuk membawa saya dan emak ke mana-mana. Jadi abah terpaksa membeli sebuah kereta demi kesenangan kami bertiga ketika itu.

 

Kereta yang abah beli sangat buruk dan banyak kerosakan.Saya masih ingat walaupun samar-samar. Saya ingat lagi kereta itu berwarna putih berjenama Toyota. Pintunya hanya boleh dibuka dari luar. Abah beli kereta itu dengan harga RM3000 lebih.

 

Saya sangat kagum. Kerana kata abah. “Yang penting saya tidak berpanas dan berhujan.” Abah terpaksa. Terpaksa membeli kereta yang buruk dan rosak kerana abah masih belum mampu.

 

Suatu perkara lagi yang membuatkan saya tersentuh tentang abah ialah sawah yang diusahakan oleh abah. Abah berkata kepada kami semua, “Bendang yang abah usahakan itu demi kesenangan anak-anak abah. Abah mahu anak-anak abah belajar hingga ke menara gading. Abah betul-betul meletakkan usaha yang tinggi kerana berharap agar padi menjadi elok. Mudah-mudahan hasilnya dapat memberi manfaat.”

 

Abah langsung tidak menggunakan duit tersebut. Abah simpan. Demi keperluan anak-anaknya. Abah yang bekerja keras. Tapi saya dan adik-adik yang mendapat manfaat. Selebihnya abah beri zakat kepada orang yang lebih memerlukan daripada hasil penuaian padi itu.

 

Kerana itu abah berpesan kepada kami agar jangan mengeluh apabila ditimpa kesusahan. Abah berpesan supaya kami menggunakan akal dan ilmu di dada untuk menghadapi kepayahan hidup. Kerana abah sering berpesan berulang-ulang kali bahawa HIDUP INI BUKAN MUDAH.

 

Benar kata abah. Allah mahu menguji keimanan hamba-Nya. Jadi sentiasa berbaik sangkalah dengan Allah. Allah lebih tahu segala-galanya.

 

Kisah kita mungkin serupa. Sekiranya berbeza. Ayah kita semua tetap ayah yang terbaik. Cara mereka berjuang mungkin berbeza, tetapi percayalah ia tidak mudah. Pengorbanan mereka sangat besar dan tidak pernah jemu untuk berkorban.

 

Ayah antum, sudah tentu hebat belaka. Kalau tidak bagaimana antum mampu menjadi hebat sekarang. Bersyukurlah. Hargai mereka ketika mereka masih hidup dan sentiasa doakan mereka walaupun mereka telah meninggalkan kita.

Jadikan dirimu sebagai Bidadari Syurga

Standard

Satu perkara yang paling membuatkan saya tertarik tentang bidadari syurga ialah mereka bukan sahaja teramat jelita tetapi akhlak mereka tersangat indah. Jelita sang bidadari mungkin sukar dicapai. Tetapi akhlak yang baik tidak mustahil untuk dimiliki.

 

Kecantikan bidadari itu telah dirakamkan di dalam Al-Quran. “Seakan-akan bidadari itu seperti yaqut dan marjan” (Ar-Rahman: 58)

Akhlak yang Baik”

Di dalam syurga itu ada bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik.” (Ar-Rahman: 70)

moslemah-angle1

Antara ciri bidadari syurga ialah cantik dan berakhlak baik. Subhanallah…. Oleh itu, apakah pengajaran yang boleh diambil khususnya sebagai seorang wanita?  Yang saya mahu tekankan di sini ialah tentang akhlak yang baik.

 

Sebagai wanita dunia, mahukah selayaknya anda digelar bidadari syurga?  Layak atau tidak. Usahalah sebaiknya kerana yang cantik itu lebih disukai oleh Allah s.w.t.  Apatah lagi akhlak yang cantik dan mulia.

 

Kalau begitu persiapkanlah diri dengan akhlak yang baik. Seorang perempuan yang berakhlak mulia itu lebih baik daripada 1000 lelaki soleh. Sedarilah bahawa nilai akhlak yang ada di dalam diri seorang wanita itu sangat bernilai dan lebih indah sekiranya dipraktikkan dengan baik.

 

Malah, seorang wanita yang berakhlak buruk barangkali lebih kelihatan jelik berbanding seorang lelaki yang berperangai buruk. Kerana sifat semula jadi seorang wanita itu bersifat lemah lembut dan sopan santun. Jadi, berakhlaklah dengan akhlak yang selayaknya dimiliki.

 

Oleh itu, hiasilah diri para wanita dengan sikap yang baik dan akhlak yang terpuji.  Maka dengan itu berazamlah dengan bersungguh-sungguh untuk mentaati Allah dan rasul serta memuliakan orang sekeliling. Itulah yang terbaik. Taat dan jauhi segala larangan-Nya. Itu sahaja yang bakal menyelamatkan kita semua daripada azab seksaan neraka.

 

Apabila seseorang wanita itu mengerjakan solat yang lima, berpuasa sepanjang bulan (Ramadhan), memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam syurga dari pintu mana sahaja yang engkau sukai.” (HR Ahmad dan Tabrani)

 

Hadis ini menunjukkan bahawa sangat penting untuk seorang muslimah untuk menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah, taat kepada suaminya dan juga menjaga harga dirinya. Dengan erti kata lain, hadis ini menegaskan bahawa penting untuk muslimah memiliki akhlak yang baik dan bersifat dengan sopan santun.

 

Sangat penting bagi seorang wanita menjaga harga dirinya. Bagaimana? Iaitu dengan menjaga aurat sebaiknya dan memelihara pergaulannya dengan lelaki yang bukan mahram. Malah jangan lupa juga untuk menghiasi diri dengan adab kesopanan. Letakkanlah keazaman yang tinggi kerana setiap perbuatan yang baik pasti akan diganjari oleh Allah. Hanya perlu bersabar. Pesanku buat diri sendiri dan para muslimat sekalian, “Bersabarlah”. Kerana,

 

Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam sebuah riwayat:

Janganlah kamu menganggap remeh kebaikan sedikitpun, sekalipun hanya dengan wajah berseri (senyum) ketika bertemu dengan saudaramu.”

…………………………………………………………………………………………………………………….

Allah telah mengangkat darjat lelaki ketika mereka di dunia mahupun di syurga.

Persaingan Rahsia antara Wanita Dunia dan Bidadari Syurga

Belum lagi bumi kering dengan darah syahid,namun kedua-dua isterinya dari kaum bidadari sudah menaunginya seperti dua induk unta yang menaungi anak mereka dari terik sinar mentari” HR Ahmad.

 

Para bidadari selalu mengintip suami-suami mereka dengan penuh kerinduan di balik awan. Ini menunjukkan Allah s.w.t telah memberi kemuliaan kepada kaum lelaki ketika mereka di dunia lagi.

 

Allah telah menciptakan suatu makhluk lain iaitu bidadari yang sama dengan wanita. Meskipun seorang lelaki yang soleh itu masih lagi di dunia,bidadari tersebut akan sentiasa menunggunya dengan setia.

Bukan calang-calang saingan

Namun, ini menunjukkan bahawa wanita dunia mempunyai saingan dengan bukan calang-calang makhluk iaitu bidadari yang mana Allah ciptakan dengan cahaya. Penciptaan mereka sungguh indah dan sempurna. Secara tidak langsung Allah sedang mengangkat darjat seorang wanita dunia dengan meletakkan persaingan mereka dengan makhluk syurga yang suci.

 

Dan di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang bermata jeli, laksana mutiara yang tersimpan baik, sebagai balasan bagi apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Waqi’ah:22-24)

 

Persaingan ini lebih tepat lagi antara para isteri di dunia dan bidadari di syurga.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia, melainkan isteri suami tersebut yang berasal daripada kaum bidadari akan berkata, ‘Jangan sakiti dia! Semoga Allah mencelakaimu, kerana dia bersamamu hanya seperti orang asing yang akan meninggalkanmu untuk menemui kami.”

Pesanan untuk para isteri

‘Oleh itu para isteri haruslah berjaga-jaga tentang sikap mereka terhadap suami. Kerana Allah telah memuliakan mereka yang soleh ketika di dunia, oleh itu tidak selayaknya kaum isteri berbuat jahat kepada suaminya.’

 

Tetapi diri sendiri yang bercakap ini juga belum lagi menjadi seorang isteri. Masih terlalu muda. Jadi, adalah lebih baik untuk mempersiapkan diri menjadikan diri setanding dengan para bidadari di syurga. Bagaimana?

 

Mempersiapkan diri dengan akhlak yang baik, ilmu pengetahuan dan tingkatkan ibadah kepada Allah s.w.t.

 

Usahalah sebaik mungkin dengan penuh keazaman demi mencapai redha Allah semata-mata untuk memiliki akhlak yang baik. Bukan kerana hal keduniaan yang sementara tetapi demi menggapai syurga abadi.

“Embun Kasih bersama Angin Rindu”

Standard

“Embun Kasih bersama Angin Rindu”

424668_492502517484731_83304854_n (1)

pokok belakang rumah..di tepi sawah

Angin bertiup kencang. Menambah kegusaran hatiku yang mendambakan keredhaan yang Maha Penyayang. Tetapi jangan risau… Meskipun gusar bertandang di hati, namun kasih Allah masih bersama jiwaku yang mengharapkan kasih-Nya.

 

Sahabat, embun sayang dan angin rindu buat kalian ini akan sentiasa kunjung meniti di hatiku ini. Oleh itu, jernih kasih rindu di dalam diri ini tidak akan berakhir. Kerana embun tetap hadir kerana siang tetap akan setia menggantikan malam dengan izin-Nya. Kerana angin tetap akan sentiasa menghiasi alam.

 

Dinginnya air embun yang membasahi daun, sedingin hatiku yang menangis rindukan kasih kita yang bertaut demi mengharapkan kasih-Nya….

 

“Tautan hati kita…”

Tautan hati itu ibarat tali yang menghubungkan kasih hamba dengan Tuhan yang Esa. Moga ia tidak akan terputus buat selama-lamanya. Kerana kasih Allah tidak pernah henti buat hamba yang mendambakan cinta dari-Nya. Yang bersatu kerana merindukan cinta Allah semata-mata.

 

Sahabat, sedarilah bahawa kalianlah yang menjadi qudwah hasanah yang terdekat buatku. Kerana di dalam dirimu mengalirnya akhlak rasulullah s.a.w kekasih Allah itu. Jadi, aku cuba mencontohi akhlakmu sedaya yang kumampu.

 

Oleh itu, hari ini kuberdoa dengan segenap kejujuran agar aku dapat mendiami syurga Ilahi bersama-sama denganmu. Wahai sahabat, terima kasih kerana menjadi contoh yang terbaik buat orang-orang sekelilingmu.

 

Andai kamu adalah serpihan mutiara daripada akhlak rasul yang teragung. Maka aku mahu sekali menjadi serpihan daripada akhlakmu itu. Mudah-mudahan dapat sampaikan aku kepada akhlak baginda yang terpuji. ^^

 

Besarnya peranan sahabat dalam menunjukkan akhlak yang baik. Sehingga setiap tutur bicara dan gayamu mahu kujadikan sebagai panduan. Mahu kujadikan contoh tauladan. Kerana kata-kata yang diucapkan olehmu itu tersirat hikmah dan pedoman. Kerana setiap gayamu itu melambangkan peribadi junjungan kita nabi Muhammad s.a.w.

 

Sifat aku yang kegilaan sedikit ini, adakalanya mendambakan aku untuk melihat kamu sebagai contoh dalam kehidupan seharian yang penuh mencabar.

 

Akan kumanfaatkan ukhuwah ini sebaiknya~

Manisnya ukhuwah tatkala kita saling mengingati…^^

Terima kasih teman, kerana menghiasi diri kalian dengan qudwah hasanah rasulullah s.a.w,

Moga syurga menjadi destinasi kita nanti…

“Angin yang bertiup dengan kekuasaan-Nya, bawalah kata rindu ini kepada mereka yang kusayang, agar aku jua turut menjadi kerinduan mereka. Kerana rindu ini terselit doa buat kesejahteraan temanku walau di mana jua mereka berada.”

“Wahai rindu, pergilah bersama angin lalu, menyapa hati mereka yang sarat dengan ketulusan mengharapkan redha yang Satu.“ =)

“Kerana Kita Adik Beradik”

Standard

Angin bertiup lembut, menyapa hatiku yang merindukan cinta Tuhan yang Maha Suci. “Wahai angin yang membawa khabar gembira, aku rindukan sahabat-sahabatku. Aku rindukan teman-teman yang sebelum ini selalu berkongsi sesuatu denganku. Walaupun hal yang tidak penting, tetapi dia tetap setia bercerita denganku, dan aku tidak pernah jemu untuk mendengar.”

Masihku ingat walaupun aku sibuk dan kamu sibuk menuntut ilmu, tetapi kita tetap merelakan diri mendengar suara masing-masing, berjumpa berkongsi sesuatu yang ingin dikongsi. Kerana kita satu keluarga.

Tidak tahu mengapa sejak kepulangan ke kampung, hatiku terasa rindu yang teramat mendalam buat teman-teman seperjuangan. Bukan tidak biasa bercuti, tapi percutian kali ini menandakan bahawa kita bakal terpisah.  Aku dapat merasakannya melainkan kita sama-sama berusaha untuk memelihara ukhuwah ini.

Berpisah jasad tatkala jiwa kita telah bersatu teguh, tatkala hati kita tersimpul kalimah yang suci memuji Tuhan nan Indah. Di saat nyawa telah dipertaruhkan demi seruan sebuah jihad.

Ingatlah wahai teman-teman, walau kita berjauhan, namun kalian semua sentiasa terpahat kukuh di sanubari ini, masih tersemat indah di dalam doaku yang dipanjatkan sekian hari.

Satu lagi pesanku, walau sebesar mana pun kesalahan yang kita lakukan, kita tetap adik beradik. Adik beradik seaqidah. Air dicincang tidak akan putus selama-lamanya bukan?

Walau sehebat mana pun marahku kepadamu, walau sesakit manapun hatiku dek kesalahanmu, KITA TETAP ADIK BERADIK. Kita semua menyembah Tuhan yang Esa, menyanjungi rasulullah junjungan tercinta… Ingat, ‘ukhuwah kita atas dasar aqidah’.

Kita sama walaupun berbeza.

Hanya ketaqwaan yang membezakan kita semua di sisi Allah s.w.t.

Kerana perbezaan itu menjadikan kita sebuah bangunan yang kukuh. Bangunan tidak akan terbina sekiranya hanya berasaskan batu bata atau hanya berasaskan simen semata-mata. Tetapi sebuah bangunan terbina utuh hasil gabungan batu, simen, kerikil dan sebagainya. Semuanya memainkan peranan masing-masing agar sebuah bangunan yang tersergam indah terbina.

Semalam kita berkongsi. Aku rindu untuk mendengar perkongsian darimu. Sahabat, tiada istilah sakit hati atau marah buatmu. Mungkin, yang ada hanya sedikit kesedihan yang menyapa hatiku. Tetapi kesedihan itu bukan kerana kesalahanmu itu, tetapi kerana kurasakan kamu jauh dariku… kamu telah pergi jauh sejauh-jauhnya sehingga walau sekuat manapun aku berlari mengejar kembali ukhuwah kita, ku masih belum boleh menggapai kasih itu. =(

Semalam diriku terasa penting buatmu. Tetapi hari ini, mungkin aku jua sudah tidak diperlukan lagi. Adakah kamu lupa kenapa kita berukhuwah? Adakah kamu lupa perkongsian kita semalam itu? Bukankah kita adik beradik? Hatiku menjadi keliru dengan dirimu yang semakin menjauh. Kerana kufikir, walaupun kita jauh, tapi hati kita sentiasa dekat, ingatan tentang satu sama lain tidak akan putus walau apa jua yang berlaku.

“Tidak pernah hilang memori itu”.

Wahai teman, mungkin aku yang salah… T_T

Kerana tidak mahu ukhuwah kita menjadi renggang…. Kerana kita adik-beradik. Aku bersyukur kerana ‘bonda’ masih setia mahu mendengar keluhan hati kita semua.

 

Kompas Cinta

Standard

Malam sedang melabuhkan tirainya yang indah. Sang mentari kembali menyapa alam membasahi bumi dengan sinarnya yang cerah. Subhanallah. Indahnya setiap kejadian ciptaan Allah yang Esa.

 

Beberapa kali buku ditatap tetapi ditutupnya kembali. Tidak tahu apa yang merunsingkan hati kecil dan fikirannya ketika ini. Sukar ditafsirkan.

 

Malah sudah beberapa hari tidurnya tidak nyenyak seperti selalu. Terkumat kamit mulutnya berzikir kepada Allah, tetapi hatinya tetap dirundung gelisah.

 

“Ya Allah..permudahkanlah segalanya dan tunjukkanlah jalan yang benar.” Doa hati kecilnya yang sarat dengan pengharapan yang ikhlas. Agar ketabahannya mampu menghadapi segala cabaran dan onar.

 

Di saat cinta bertandang di hati, tidak tahu mengapa hatinya berasa gundah. Mungkin juga kerana takut akan cinta yang hadir ini tidak dipandu ke arah yang sewajarnya. Berkali-kali dia berzikir menyebut nama Tuhannya. Cuba mencari di segenap sudut akan dirinya semula.

 

Dia tidak mengharapkan berlari menuju keredhaan, tetapi cukuplah sekadar merangkak mendambakan kasih Tuhan. Kerana itu sahaja yang dia mampu lakukan setakat ini.

 

Air mata mengalir lagi. Barangkali untuk menyucikan sanubarinya yang jauh dari Allah s.w.t. Barangkali untuk menjernihkan kembali kekeruhan di dalam hatinya. Dia juga tidak tahu mengapa air mata itu menitis tanpa dia pinta.

 

Cinta yang hadir perlu dipandu dengan kompas keimanan. Dilestarikan dengan keikhlasan. Dibajai dengan ilmu pengetahuan dan jati diri. Tanpa ilmu, magnet kompas cinta yang bergetar hebat ini mungkin bakal tersasar dari jalan ketaqwaannya. Mungkin tersepit di dalam kewarasannya.

 

Sejenak dia berfikir.

Buku-buku di rak yang tersusun rapi itu di ambilnya satu persatu lalu dibacanya dengan tekun. Mudah-mudahan dapat mengisi hatinya yang kosong itu dengan ilmu. Agar dapat menyelamatkan hatinya yang tersepit dalam kejahilan.

 

Lalu dia teringat akan pesanan sahabatnya. “Hati kita ini ibarat kompas. Ia tidak akan tetap. Sentiasa berubah-ubah. Sebab itu setiap kali teringatkan selain Allah, di saat itu hati kita perlu cepat-cepat istighfar dan ingat kepada Allah. In shaa Allah, andai hati kita ini dipenuhi rasa cinta kepada Allah, kita tidak akan mudah terikut kata hati yang membinasakan.”

 

Ini adalah kali pertama dia bercakap dan mengadu soal hati kepada sahabatnya itu. Dan syukur pada Ilahi kerana dia tidak tersalah memilih teman untuk berbicara.

 

Sekarang barulah dia faham apa maksud sahabatnya itu. Benar. Hati kita ini ibarat kompas. Tetapi mestilah dipandu oleh magnet yang betul iaitu magnet ilmu dan iman. Agar tidak terpinga-pinga di dalam kerungsingannya sendiri. Agar tidak tersesat di dalam kata hatinya yang membisikkan.

anime_jilbab_131.jpg_320_320_0_9223372036854775000_0_1_0

Namun, ia tetap sukar dan rapuh. Sukar sekali terasa di benaknya yang perit untuk menggapai cinta sang Pencipta yang Satu. Allah pemilik langit dan bumi.. ingin sekali dia penuhi di setiap ruang di hatinya dengan cinta yang hakiki iaitu cinta kepada Tuhan yang Menciptakan.

“Kompas Keimanan, pandulah aku ke pulau bahagia itu ”

Malam yang Pekat

Standard

Ku mendongak ke langit.

Sepi sekali.

Hari ini langit sendiri.

Tanpa dihiasi sang bulan dan bintang.

Yang kedengaran cuma bunyi angin yang menemani malam.

Malam…

Kenapa kau begitu sepi?

Sesepi hatiku yang merindukan Tuhan,

Seketika hati bertanya,

Adakah diri ini sendiri?

Jawab angin,

Tidak wahai hati yang dingin,

Kamu ada Allah,

Lalu,

Hati menjerit perit,

Tidak sakit,

Tetapi mengapa air mata menitis?

Mencari-cari di mana Allah di hatinya,

Sukarnya pencarian itu,

Tangan menggapai-gapai di segenap sudut hati itu,

Gelap,

Seperti malam yang pekat,

Allah…

Di mana…

Dia menangis lagi,

Kerana dia telah menzalimi dirinya sendiri

Lalu sesat di dalam kebingungannya sendiri….

Bicara ini buatmu teman..

Standard

Pagi ini sungguh tenang. Beburung berterbangan di angkasa dengan penuh keriangan. Mungkin di antara mereka itu, ada yang sedang berjuang. Berjuang mencari makanan buat anak-anak yang menangis di sarang.

 

Akhir-akhir ini suara riuh pelajar-pelajar CFSIIUM semakin menemui kesepian. Mengapa di kala ini? Kerana aku belum bersedia untuk berpisah dengan suasana itu. Berpisah dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang mengajarku erti kehidupan.

 

Beberapa kali aku menangis di kala sujudku. Tidak tahu mengapa air mata senang sekali menitis di atas sejadah tanpa dipinta pada pagi ini. Dalam setiap doaku kuberharap agar Allah memberkati ukhuwah yang terbina ini dan perpisahan yang telah Dia tetapkan ini.

 

Tidak pernah kurasakan ukhuwah sehebat ini, seteguh ini, semanis ini…

 

“Kata bonda, kita hanya berpisah di mata tetapi di hati sama sekali tidak.”

Teman,

Di pagi yang mendamaikan ini, mungkin aku sahaja yang bersedih. Sedang orang lain sangat gembira untuk pulang ke kampung masing-masing. Bersedih kerana mahu meninggalkan bumi CFS ini yang memberi seribu kenangan manis dan pahit. Segala memori indah dan duka ku pahatkan di sini dan kusemat kemas di dalam hati.

 

Ku tahu, perjalanan ini masih panjang…. Hari ini hanyalah permulaan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang yang sudah tentu dihiasi dengan ujian dan cabaran.

 

Namun keadaan pasti berbeza. Kerana hari-hari yang mendatang kulalui tanpa kehadiran kalian di sisi.

 

Sahabat,

Hari itu kita bertemu tanpa dirancang. Hari ini Allah pisahkan kita tanpa diduga. Tidak mustahil Allah akan pertemukan kita semula. Kalau tidak di dunia yang fana ini, ku yakin di syurga nanti pasti kita akan bertemu kembali. Dan kembali menggenggam erat tanganku buat selama-lamanya kerana persahabatan ini tiada akhirnya.

 

Temanku yang paling ku sayangi, kesemuanya sekali..

 

Ibarat,

Seluruh hidupku telahku habiskan dengan kalian semua. Mana tidaknya.. Solat bersama-sama, makan bersama-sama, tidur bersama-sama, belajar bersama-sama, riadah bersama-sama, malah mandi juga bersama-sama . Di mana? Di Sungai Pisang. Malah, hampir setiap hari kita bersua. Dan telingaku tidak pernah lekang di sapa oleh kamu semua. Suka duka, nangis dan tawa kita kongsikan bersama.

 

Jadi, mampukah aku mengahabiskan sebahagian lagi hidupku tanpa kalian? Keadaan pasti berbeza wahai temanku. Meneruskan gerak kerja tanpa kamu yang banyak memberikan kata-kata pedoman.

 

Mendengar namamu sahaja sudah buat aku bersemangat untuk hidup, dan mendengar suaramu membuatkan kuterkenang akhirat yang kian menyapa. Apatah lagi apabila kita seiringan berjalan menuju keredhaan, berlari menongkah arus akhir zaman dan mendaki segala payah dan jerih kehidupan ini.

 

Kerana,

Ukhuwah kita bukan kerana harta, bukan kerana rupa,

Tetapi,

Seperti kata bonda, ukhuwah kita atas dasar AQIDAH.

Ini bermakna ukhuwah kita diselitkan rasa CINTA,

Cinta yang berpaksikan Allah s.w.t sebagai tuhan yang Esa, rasulullah sebagai qudwah tercinta, al-quran sebagai pegangan kita, dan jihad sebagai jalan juang kita semua.

Maafkan segala salah dan silapku dan terima kasih untuk segalanya. PERPISAHAN INI MUNGKIN UNTUK SELAMA-LAMANYA DI DUNIA INI KERANA KITA BAKAL BERSAMA SELAMA-LAMANYA DI SYURGA NANTI.

Abah, Jangan Tinggalkan Saya

Standard

Keluarga saya bukanlah keluarga yang senang. Miskin? Bukan… Kaya? Bukan juga… Kata orang, cukup-cukup makan. Gaji abah setiap bulan sangat sedikit jika dibandingkan dengan gaji ayah sahabat-sahabat saya. Sekiranya digandakan 10 kali ganda gaji abah, barulah sama dengan gaji ayah dan ibu sahabat-sahabat saya.

Ibu saya pula tidak bekerja. Kami sekeluarga hanya bergantung kepada abah seorang sahaja untuk mendapatkan sesuap nasi dan mendapatkan tempat tinggal yang sempurna. Bunyinya seperti agak tragis, tetapi itulah hakikatnya…

Saya dan adik-adik seramai 5 orang dan semuanya masih bersekolah. Kadang-kadang orang sekeliling hairan bagaimana abah boleh memelihara kami dengan baik dengan gaji yang sedikit itu. Abah hanya tersenyum kerana kami tidak pernah rasa susah.

Saya teringat lagi dahulu ketika saya masih bersekolah rendah. Ketika itu gaji abah sebulanhanya RM300lebih. Saya sangat terkejut sehingga mengalir air mata apabila diberitahu emak betapa abah sangat sabar menerima gaji yang sedikit walaupun membuat kerja yang berat.

Wang saku saya pada katika itu pada mulanya hanya 30 sen sewaktu darjah satu. Ketika umur saya menginjak 12 tahun, wang saku yang saya bawa ke sekolah setiap hari ialah sebanyak RM1.20. Wah, semakin bertambah. Alhamdulillah…

Saya teringat akan kasut yang pelbagai ragam ketika sekolah rendah dahulu. Ada yang saya pakai sehingga berlubang di hujung, ada juga sehingga saya terpaksa memijak di belakang kasut sehingga reput kerana tidak muat lagi untuk dipakai dengan sempurna…=D

Kadang-kadang kasut yang dipakai itu sudah tidak boleh ditutup kerana terlalu ketat lalu terbuka sahajalah penutupnya. Penat saya setiap kali perlu menutup kembali kasut. Kadang-kadang sehingga tersungkur kerana ditolak oleh pelajar lelaki yang nakal…

Saya juga masih ingat akan baju dan kain yang singkat yang dipakai ketika sekolah rendah. Saya hanya mendiamkan diri. Padahal sudah berapa sentimeter saya menurunkan kain supaya tampak labuh sedikit. Biasalah budak-budak cepat membesar ketika sekolah.=D

Pernah suatu hari saya diejek oleh budak-budak lelaki yang sangat nakal. Mereka mengejek saya beramai-ramai kerana saya menunggang basikal buruk ke sekolah. Itupun basikal pembelian tok wan.

Dan suatu hari, saya menunggang basikal yang baru pemberian tok wan yang berwarna kuning dan sangat cantik. Kemudian ada seorang pelajar mengejek saya.

” Ceh… Dah pakai basikal baru pembelian Tok Man. Hahaha…” Mereka ketawakan saya beramai-ramai.

Sedihnya saya pada ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Saya menjerit kepada mereka sambil menggenggam tangan. Sangat marah ketika itu. Dalam hati ini saya menjerit  ” Apa masalah kamu kalau aku dah pakai basikal baru?”

“Biarlah! Aku tahulah keluarga aku miskin, tak mampu nak beli basikal yang lebih baik macam kamu semua ini. Asalkan aku belajar bersungguh-sungguh untuk balas jasa mak ayah aku!” Saya menengking mereka tanpa saya sedar bahawa saya telah menjadi HULK ketika itu. Habis basikal-basikal mereka saya terbalikkan…

Saya menangis di sepanjang perjalanan pulang dari sekolah pada hari itu. Saya tidak pernah rasa susah. Mengapa mereka rasa tidak puas hati…

Kawan-kawan abah selalu berkata sebegini pada abah,

“Macam mana hang boleh bela anak-anak hang dengan gaji macam tu? Kami ni yang gaji lebih daripada hang pun masih tak cukup lagi.”

Tok iaitu mak kepada abah juga tidak sanggup menerima wang dari abah.

Eh, tak payahlah bagi. Emak tak boleh nak terima. Anak-anak hang lagi memerlukan duit ini.”

Tok wan juga pernah berkata kepada saya,

“Wan ni yang tak perlu tanggung sesiapa pun belanja sehari RM50, apatah lagi abah hang. Dia nak kena sara hampa sekeluarga. Ingat senang ke dengan gaji sedikit macam tu. Sebab tu kena belajar rajin-rajin untuk balas jasa abah.”

Walaupun saya dan sahabat-sahabat saya berasal dari latar belakang keluarga yang berbeza, tetapi saya tidak pernah rasa kekurangan. Abah memenuhi keperluan kami sekeluarga dengan baik sekali.

Saya melihat abah. Abah. Abah sangat tabah berjuang untuk kami. Pagi, petang siang dan malam, tanpa mengira panas atau hujan, abah akan tetap pergi bekerja. Pilu hati saya setiap kali melihat abah pulang dengan keceriaan. Seolah-olah tidak pernah berasa susah dan jemu apatah lagi letih.

Sawah padi tempat saya bermain

Pulang dari tempat kerja, abah terus ke sawah padi untuk meneruskan kerja bersawah pula. Kadang-kadang abah pulang dari bendang dengan penuh keletihan. Kadang-kadang abah batuk berhari-hari kerana terhidu racun yang disembur pada padi. Setiap hari abah ke sawah… Dengan harapan agar padi berbuah dengan baik. Mudah-mudahan dapat menampung pembelajaan kami sekeluarga..

Kadang-kadang saya melihat abah sangat senang untuk tidur. Terbaringnya dia di atas lantai yang sejuk itu kerana keletihan yang dia sembunyikan membuatkan saya sebak. Saya cuba mengejutkan abah untuk tidur di tempat yang selesa, lalu abah bangun dengan keletihan dan mencapai cermin matanya yang sudah buruk dan rosak.

Sudah beberapa kali saya menasihati abah. “Abah, tukarlah spek mata baru. Dah pecah dah cermin tu. Nanti sakit pula mata.” Memang mata abah sakit kerana sudah beberapa minggu memakai cermin mata yang sudah pecah.

Jawab abah, katanya..”Abah tak sanggup nak guna duit untuk keperluan abah sendiri. Anak-anak abah lebih penting.”

Allahu Akbar… Kenapa abah jawab sedemikian. Adakah abah fikir, abah tidak penting bagi anak-anaknya? Sebak hati saya. Saya sangkan abah lebih daripada diri saya sendiri. Mana mungkin saya sanggup melihat abah sakit.

Adakalanya saya pilu apabila melihat keadaan rumah yang sudah retak di sana sini. Beberapa kali abah cuba menampal menggunakan simen, tetapi rekahan itu tetap juga terjadi, sehingga cahaya di luar melusur ke dalam. Pernah suatu hari ketika sedang membasuh pinggan, saya bertanyakan kepada emak.

“ Emak, rumah kita ini bakal robohkah? Mengapa semakin besar sahaja rekahan ini. Banyak pula itu.”

Saya bukan merungut, tetapi sekadar ingin tahu.

Emak menjawab , “Eh, tak adalah… in shaa Allah, rumah kita masih kukuh lagi.”

Suatu hari saya bersembang dengan emak sambil berbaring di sisi emak di atas katil. Saya bertanya kepada emak.

“Emak, siling ini tidak bakal robohkah? Kenapa saya melihat ia seolah-olah tidak kukuh?”

“ Eh kamu ini. Kukuh… In shaa Allah..Hai, mentang-mentanglah sedang mengadap siling, mulalah fikir yang bukan-bukan” Mak menjawab dengan sayu.. Tetapi masih mampu membuatkan saya ketawa.

Rumah saya tidak seperti rumah kalian semua yang lantainya dihiasi marmar yang cantik dan indah. Dinding rumah saya tidaklah sesempurna rumah kalian.

Tetapi kami sekeluarga tidak pernah rasa susah. Saya dan adik-adik tidak pernah merungut apatah lagi bertanyakan sedemikian rupa di hadapan abah. Saya tahu sekiranya abah mampu sudah tentu telah lama abah cuba baiki semuanya.

Sedangkan baju yang dipakainya hampir reput, adakah saya sanggup lagi menambah bebannya..

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Suatu malam saya berbicara dengan abah. Saya menceritakan kepada abah tentang seorang sahabat saya di universiti.

“ Abah tahu tak, kawan saya di universiti ada cakap pada saya yang dia dah tak ada semangat untuk belajar setelah pemergian ayahnya. Sebab selama ini dia belajar semata-mata kerana ingin membanggakan ayahnya sahaja.”

Abah membalas..

“Eh, janganlah macam itu. Belajar mestilah kerana Allah taala, dan bukan kerana sesiapa. Niat itu mestilah betul.”

Saya menjawab.

“Sebenarnya abah, anak perempuan ini, kekuatannya ada apabila dia ada seorang ayah. Walaupun ayah dia itu sakit atau tidak upaya untuk memberi nafkah, tetapi hakikatnya ayahnya tetap ketua keluarga. Kehilangan seorang ayah ibarat kehilangan tempat bergantung.”

“Samalah saya ni pun abah. Saya kuat menjalani kehidupan kerana saya sedar bahawa saya ada ayah yang sedang menyokong saya dari belakang. Itulah hakikat seorang anak perempuan. Ayahnya ibarat tulang belakangnya. Saya mendapat kekuatan untuk terus hidup kerana saya tahu saya ada ayah.”

Abah membalas. Kali ini saya melihat abah seperti menahan sesuatu. Barangkali menahan sebak di dada. Saya tahu mengapa abah sebak. Kerana abah telah berkorban jiwa dan raganya untuk saya dan adik-adik. Abah telah berikan segala-galanya demi melihat kejayaan anak-anaknya.

“Janganlah cakap macam tu. Abah ini tiada apa-apa. Abah hanya mahu melihat umat Islam kini berjaya.”

Kedengaran suara abah kian perlahan. Saya juga cuba sedaya upaya menahan air mata supaya tampak tabah di hadapan abah…

Abah, saya tak tahu apa yang akan terjadi kepada saya kalau abah pergi buat selama-lamanya. T_T

Kini Kau Pergi….

Standard

Cerita ini diambil daripada sebuah kisah benar. Mungkin ini ialah kisahku sendiri atau mungkin juga kisah orang lain… Siapa dia? Kisah tentang siapakah ini? Biarlah rahsia. Ia satu kisah yang kukira, sangat berat bagi si dia yang menanggung walaupun bagi orang lain ia mungkin hanya suatu perkara yang remeh.

Saya namakan gadis ini sebagai Nur yang berumur 20 tahun

Dahulu di samping Nur ada seseorang yang selalu bersamanya. Nur mengenalinya sejak Tingkatan 2. Kehadiran seseorang itu seperti cahaya yang menyinari hidupnya yang membuatkan Nur sentiasa bersemangat untuk meneruskan kehidupan dengan penuh keceriaan. Segala masalah dan luahan hati sentiasa dikongsikan dengan dia itu.

Sehinggalah Nur berumur 20 tahun, kehadiran dia itu sentiasa membuatkan Nur tabah mengharungi kehidupan. Malah, Nur sentiasa berusaha untuk selalu dekat dengannya kerana kekuatan Nur ada bila dia ada. Nur seolah-olah tidak mampu untuk berjauhan dengan dia kerana sayangnya Nur padanya dan betapa pentingnya kehadiran dia dalam hidup Nur. Apa sahaja yang dirasai Nur dan apa sahaja yang Nur alami segalanya diceritakan kepada dia.

Bagi Nur, dialah nyawa dan segala-galanya bagi Nur.

Tetapi ketika Nur berada di saat yang paling sukar dan ketika Nur merasai sakit yang paling dahsyat, di saat itulah………

Dia pergi dari hidup Nur.

Selama 6 tahun, segala-galanya dikongsikan dengan dia. Siapa duga malah Nur sendiri tidak menyangka bahawa dia akan pergi dan tiada lagi di sisi Nur.

Mungkin,

buat selama-lamanya…

Kalau dahulu, setiap kali Nur sakit, pasti dia akan menemani Nur ke klinik. Kalau dahulu, setiap kali dia pergi ke mana-mana pasti ada sesuatu yang dihadiahkan untuk Nur. Setiap kali Nur dirundung masalah, pasti dia akan memberi kata-kata semangat pada Nur. Tetapi kini semua itu tidak akan bakal berulang lagi.

Setiap hari hidup Nur di temani oleh air mata. Tidurnya Nur pada setiap malam bukan kerana dia mengantuk, tetapi kerana dia keletihan menangis. Menangis kerana sakit dan juga menangis kerana kehilangan orang yang tersayang di saat Nur paling memerlukan dia. Nur selalu menyalahkan diri Nur sendiri. “ Ya Allah, mungkin ini ialah balasan kerana aku tidak pandai menghargai dirinya selama ini. Aku hanya tahu menyayanginya sahaja.”

Kerinduan Nur pada dia tidak pernah putus. Malah perit rasanya apabila Nur sedar bahawa dia tiada di samping Nur lagi.

Kadang-kadang sahabatnya perasan akan air mata yang bergenangan di mata Nur. Tetapi jawapan Nur tetap sama. “ Saya baik-baik sahajalah. Mungkin mengantuk sangat sampai mengalir air mata agaknya.”

Setiap hari Nur berdoa pada Allah, “ Ya Allah, kembalikanlah dia kepadaku semula pada suatu hari nanti agar aku dapat lebih menghargai dirinya. Dan kembalikanlah dia ketika aku mampu menjadi yang terbaik untuknya. Mungkin jua di syurga nanti.”

Walaupun hidup Nur setiap hari dihiasi dengan air mata, tetapi sebenarnya air mata itulah yang menjadi sumber kekuatan dirinya. Bagi Nur, hanya menangis ialah satu-satunya cara yang di mampu lakukan di samping berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t.

Daripada sini jelaslah Nur sukar menghadapi keadaan tersebut. Dia tidak mampu menyembunyikan rasa sedihnya kerana kehilangan orang yang tersayang di kala waktu Nur sangat memerlukan dia. Menangis. Itu sahaja cara Nur memendam perasaannya yang terdaya dia lakukan.

Nur ialah seorang yang kerap kali ditimpa sakit. Malah sejak kecil lagi sakit yang dia alami bersambung-sambung, tiada putus. Sihat dengan erti kata lain baginya ialah sakit. Kalau sesekali ditimpa sakit, sakitnya bukan kepalang dan sembarangan sekali. Sakitnya itu sukar ditanggung!

Adakalanya badan Nur sehingga menggeletar kerana menahan kesakitan yang teramat sangat.

Sehingga suatu saat dia tidak sanggup lagi menahan sakit yang tidak henti mengunjungi dirinya.

Tetapi dia hanya diamkan diri. Wajahnya sentiasa menunjukkan keceriaan. Dia selalu beritahu emaknya yang sentiasa risau akan dirinya. Tak apa mak. Paling teruk pun saya akan menangis. Lepas menangis saya akan baik.” Adakalanya Nur menangis teresak-esak menahan kesakitan.

Ibarat berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah ungkapan yang selayaknya ditujukan kepadanya.

“ Nur,sabarlah Nur. Allah sayangkan Nur. Sebab itulah Allah beri ujian ini. Soal duit, Nur tidak perlu risau. Mak dan abah akan buat sedaya upaya untuk sembuhkan Nur.” Emaknyalah yang selalu memujuk hatinya. Kadang-kadang Mak Cik Siti tidak sanggup lagi melihat Nur yang tidak pernah henti ditimpa ujian.

Kadang-kadang Nur dipulau dan dibenci oleh adiknya kerana emak dan abahnya sering beri tumpuan padanya. Nur sedih kerana adik-adiknya tidak cuba memahami dirinya yang tidak rela diberi ujian sebegitu. Pernah suatu pagi Nur terdengar perbualan adik-adiknya. “ Kak Nur ke hospital lagi? Buat apa pula? Asyik ke hospital saja. Tahu menyusahkan mak dan abah saja.” Nur terkedu mendengar kata-kata adiknya. Dalam hati Nur berbisik, “ Wahai adik-adikku, kalian fikir aku seronok sakit-sakit begini?” Air mata Nur mengalir deras.

Nur menganggap sakit itu ialah ujian untuknya. Nur tahu ada orang lain yang lebih menderita daripadanya. Walaupun kadang-kadang sakit yang dia rasai seolah-olah hampir menangkis keimanannya. Kerana kadang-kadang terdetik di hatinya, “ Ya Allah, ujian ini terlalu berat untuk aku tanggung. Mengapa Kau berikan ujian ini. Sesungguhnya aku tidak terdaya untuk menanggung.” Tetapi walaupun begitu Nur tetap tabah dan sabar walaupun dia kerap menangis.

Sehingga suatu saat, Allah mengujinya dengan memberi ujian kesakitan yang teramat sangat. Selama sebulan, Nur tidak dapat makan, minum, tidur dengan baik dan sempurna kerana sakit yang dia alami. Kerap kali dia, emak dan ayahnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Tetapi doktor masih sukar untuk mencari sebab kesakitannya itu. “ Nur, doktor pun tak tahulah kamu ini sakit apa.”Nur berputus asa. Malah Allah mengujinya juga ketika itu iaitu Nur kehilangan orang yang paling dia sayang di saat di sangat sakit.

“ Emak, kita tak payahlah ke hospital lagi. Nur dah penat. Nur dah redha.”

Abah Nur juga tidak sanggup melihat anaknya yang tidak pernah putus merasai sakit. Pada suatu malam ketika seusai solat Maghrib di masjid tiba-tiba abah Nur mendapat ilham daripada Allah. Abah Nur teringat akan sikap-sikap luar biasa yang ditunjukkan oleh Nur selama ini. Dan yang paling membuatkan abahnya yakin ialah apabila Nur menjadi seorang yang cepat mengamuk dan seperti dirasuk sesuatu.

Kemudian abah Nur cepat-cepat bergegas pulang dari masjid dan terus mendapatkan Nur yang sedang menangis menahan kesakitan di dalam bilik.

“ Abah rasa Nur bukan sakit yang biasa-biasa ini. Abah rasa Nur disihir atau mungkin juga ada nenek moyang keluarga kita yang ada saka. Tidak mengapa, abah akan cuba menghubungi ustaz yang membuat rawatan darul syifa”

Abah Nur mengenali Ustaz Zul yang mengajar kitab di masjid di kampung Nur. Di samping itu dia juga turut mengamalkan rawatan darul syifa. Jadi abah Nur meminta pertolongan daripada Ustaz Zul untuk merawat Nur kerana mana tahu kalau-kalau Nur benar-benar sakit yang disebabkan oleh gangguan makhluk halus.

Pada malam itu juga ustaz tersebut menghubungi abah Nur. “ Saya dapati ada gangguan jin padanya.” Nur terdengar perbualan abah dan emaknya ketika dia sedang solat hajat di dalam bilik. Belum sempat Nur habiskan solatnya, Nur segera bergegas pergi ke abah dan emaknya. “ Nur jangan takut ya. Kita usaha sahaja dulu ya.”

Nur mengeluh panjang.

Nur diminta untuk minum air yang telah dibacakan ayat-ayat rukyah. Nur minum air tersebut selama 3 hari berturut-turut.

Selepas 3 hari Nur minum air itu, suatu malam Nur tidak dapat tidur kerana ada makhluk yang sangat menggerunkan mengganggu tidurnya. Kelihatan wajah makhluk itu sangat menakutkan dan marah pada Nur. Sepanjang malam itu Nur tidak putus menerima gangguan. Pada keesokannya Nur bangun dari tidur dengan keletihan dan sambil menangis Nur menceritakan hal tersebut kepada emaknya. Dan pada malam itu juga emak dan abah Nur segera membawa Nur berjumpa dengan Ustaz Zul.

Selepas Nur dapat tahu bahawa Nur dirasuk jin selama ini, barulah Nur sedar mengapa Nur mudah menangis. Malah Nur juga sering melihat makhluk halus iaitu jin di dalam tidurnya. Pelbagai wajah dan bentuk yang menyeramkan yang hadir di dalam tidurnya. Selama ini juga Nur sering berbicara seorang diri seolah-olah ada sesuatu yang sedang bercakap dengannya dan mengajaknya berbual.

Selama ini Nur juga kurang keyakinan dan sentiasa bersangka buruk pada orang lain. Nur sentiasa menganggap bahawa semua orang membenci Nur. Kerana itulah Nur selalu bersikap pelik dan menjauhkan diri dari orang lain. Malah Nur juga bersifat panas baran tanpa sebab dan menangis tanpa sebab.

Nur juga turut membenci saudara maranya. Di samping itu, Nur juga selalu bercakap tanpa berfikir. Dia selalu menyalahkan orang lain tanpa sebab. Rupa-rupanya Nur mengalami keadaan sedemikian kerana dirasuk jin yang berada di dalam badannya.

Senang sahaja mulut menceritakan atau tangan menaip tentang tanda-tanda orang yang terkena gangguan jin ini, tetapi kita tidak tahu betapa sukarnya Nur menerima kekurangan dirinya yang disebabkan oleh jin yang berada di dalam badannya tanpa pengetahuannya.

Nur selalu menyalahkan dirinya. Nur tertekan dengan keadaan dirinya yang selalu panas baran dan Nur sedar kadang-kadang sifatnya seperti dikawal oleh sesuatu.

“ Mengapa aku ini teruk sangat? Mengapa aku mudah marah? Mengapa aku suka menyakitkan hati orang-orang sekelilingku? Mengapa aku banyak kelemahan? Mengapa aku tidak seperti orang lain?”

Kini Nur temui jawapannya dan berkat kesabarannya Allah memberikannya jalan keluar.

Selepas rawatan pada malam itu, Nur dapat merasai perbezaan pada badan dan sifatnya. Sakit yang Nur rasai semakin hari semakin pulih. Kalau dahulu Nur sentiasa sakit kepala tetapi kini Nur mampu mencelikkan matanya dengan tanpa perlu menahan kesakitan. Malah sakit yang sangat dahsyat itu juga turut beransur-ansur hilang.

Semasa rawatan pada malam itu Ustaz Zul memberitahu Nur dan keluarga bahawa Nur telah disihir oleh seseorang. Tetapi ustaz tidak mahu memberitahu siapa yang melakukan hal terlaknat itu kerana tidak mahu Nur dan keluarga ada sifat dendam.

Abah dan mak  Nur ada sedikit kemarahan pada orang yang sanggup membuat anak mereka sakit selama bertahun-tahun. Tetapi mak dan abah Nur redha kerana bagi mereka kesembuhan Nur lebih penting daripada mengambil tahu siapa yang bersifat keji dan jahat itu.

Perubahan demi perubahan dapat dilihat pada diri Nur.

Kalau dahulu Nur seorang yang selalu menangis, tetapi kini Nur seorang yang sangat ceria dan peramah. Ramai sahabatnya kini mudah rapat dengan Nur dan kehidupan Nur lebih ceria berbanding dahulu.

Selain itu juga Nur semakin sayang pada saudara-maranya. Nur semakin rapat dengan abahnya berbanding dahulu. Kalau dahulu Nur akan menjauhi abahnya walaupun abahnya banyak berkorban untuknya, tetapi sekarang Nur lebih rapat dengan abahnya. Berbanding dahulu pasti terbitnya perasaan benci pada abahnya, tetapi kini tiada lagi rasa itu. Malah Nur lebih menghargai abahnya.

Nur lega dan amat bersyukur kepada Allah.

Tetapi di saat Nur sudah kembali normal seperti orang lain, Nur mahu sangat dia itu mengenali dirinya semula sebagai orang yang sama tetapi lebih ceria dan sama seperti orang lain.  Tetapi Nur tahu mustahil untuknya kembali ke sisi Nur lagi.

Nur sedar dahulu Nur selalu menyakitkan hati dia. Nur tahu bahawa Nur banyak buat kesalahan yang sukar dimaafkan. Tetapi itu semua terjadi kerana ada sesuatu yang merasuk dirinya. Segala sifat yang menyakitkan hati itu bukan datang dari dirinya sendiri. Walaubagaimanapun, Nur tetap menyalahkan dirinya sendiri.

Walaupun langkah Nur kian berat, dan kesedihan itu menggugat jiwanya kerana orang yang dia sayang pergi dari sisinya, tetapi Nur yakin akan hikmah di sebalik semua yang berlaku.

“ Awak, walaupun awak telah pergi. Kasih sayang saya tidak akan pernah berubah dan putus. Saya minta maaf…” Itulah yang sering bermain di hatinya. Nur sedar bahawa Allah Maha Kuasa. Allah memberinya kesembuhan tetapi Allah mengambil orang yang dia sangat sayangi. Segala-galanya tidak mustahil bagi Allah s.w.t.

http://www.youtube.com/watch?v=bxGSjZx5UQ8