Rindunya Padamu Ya Rasulullah

Video

Badan Rasulullah panas. Lalu Rasulullah mencelupkan tangannya ke dalam seberkas air dan meletakkan di dahi bagi menghilangkan kepanasan.

Saat hampir wafat sekalipun, Rasulullah masih teringatkan umatnya. Kepanasan yang dirasai Baginda lebih hebat dan kuat berbanding kepanasan demam yang dirasai kita.

Dua kali ganda katanya. Bahkan Baginda telah mengambil separuh kesakitan sakarat maut yang harus ditanggung oleh ummatnya.

”Allah.. masa demam panas, takde pulak keluar di bibir sebut nama Rasulullah.. Rasulullah… ” seperti Baginda sebut ”Ummati..umamti..”

-Facebook: Khazinatul Asrar Hidayah

Syair yang Membuatkan Imam Ahmad Menangis

Video

Syair yang membuatkan Imam Ahmad menangis..
Jika tuhanku bertanya kepadaku,

Tidak malukah kau bermaksiat kepada-Ku?

Kau sembunyikan dosamu dari makhluk-Ku..

Dan datang pada-Ku dengan penuh dosa

Bagaimana aku nak jawab duhai diriku yang malang?

Dan siapalah yang dapat menyelamatkan aku?

Aku terus menyogok jiwaku dengan impian dan harapan dari semasa ke semasa,

Dan aku melupakan apa yang bakal dihadapi selepas mati..

Dan apa yang akan berlaku selepas aku dikafankan

Seolah-olah aku ni telah dijamin untuk hidup selamanya,

Seakan mati tidak akan menemuiku,

Dan telah datang padaku sakaratul maut yang ngeri..

Nah! Siapa sekarang yang mampu melindungiku?

Aku melihat pada wajah-wajah..

Apakah ada daripada mereka yang akan menebusku?

Akan ku disoal apa yang telah aku lakukan di dunia untuk menyelamatkan diri ini?

Maka bagaimana akan kujawab setelah aku mengabaikan urusan agamaku?

Celakanya aku!

Apakah aku tak mendengar ayat-ayat Allah yang menyeruku?

Adakah aku tak dengar apa yang telah diberitakan di dalam surah Qaaf dan Yaasin

Adakah aku tak dengar tentang hari dikumpulkan manusia, hari perhimpunan dan hari as-deen(qiyamah)?

Adakah aku tak dengar panggilan ajal maut menyeru dan menjemputku?

Maka Ya Rabb! Seorang hamba datang bertaubat, siapa yang dapat melindunginya?

Melainkan tuhan yang Maha Luas PengampunanNya dan yang membimbingku pada kebenaran,

Aku telah datang padaMu maka kasihanilah daku dan beratkan timbangan (kebaikan)ku

Dan ringankan hisabku kerana Engkaulah yang terbaik dalam penghisaban

Mak, “aishiteru”

Standard

“Mak..”

Hatiku berbisik halus..

Air mata bergenangan, bertakung di kelopak mataku yang terlalu merindui seorang insan yang sangat rapat denganku. Sebagai anak sulung, bagiku emaklah ibu, emaklah sahabat, emaklah teman yang paling setia disisiku. Sejak mataku mampu melihat dunia ini, emaklah yang selalu menghiburkan dan mendidik dengan tegas dan penuh kasih sayang.

Di saaat hatiku dirundung resah, hanya satu yang aku fikirkan.

“Mak, sihatkah kau di sana..” air mataku mengalir laju. Petang itu hatiku benar-benar sayu kerana teringat pada emak dan abah di kampung. Hati terlalu rasa ingin pulang menjenguk mereka. Tapi apakan daya, masa dan kesibukan tidak mengizinkan.

Kawan-kawan sekeliling melabelkan aku seorang yang pendiam. Tapi kamu tidak pernah melihat aku dengan emak.. Kami mampu berborak sejak bangun tidur sehinggalah pergi tidur semula.. Kami mampu berkongsi pelabagai perkara tanpa jemu, bergelak ketawa dan menangis bersama. 1001 cerita dikongsikan antara aku dan emak. Di sisinya, akulah anak yang paling riang. Riuh satu rumah dengan gelak tawa aku dan emak. Sehingga emak melabelkan aku sebagai seorang yang tidak matang.

Begitulah saya dengan emak. Terlalu rapat sehingga apabila jarak memisahkan, hati terasa terlalu sedih.

Kasih sayang seorang ibu itu terlalu luar biasa. Aku terfikir, mampukah diri yang lemah ini menjadi seorang ibu seperti dirinya yang sangat kuat dan tabah pada suatu hari nanti.

Emak mengajarku pelbagai perkara sehingga kadang-kadang aku tidak sedar bahawa dia mendidikku dengan begitu halus.

Dengan kawan-kawan, aku berasa sedikit jauh dan sukar untuk berasa begitu. Iaitu satu perasaan sayang sepertimana aku dengan ibu. Kerana duniaku adalah ibu, abah, adik-adik, tok dan tokwan sejak aku kecil sehingga besar.  Duniaku adalah dengan mereka. Duniaku tanpa mereka adalah asing bagiku.

Sahabatku berpesan, kalau sayang, jangan terlalu sayang kerana yang hidup pasti akan mati. Tapi apakan daya, andai mereka pergi, kuberharap ada seseorang yang dapat mengisi kekosongan hidupku dengan menghadirkan seseorang seperti mereka.

“Emak”

Barangkali saya menulis tentang emak kerana di saat ini hati ini terlalu merindui dia.. Air mata ini sukar untuk mengalir melainkan ada hal yang berkaitan dengan keluarga. Ia terlalu menikam dan menekan jiwa dan perasaanku.

Tapi kalau berkaitan dengan emak, abah atau adik-adik, air mata ini lebih senang untuk mengalir. Banyak kali emak berpesan supaya kuat semangat dan banyakkan bersabar. Aku tidak kisah apa sahaja pandangan orang terhadapku atau melabelkan aku sebagai anak manja atau sebagainya. Tidak peduli sama sekali. Kerana mereka tidak mengerti.

“Emak”

Aku rindu segalanya tentang dirinya. Emak marah kerana sayang, emak tegas kerana sayang, emak sedih kerana sayang. Kasih sayangnya itulah yang terlalu berharga kerana segala setiap perbuatannya dan apa yang dirasainya itu adalah kerana sayang semata-mata.

Mungkin semua tidak tahu kenapa saya rapat dengan emak dan abah serta adik beradik yang lain. Saya pernah sakit. Sakit yang sangat teruk. Dan mereka sahajala yang setia menemaniku sepanjang saya sakit. Mereka sahajalah yang menjadi saksi melihat saya sakit. Mereka sahajalah yang sedia memenuhi segala keperluanku semasa aku sakit.

Mana mungkin insan sebegitu rupa membuatkan aku senang berjauhan dengan mereka. Kerana terlalu banyak pengorbanan dan kasih sayang yang telah mereka curahkan buatku.

Di saat sahabat-sahabat lain berada entah di mana, di saat itu emak dan abah sahajalah yang sentiasa di sisiku.. Sangat setia dan tabah menjaga dan merawatku sepanjang aku sakit.

Allah..

Semoga Kau merahmati mereka.

Emak..

dan

Abah..

 

 

JODOH itu RAHSIA

Standard

Seperti kata-kata seorang alim, DUNIA seperti seorang musafir yang berkelana di sebuah padang pasir. Apabila terjumpa sepohon pokok, dia singgah berteduh di situ kemudian berlalu pergi. DUNIA hanya sementara.. Yang kekal ialah akhirat yang abadi.

Sambil memicit-micit kepalanya yang sakit, Hani gagahi juga untuk menelaah nota Microbiology di dalam makmal komputer pada petang itu. Di saat kawan-kawan sekelasnya khusyuk dengan agenda masing-masing, berfacebooking, mendengar muzik,dan sebagainya, Hani memilih untuk mengulangkaji pelajaran.

“Rahsia..”

Masih terngiang-ngiang lagi di telinganya akan kata-kata seorang kakak senior yang rapat dengannya. Hani cuba mengingati setiap bait kata-kata Kak Aisyah dengan teliti.

“ Jodoh ini rahsia Allah. Disebabkan ia rahsia, sebab itulah Allah ingin menguji kita sama ada kita menjadi orang yang sabar atau tidak, seorang yang menjaga hati atau tidak, seorang yang memelihara batas-batas pergaulan atau tidak. Allah mahu menguji sama ada kita ini menjadi seorang hamba yang fokus kepada ibadah kepada Allah atau kepada sesuatu yang tidak pasti yang bersifat keduniaan.”

“ Jodoh ini hanya Allah sahaja yang tahu. Daripada Hani membazir masa mengotorkan hati memikirkan lelaki yang belum tentu jodoh Hani, lebih baik Hani fokus kepada hubungan Hani dengan Allah s.w.t.”

“ Apabila jodoh Hani telah sampai, tanpa perancangan Hani, Allah sendiri yang akan aturkan. Jadi buat apa kalau Hani tahu perasaan seorang lelaki terhadap Hani sekalipun sedangkan Allah taala mungkin telah aturkan jodoh Hani 4 atau 5 tahun akan datang. Jadi tiada gunanya Hani mengetahui perasaan seorang lelaki kepada Hani pada waktu ini. Serahkan segalanya kepada Allah. Biar Allah yang aturkan.”

Nasihat yang paling menusuk jiwanya  dari Kak Aisyah ialah..

483231_407834762606863_801051659_n

“ Untuk tujuan apa Hani perlu tahu perasaan lelaki terhadap Hani sedangkan dia masih belum menjadi suami Hani. Kalau dia menyatakan perasaan dia terhadap Hani sekarang tetapi tempoh untuk berkahwin itu masih lambat maka Allah akan menarik sedikit nikmat cinta dan sayang itu dari Hani.”

“ Ianya ibarat apabila seseorang itu sudah memiliki seutas jam tangan. Tetapi suatu hari ketika dia keluar membeli belah di sebuah pusat membeli belah, dia terlihat satu jam tangan ini dan dia sangat berkenan pada jam tersebut lalu membelinya. Sedangkan dia sudah memiliki jam. Mengapa tidak bersabar dan terlalu mencintai habuan dunia sedangkan mana tahu Allah telah menyimpan seutas jam tangan yang lebih cantik di syurga nanti berkat kesabarannya yang tidak tamak dengan keindahan dunia.”

Hani mengangguk-ngangguk tanda setuju dengan nasihat Kak Aisyah. Baru dia sedar bahawa soal hati ini perlu diserahkan kepada Allah. Sekiranya kita sendiri yang menguruskan masalah hati ini, maka ia akan bercampur dengan hawa nafsu dan keinginan dunia yang sementara ini.

RAHSIA.

Mati juga RAHSIA. Mati itu sudah pasti. Mengapa tidak mempersiapkan diri untuk itu? Mengapa sibuk memikirkan soal jodoh yang belum pasti lagi ada di dunia ini atau di akhirat nanti sedangkan MATI itu pasti sekali akan tiba di dunia ini.

1menunggumu

“Kak Aisyah, saya tengok orang yang bercinta itu mesti akan selalu berhubung. Malah ada juga cinta Islamik. Bukankah apabila lelaki dan perempuan itu saling berhubung danbelum ada ikatan yang sah, ia tetap akan menganggu hati dan susah untuk menjaganya apatah lagi menjaga hubungan dengan Allah.”

“ Betullah tu… Akak juga tidak faham orang yang cinta Islamik ini. Sedangkan cinta yang halal itu hanya untuk suami kita nanti sahaja. “

“Lelaki yang Hani kenal ini dia langsung tidak menghubungi Hani, dia tidak mesej Hani atau berbincang dengan Hani. Tetapi dia pernah berjumpa dengan ibu dan ayah Hani dan menyatakan hasrat di hatinya.”

“ Betullah apa yang lelaki itu lakukan. Hani, Hani mahu ke menjadi seperti orang yang selalu berhubung itu? Yang tidak menjaga batas-batas syariat? “

Hani menggeleng..

“Walaupun dia dah datang berjumpa dengan ibu dan ayah Hani, dia tetap masih belum sah untuk Hani berhubung dengannya. Dan jodoh Hani dengannya masih lagi menjadi rahsia Allah. Barangkali dia bukan jodoh yang Hani harapkan. Sebaiknya sekali lagi Kak Aisyah mahu berpesan, Hani tumpukanlah pada hubungan Hani dengan Allah.”

“ Tambahan lagi, Allah dah berfirman bahawa perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan sebaliknya. Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Kalau Hani seorang perempuan yang solehah, tak kanlah Allah nak beri lelaki yang jahat pula untuk Hani. Sudah tentu lelaki yang baik juga. Oleh itu, Hani tidak perlu memeningkan kepala memikirkan soal jodoh. Apabila sampai waktunya, ia akan sampai dan Allah akan sampaikan seseorang yang sesuai dengan kita.”

Hani diam sahaja sambil mengiakan kata-kata Kak Aisyah.

“ Tapikan Kak Aisyah, ramai kawan-kawan Hani yang apabila dia menyukai seorang lelaki yang baik, dia terus mahu beriktiqad untuk jadi baik seperti lelaki dan mencontohi lelaki itu juga supaya layak bersama dengan lelaki tersebut sebab berdasarkan firman Allah bahawa kalau mahu memiliki lelaki yang soleh, perlu menjadi soleh dahulu..”

“ Betul. Mahu berubah menjadi baik itu memang bagus. Tetapi, niat itu yang salah kerana mahu berubah semata-mata kerana manusia. Kerana melihat lelaki itu sebagai idola dan memujanya kerana dia baik. Sedangkan Rasulullah yang merupakan lelaki yang paling baik akhlaknya yang telah berjuang untuk umatnya, kenapa tidak disanjungi dan dicontohi? Kenapa perlu mencontohi lelaki yang bukan muhrim yang sedikit sebanyak akan mengganggu hati kita. Sedangkan rasulullah ikon sepanjang zaman.”

“ Manusia mampu memilih. Tetapi mengapa tidak memilih yang terbaik? Yakni Rasulullah. Lainlah yang mahu kita contohi itu ialah suami kita sendiri. Apabila telah berkahwin nanti, suami kita seorang yang rajin membaca Al-Quran, maka tidak salah untuk kita menyanjungi dirinya dan mencontohi perbuatannya itu.”

Hani terkesima. Benar.

Rasulullah junjungan teragung yang sempurna akhlak dan ibadahnya. Kenapa kita tidak menjadikan rasulullah sebagai tauladan. Kenapa perlu kita jadikan lelaki yang bukan muhrim sebagai ikutan? Sedangkan kita tidak tahu syurga atau neraka bagi lelaki yang kita sanjungi itu sedangkan kita telah pasti bahawa Rasulullah adalah ahli syurga yang abadi.

Jagalah hati. In shaa Allah Allah akan temukan kita dengan seorang lelaki yang menjaga hati juga. Jagalah batas pergaulan. In shaa Allah Allah akan jodohkan kita dengan seorang lelaki yang menjaga pergaulannya dengan permpuan juga. Peliharalah hubungan dengan Allah. Mudah-mudahan Allah akan memelihara kehidupan kita di dunia.

http://bit.ly/1mjtYdk

Kerana Sayang

Standard

Angin petang yang sayu menerjah ke dalam biliknya. Menjengah ke pintu hatinya yang sedang mengaduh kesakitan kesedihan yang amat sukar ditafsirkan. Semenjak  pagi sehingga petang dia masih belum menjamah sedikitpun makanan. Selera makannya hilang kerana terlalu dihimpit rasa sedih. Beberapa kali air matanya mengalir ke pipinya pagi tadi.

Mujurlah purdah yang menutupi wajahnya menutup kesedihan di hatinya. Tetapi sesekali air matanya dikesat perlahan. Apabila ditanya mengapa, katanya kerana membuang habuk di mata. Alasan biasa yang sangat kuno.

Dia sendiri tidak faham kenapa hatinya terlalu dihimpit sesuatu rasa sedih yang mendalam. Bibirnya bisu seribu bahasa, fikirannnya kosong menerawang merata, hatinya berbaur pelbagai rasa. Dia sendiri tidak pasti.. Mengapa?

Pagi tadi Hani bersama-sama sahabatnya menghadiri temuduga untuk progam tahfiz. Ramai pelajar yang hadir ke program tersebut. Selepas mendengar taklimat daripada pihak pengurusan, Hani dan rakan sekumpulannya seramai 10 orang diberi masa 30 minit untuk menghafal surah Ghafir bermula dari ayat 17.

“Baiklah, lagi 30 minit saya akan panggil kamu semua untuk memperdengar bacaan. Mesti hafal lebih daripada satu muka surat ye. Kalau kurang, kami tidak akan menerima.”

Hani terkejut berbaur satu perasaan yang dia sendiri tidak faham. “Lebih dari satu muka surat dalam masa 30 minit?” Tetapi hatinya rasa kosong, fikirannya juga tidak tertumpu kepada hafalan. Sedangkan temuduga ini adalah temuduga yang dia tunggu-tunggukan. Tetapi mengapa apabila tiba hari yang dijanjikan itu, dia tidak memberi sepenuh komitmen terhadap hafalannya?

Nah. Hani gagal menghabiskan hafalannya. Hanya separuh daripada muka surat sahaja yang mampu dihafalnya. Dia sudah dapat mengagak bahawa dia adalah antara peserta temuduga yang tidak akan dipilih.

Usai sahaja keluar dari bilik temuduga tersebut, dia mengadu rasa hatinya kepada Hanisah, sahabat sejati yang selalu memahami dirinya. Mereka berjalan beriringan keluar dari bangunan itu.

“Hanisah, saya rasa sedih..”

“Kenapa Hani?” pujuk Hanisah sambil memegang bahu Hani.

“Hmmm…. Saya tak tahulah nak ceritakan bagaimana. Tak apalah, lain kali sahajalah.”

“Eh, janganlah macam tu. Hani, kalau awak ada masalah, lebih baik jangan dipendam. Takut memakan diri nanti.”

“Hmmm, tak apalah Hanisah, lain kali saya ceritakan ya.”

Hanisah mengalah dengan sahabatnya yang selalu memendamkan masalah. Akhirnya, Hani tetap tidak menceritakan apa-apa. Dia berharap agar hatinya dapat sembuh dengan sendirinya walaupun memakan masa yang lama.

Bagi Hani, sifatnya yang suka memendam itu lahir kerana dia seorang anak sulung. Sebagai anak yang paling tua, dia selalu mengalah dan berkorban untuk orang lain. Dia tidak suka melihat orang lain bersusah payah untuknya hatta untuk mendengar keluhan hatinya sekalipun. Dia tidak suka hal tersebut berlaku. Biarlah apa yang dia rasa, hanya dia dan Allah sahaja yang tahu.

Sebenarnya, Hani telah melakukan sesuatu keputusan yang sangat besar di dalam hidupnya iaitu menjauhkan diri daripada seseorang yang sangat dia sayangi dan kagumi demi kebaikan orang itu tersebut.

Sebagai seorang perempuan, hatinya kaya dengan kasih sayang, cinta dan penghargaan luar biasa terhadap orang yang disayanginya. Dengan segala kekurangan dirinya, dia merasakan dirinya terlalu kerdil dan tidak layak untuk bersama dengan orang yang dia sayang.

Pergi bukan bererti dia tidak sayang, atau tidak suka, tetapi kerana dia mahu berkorban untuk insan yang dikasihinya.

Kerana baginya, kekurangan yang ada pada dirinya itu hanya memberikan bebanan dan kesusahan kepada orang lain. Oleh itu, dia mengambil jalan pintas dengan pergi dari hidup seseorang dengan rasa yang sangat berat dan pilu kerana baginya itulah yang terbaik. Dia merasakan hadirnya dia dalam hidup seseorang hanya mengundang pelbagai masalah.

Kali ini dia mengambil keputusan untuk tidak mementingkan dirinya sendiri. Walaupun dia sedar bahawa keputusan yang dia buat itu sebenarnya memberikan seribu rasa penyesalan di dalam dirinya dan membuatkan dirinya diselubungi rasa sedih yang teramat sangat, tetapi dia lakukan jua demi seseorang yang sangat dia kagumi dan hormati.

Sebenarnya, sudah beberapa kali Hani menimbulkan masalah. Ianya semua dari kelemahan dirinya yang sendiri yang kurang ilmu, dan kurang kebergantungannya kepada Allah.

Petang itu Hani bercadang untuk keluar mengambil angin diluar. Sebelum itu, beberapa kali dia cuba menatap buku Microbiology dan Organic Chemistry. Namun, fikirannya merayau-rayau ke segenap sudut ruangan hatinya yang kesedihan. Dia tidak dapat menumpukan perhatian. Lebih baik dia keluar mengambil angin di tepi tasik berhadapan dengan kolej tempat tinggalnya sambil membawa buku untuk dibaca.

Tudungnya ditiup angin. Sambil duduk di atas kerusi bertentangan dengan tasik yang luas, mulutnya terkumat kamit memuji nama-nama Allah yang indah. Hatinya tersentuh dengan keindahan ciptaan Allah. Sedikit sebanyak mengubat hatinya yang sedang berkelana. Matanya menjengah ke tasik yang terbentang luas. Dia terfikir, Allah berkuasa mengaturkan segalanya.

Oleh itu, mengapa sukar sekali dia mahu bersabar. Sedangkan Allah tidak pernah memungkiri janjinya.

Dari kejauhan, kelihatan sahabatnya Siti berjalan seorang diri dalam keadaan sedikit kepenatan. Barangkali mungkin dia baru pulang dari kelas. Siti merenung tepat ke anak matanya. Mungkin kerana tidak mengenalinya kerana wajahnya terlindung disebalik niqab yang dipakainya.

“Hani ke ni?”

“Ye la.. Sayalah ni.” Sambil mengukir senyuman yang tersembunyi.

“Hehe.. Maaflah. Bukan tidak kenal. Tetapi hanya untuk mendapatkan kepastian.”

“Eh, tak apa..”

Setiap tutur kata Hani semuanya pendek-pendek. Seolah-olah ada sesuatu yang tersekat di kerongkong. Hani berbual panjang dengan Siti. Mereka bercakap tentang nikmat dan kurniaan Allah yang mesti disyukuri. Mereka juga turut membaca matsurat bersama-sama di bawah pondok yang bersebelahan dengan tasik.

Hati Hani semakin terubat apabila mengalunkan kalimah-kalimah zikir yang membuatkan hatinya kesejukan dalam kedamaian cinta dan kasih dari Tuhan Yang Esa. Dia berbisik pada dirinya sendiri, ” Hani, bersabarlah kerana pengorbanan ini pasti ada hikmahnya. Andai itu yang akan membuatkan dia bahagia, mengapa aku tidak redha. Itulah yang terbaik untuk dirinya meskipun hatiku rasa berat dan sedih.”

 

 

Muslimah dan Gambar di Facebook

Standard

Sejak kebelakangan ini, setiap kali online facebook, hati terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Rasa tak sedap hati dan tertanya-tanya, “Kenapa rasa macam pelik je bila tengok facebook ni??”

Rasa nak menangis pun ada juga. Rasa gementar pun ada. Sebabnya saya juga tidak tahu. Lama kelamaan..

Akhirnya…

“Ha…. Dah tahu dah.huhu.. Sedihlah pula.”

Sedih sangat-sangat apabila melihat semakin hari semakin ramai para muslimat yang menge’post’ gambar-gambar mereka di wall facebook masing-masing.  Dengan gaya masing-masing untuk tatapan umum. Untuk apa agaknya ye?

Tujuannya untuk apa? Dakwah ke? Tujuannya untuk saja-saja supaya menjadi tatapan orang lain ke?Hanya mereka sahaja yang mengetahui akan sebab mereka menayangkan gambar mereka di dalam facebook. Gambar secara berseorangan untuk tatapan umum?

Sekiranya gambar itu dipamerkan secara beramai-beramai tidak mengapa juga. Seperti gambar bersama kawan-kawan atau keluarga. Tetapi saya melihat semakin hari semakin ramai pula para wanita yang post gambar mereka secara berseorangan. Dengan pelbagai gaya dan aksi yang mencurigakan dan boleh mengundang fitnah. Dengan senyuman yang menggoda. Sudah seperti ala-ala model pula.

Ya saya faham sekiranya para muslimat itu tiada niat untuk menggoda sesiapa pun. Tetapi ingatlah bahawa ianya boleh mengundang fitnah dan mengganggu hati insan yang bukan muhrim. Mereka juga manusia biasa.

Wanita itu sendiri merupakan hiasan dunia. Dengan erti kata lain, wanita itu sememangnya sudah cantik dan menawan. Dah memang cantik, jadi buat apa lagi perlu ditayangkan kepada orang lain? Semua perempuan sama sahaja cantiknya.

Maaf, pasti ada yang akan memarahi saya selepas ini.

Perhiasan yang mahal ialah yang dijaga kesuciannya. Barang yang mahal, sudah tentu akan disimpan dengan baik, bukan ditayangkan sesuka hati. Hanya orang yang layak sahaja yang boleh memandangnya atau memilikinya.  Kerana ia terlalu berharga.

Barang yang mahal itulah yang diertikan dengan sifat ‘MALU’.  Diri tidak berharga lagi sekiranya sifat MALU telah hilang dari diri. Seperti MALU untuk mempamerkan wajah di dalam facebook untuk dijadikan tatapan umum, MALU untuk melakukan aksi-aksi yang tidak sepatutnya ketika bergambar seperti memuncungkan mulut untuk kelihatan lebih… lebih cantik ke? Lebih seksi ke? Dan MALU untuk dikomen oleh orang lain tentang gambar kita. Seperti.. “Wah, comelnya awak.” “Cutenya” “Comel…” Bukankah pujian-pujian ini selayaknya untuk Allah dan hanya akan menimbulkan perasaan riak walaupun sebenarnya tiada niat untuk dipuji.

Tambahan pula yang memberi komen itu ialah dari kalangan lelaki. Bukankah itu sudah mengundang fitnah? Dan di mana sifat malu menghilang di saat ada lelaki lain yang memuji diri kita comel, cute, cantik dan sebagainya?

Syaitan itu sangat licik.

MALU itulah barang yang paling berharga di dalam diri seorang wanita. Rasulullah pernah menegur umat baginda. “Kalau tidak malu, maka berbuatlah sesuka hatimu.”

Tidak perlu ditukar background atau lighting supaya diri kelihatan lebih putih atau menyerlah. Sedangkan di dunia realiti, ianya berbeza. Salahkah kita menjadi diri sendiri sahaja? Mengapa perlu menipu orang lain dengan  meng’edit’ gambar tersebut untuk menutup jerawat dan jeragat yang ada di wajah.

Tambahan pula, kecantikan yang Allah kurniakan kepada kita itu bukanlah milik kita yang mutlak. Bila-bila masa sahaja Allah akan tarik semula nikmat tersebut. Kecantikan yang Allah beri itu perlulah dijaga dan disyukuri dengan cara tidak merasa riak atau ujub dengan kecantikan yang diberikan oleh Allah.

Islam sebuah agama yang indah. Ikuti dan pelajarilah ia, nescaya kalian akan peroleh ketenangan.

Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Mungkin ini adalah teguran untuk kita semua dan terutama sekali untuk diri saya sendiri. Allah menciptakan manusia dalam keadaan yang serba kekurangan. Oleh itu, pentingnya kita saling menasihati antara satu sama lain dengan kebenaran dan kesabaran.

http://bit.ly/1mjtYdk

Aku Dambakan Cinta dari-Nya

Standard

Hidup ini merupakan satu perjuangan. Langkah kaki ini juga satu pencarian. Perjuangan dan pencarian yang ada penghujungnya. Tetapi tidak tahu bila saat itu akan tiba. Barangkali mungkin esok, atau mungkin sahaja sebentar lagi sahaja pengakhiran hidup ini.

Mencari-cari sesuatu. Kadang-kadang orang yang celik juga boleh menjadi ‘buta’.

Adakalanya apa yang dicari juga kita sendiri tidak mengerti. Di saat hati gelisah, kita mula mencari ketenangan. Dari situ kita belajar untuk mengenal apa erti sebuah kedamaian.

Di saat kita berasa kesepian, di ketika itulah kita mula mencari teman. Di kala kita berasa sedih, kita mula mencari-cari kebahagiaan. Di saat itulah kita mula menghargai sebuah kegembiraan.

Tanpa kita sedar, semua yang kita cari itu dapat diperoleh dengan cara kita mula mencari Allah lalu menemui cinta-Nya.

Subhanallah.

Besarnya cinta Allah buat hamba-Nya. Segala-galanya Allah berikan di saat kita memerlukannya.

Allah.

Di saat air mata mengalir ke pipi, hanya satu nama sahaja yang terukir di bibir iaitu Allah, hanya satu nama sahaja yang terlintas di hati iaitu Allah, lalu diri seolah meraba-raba seperti orang yang buta mencari Tuhan.

Rupa-rupanya apa yang didambakan ialah keampunan dan kasih sayang dari Allah. Diri ini rasa tersangat malu kerana sekiranya Allah tidak sayang, mengapa Dia terus memberikan segala nikmat tanpa putus meskipun hamba-Nya selalu melupakan-Nya, malah tanpa berasa kesal melakukan kemungkaran.

“Allah… Maafkanlah aku ya Allah.”

Apabila kita terlalu memikirkan perkara-perkara yang kecil, kita lupa bahawa Allah yang mengaturkan segalanya. Dengan kasih sayang-Nya, Allah mengatur hidup kita dengan cara yang terbaik.

Allah Maha Mengetahui..

Sedarlah bahawa di saat kita ketawa, menangis, gelisah atau tenang, semua itu merupakan ujian dari Allah yang Maha Sempurna untuk mendidik hamba-Nya dengan penuh kasih sayang.

Allah tahu bahawa hamba-Nya lemah dan kerdil. Kerana itulah Allah titipkan ujian, onak dan duri di sepanjang jalan yang kita lalui agar kita menjadi hamba-Nya yang kuat dan tabah lalu menjadi hamba yang hebat dan bertaqwa.

Di saat kita berasa lemah, sebenarnya Allah sedang mengajar dan melatih diri kita untuk menjadi insan yang hebat.

“Allah… Besarnya kasih sayangMu. Moga hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Banyakkan berdoa dan terus bertawakal kepada Allah kerana Allah sahajalah yang mengetahui segalanya.”

 

Sentuhan Seorang Sahabat

Standard

Sudah lama terfikir untuk menulis tentang seorang sahabat ini.. Siapa ye? Saya simpulkan di sini secara ringkas sahaja.

Hendak dikatakan rapat, rasanya tidak kerana dia menetap di Kelantan dan saya pula di Pulau Pinang. Jauh hanya pada jarak tetapi mungkin di hati tidak. Ya. Mungkin rapat dari sudut keterikatan hati.

Suatu pesanan dari sahabat saya ini yang selalu saya ingat tentang ukhuwah iaitu:

“Ukhuwah atas dasar aqidah”

Dia yang selalu memberi pesan tentang ukhuwah dan dia jugalah yang mengaplikasikan konsep aqidah di dalam persahabatan.

Kalau sebut sahaja nama dia, pasti orang akan mengenalinya dengan sifatnya yang sangat penyayang dan sangat mengambil berat tentang orang lain. Sikapnya yang jujur dalam persahabatan membuatkan kita rasa mahu menjadi sahabatnya di dunia dan di akhirat.

Apabila berjauhan dia akan sentiasa bertanyakan khabar. Apabila dekat dia akan selalu datang berkunjung ke bilik atau berjumpa.

Hmmm… Baikkan? Dia sanggup mengorbankan banyak masa untuk sahabat-sahabatnya. Dengan erti kata lain “Itsar”.

Apabila saya dan sahabat-sahabat sakit, dia pasti akan segera datang melawat. Tetapi sakitnya pula jarang saya dan sahabat lain tahu. Di wajahnya tersimpul seribu ketenangan tetapi disebalik keceriaan itu tersirat kesusahan yang kita tidak tahu.

Hmmm.. Teruk betul =.=’

Sesekali dia bertutur pasti pelbagai hikmah dan pesanan yang bernilai yang boleh diambil. Hmmm… Saya cuba belajar untuk menghargai dirinya.

HARGAI SAHABAT

Hampir setiap hari pasti akan ada pesanan-pesanan ringkas yang akan berkunjung di telefon bimbit saya dan sahabat-sahabat lain. Ini yang masih saya simpan:

“Without Allah our days would be:

Sinday

Mournday

Wasteday

Thirstday

Fightday

Shatterday

Seven days without Allah makes one weak!

Jom Dhuha dan Matsurat^_^”

Suatu malam saya sengaja menghantar mesej padanya. Rindu untuk mendengar nasihat-nasihat berguna dan kata-kata hikmah yang tidak ternilai harganya. Banyak darinya yang memberi seribu makna kepada saya untuk menjadi muslimah yang lebih baik.

Assalamualaikum.. Sihat dak? Rindu kat awaklah..”

………………………….

Waalaikummussalam..hihi

I rindu u jugak

Ila sihat? Alhamdulillah…

Ni kat rumah nenek, kenduri kahwin rumah emak saudara

Inilah dia… Tanya sepatah, sepuluh patah dia akan menjawab. Membuatkan diri rasa dihargai dan diambil berat. Sungguh menceriakan hari-hari kita setiap hari.

Ehem.

Beberapa kali berbalas mesej, yang tidak dapat saya kongsikan di sini. Tetapi ada sesuatu yang ingin saya kongsikan. Dia bukan sahaja sahabat, tetapi dia adalah seseorang yang saya selalu ingin mencontohi dirinya. Sifatnya yang penyayang cuba saya teladani. Sifatnya yang selalu mencari hikmah di sebalik setiap kejadian cuba saya contohi.

Malam itu saya berkata kepadanya,

“………………. Siapa pun jodoh awak, saya yakin dia tu mesti soleh, sesuai dengan awak.. Doakan Ila juga ye. Nanti nak akad nikah sama-sama dengan awak, walimah pun kita buat sama-sama.. hehe”

Berangan je cakap tentang kahwin. Kalau emak dan abah dengar, pasti mereka akan membebel kerana umur masih muda untuk berbicara soal itu. Padahal jodoh itu rahsia Allah. Entah ada entah tidak juga hanya Dia sahaja yang tahu. Tetapi apa salahnya untuk mendoakan untuk kebaikan bukan? Heeee….

Lalu dia membalas,

“……………………………

Saya kan mengarut je banyak

Tak baik sangat

Sampai ke situ pula dia eh

Ish ish ish…

Tidak baik sangat???

Itulah dia.. Selalu merendah diri.

Sifatnya yang keibuan juga amat sukar untuk saya ikut. Banyak ilmu yang tidak didapati disekolah akan dikongsikan oleh dia. Contohnya perihal wanita sebagai bakal isteri dan ibu. Kalau ifikirkan, umur yang masih 20 tahun tidak memaksa kita untuk merasakan ilmu-ilmu tersebut penting. Tetapi sejak menerima perkongsian darinya barulah saya sedar bahawa ilmu tersebut penting untuk saya dalami untuk menjadi seorang anak, kakak, isteri dan ibu yang solehah.

Antara pesannya yang masih saya ingat yang pernah dikongsikan olehnya:

Pesan Saidina Ali r.a. Didiklah anakmu dengan cara yang berbeza setiap 7 tahun. 7 tahun pertama ialah ajar kasih sayang dan bina hubungan rapat. 7 tahun kedua pula tegas. 7 tahun ketiga ialah berkawan rapat

Selain dari itu..

Pesanan Imam Al-Ghazali iaitu jangan membebel semasa menegur anak. Kerana apabila dah biasa didengari, kata-kata itu sudah menjadi tidak bermakna. Biasakan tegur dengan tenang.”

Seawal umur 20 tahun berbicara soal mendidik anak? Siapa yang rasa ianya penting…?

Tetapi sebenarnya sangat penting. Kerana diri ini masih seorang kakak. Jadi ilmu-ilmu seperti itu tidak boleh diabaikan sama sekali. Melatih diri untuk menjadi seorang yang lebih baik.

Yang paling segar di ingatan saya tentang apa yang pernah dia katakan pada saya ialah, “ Cari ruang untuk berubah.”

Ya, itulah kuncinya. Kita adalah hamba yang lemah. Pasti akan melakukan kesilapan dan penuh dengan kekurangan serta kelemahan. Tetapi jangan putus asa. Terus cari ruang untuk berubah ke arah yang lebih baik. Jangan sia-siakan peluang yang ada.

Sekiranya dihimpunkan segala hikmah, sudah tentu sukar sekali. Mahu 3 hari 2 malam juga belum mencukupi.

Dia adalah….

………………………………

……………………………..

…………………………………

Biarlah rahsia.. 🙂

Aku dan Penulisan

Standard

Rasanya sudah lama saya tidak menulis apa-apa. Membaca juga terlalu sedikit. Terasa seperti otak menjadi lesu kerana tidak digunakan untuk berfikir dengan lebih kritis.

Saya pernah membaca pesanan ini di sebuah buku. Tetapi tidak ingat buku yang mana satu..

“Bina hubungan yang akrab dengan penulisan”

Nampaknya saya dan dunia penulisan masih tidak akrab. Jarak antara saya dan encik penulisan masih jauh. Mungkinkah kerana hati saya bukan untuk si dia yang bernama penulisan?

Hmm.. Adakah kerana kita berdua berbeza bagai langit dengan bumi. Sedangkan penulisan itu sesuatu yang menyampaikan, sesuatu yang mesti benar  sedangkan diri saya sendiri seorang yang berhati lalai. Dengan erti kata lain, tidak layak untuk bergelar seseorang yang menyampaikan.

Untuk menjadi seorang penulis yang baik, dia perlulah ada hati yang bersih. Hati yang suci akan menghasilkan buah fikiran yang bernas, dapat berfikir dengan kritis, dan dapat menyampaikan sesuatu yang berhikmah.

Hasil penulisan bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan oleh si pembaca. Tetapi sesuatu yang perlu diambil ibrah disebalik kata-kata yang tertulis. Bukan supaya orang puji,

“Wah, hebatnya karya kamu.”

Atau

“Awak seorang penulis yang hebat”

Bukan untuk dipuji.. Kerana ia akan diuji oleh Allah. Setiap apa yang kita tulis pasti akan diuji oleh Allah.

Memang benarlah hati ini masih lagi diselaputi lumut-lumut kelekaan dan lumpur-lumpur dosa yang menampal dinding hati sehingga cahaya ketaqwaan sukar menembusi hati yang sekian lama semakin gelap.

Namun, Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan dengan usaha kaum itu sendiri. Maknanya, perlu ada usaha untuk berubah. Barulah hidayah Allah itu akan sampai. Sekiranya hati masih sombong, tidak mahu tunduk pada Allah dan menyesali akan dosa-dosa yang bersarang, mana mungkin cahaya taufiq itu akan menyerap ke dalam jiwa.

Barangkali masih wujud sifat mementingkan diri dalam hati tanpa disedari. Kerana seorang penulis yang baik ialah yang suka berkongsi ilmu yang dimiliki. Tidak kisahlah sama ada ilmu itu sedikit atau banyak. Kerana rasulullah s.a.w menyeru umatnya supaya menyampaikan sesuatu meskipun sekadar satu ayat. Ini bermakna rasulullah menyuruh umatnya menyebarkan kebaikan kepada orang lain dan memakmurkan bumi dengan kalimah-kalimah yang baik.

Tak kenal maka tak cinta.

Begitulah hakikatnya saya dan penulisan. Sebenarnya saya belum kenal dengan dunia yang saya katakan menjadi minat saya. Minat saja tidak cukup sekiranya tidak faham.

A. Samad Said pernah memberi pesanan kepada penulis yang bertanyakan padanya tentang bagaimana untuk menjadi seorang penulis yang baik. Beliau menjawab dengan membaca, membaca, membaca dan teruskan membaca lagi. Itulah saja caranya.

Sedangkan saya, seorang yang pemalas membaca.  Banyak masa terbuang begitu sahaja. Minat terhadap penulisan itulah yang masih belum menjadi cinta. Kerana cinta akan meminta apa sahaja walaupun sukar dimiliki.

Perjalanan masih jauh. Kononnya mahu menjadi seorang penulis. Angan-angan Mat Jenin ke?

“Biarpun jalan itu panjang, kita akan merintisnya perlahan-perlahan.”

Namun, sekiranya langkah itu terlalu perlahan, lemah, lalai, sudah tentu masa yang diambil untuk mencapai matlamat masih terlalu jauh. Cuba percepatkan dan perkemaskan langkah. Inshaa Allah akan tiba juga ke destinasi itu.

Kesempatan yang kecil seringkali merupakan permulaan daripada usaha yang besar.

Kerana sesuatu khayalan kadang-kadang menjadi realiti.

 

 

 

Hentikan bunyi mercun itu

Standard

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Al Baqarah:183)

Apabila tibanya bulan Ramadhan, suasana menjadi berubah. Angin ketenangan menyapa di hati, langit seakan cerah menyinari hati agar dekat dengan Ilahi. Subhanallah, hebatnya kasih sayang Allah buat hamba-Nya agar menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah.

kartun puasa

Walaubagaimanapun,

 

Di sebalik ketenangan itu, terselit sedikit kekesalan di dalam hati apabila mendengar suara bingit riuh rendah anak-anak kecil yang berumur dalam lingkungan 7-12 tahun di luar rumah. Sebelum ini, di bulan-bulan yang lain tiada pula kedengaran suara anak-anak ini. Dari jauh kedengaran suara mereka saling mengherdik, mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kawan-kawan mereka. Di bulan Ramadhan?

 

Tetapi sama seperti tahun-tahun sebelum ini juga, sejakku kecil hingga kini, apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, pasti anak-anak kecil ini akan semakin aktif dengan kegiatan mereka yang tidak bermanfaat. Contohnya, merayau-rayau di sekitar kampung di bulan Ramadhan, bermain mercun, mengganggu orang kampung yang berjalan kaki ke masjid, dan sebagainya.

 

Langsung mereka tidak menghiraukan para jemaah yang sedang solat di masjid atau di rumah. Menyedihkan sekali apabila mereka tidak mengunjungi surau dan masjid untuk solat tarawih. Di mana Allah di hati anak-anak kecil ini? Aduh, kasihannya. Seharusnya sejak kecil lagi perlu dididik dengan Islam yang sebenar.

 

Mereka berbasikal ke hulu ke hilir di sekitar kampung. Di kalangan mereka, ada yang sanggup mencuri duit ibu dan ayah semata-mata untuk membeli mercun yang sedikitpun tidak memberi manfaat. Saya sangat sedih tatkala melihat adik-adik tersebut menghabiskan wang saku pemberian ibu ayah mereka untuk membeli mercun yang langsung tidak memberi manfaat. Paling menyedihkan apabila ibu bapa mereka merelakan hal tersebut. Langsung tidak memarahi anak-anak mereka yang melakukan kegiatan tidak bermoral di bulan yang mulia ini.

 

Adakah kerana mereka berpendapat bahawa anak-anak mereka masih kecil, jadi biarkanlah mereka bermain dan membuang masa. Meskipun di dalam madrasah Ramadhan??? Allahuakbar. Sayang sekali andai Ramadhan berlalu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya apatah lagi untuk anak-anak kecil ini yang baru mempelajari tentang Islam.

 

Kerana pepatah Melayu ada disebut, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

 

Saya hampir menangis pada setiap hari apabila budak-budak tersebut bermain mercun, membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman dan ketenangan Ramadhan berlarutan tanpa henti sehingga waktu qiyamullail. Solat tahajud yang saya dambakan dilaksanakan dalam suasana yang sunyi, tenang sebaliknya dicemari oleh bunyi mercun mereka.

 

“Pom!” “Pang!”

Bumbung rumahku lagi yang menjadi mangsa kekejaman bom mercun mereka.

 

Sedih.

Menangis bukan kerana pencemaran bunyi itu sahaja, tetapi kerana kasihan pada mereka kerana penghayatan Ramadhan tidak sampai ke hati mereka. Adakah kerana kehidupan mereka jauh dari Islam yang hakiki? Sedangkan Ramadhan merupakan medium untuk umat manusia menginjak ke arah yang lebih baik.

 

Sejenak berfikir.

Apakah erti Ramadhan bagi kanak-kanak ini? Adakah Ramadhan bagi mereka hanyalah bulan untuk berseronok kerana ibu dan ayah mereka di masjid untuk solat tarawih. Satu kebebasan bagi mereka. “Tiada siapa akan halang aku untuk merayau-rayau lagi.”

 

Begitukah??

 

Berfikir lagi. Kenapa sejak kecil lagi mereka sudah terdidik untuk tidak menghargai Ramadhan? Sedangkan mereka perlu dididik sejak kecil, agar mereka mengenali Allah dan Islam dengan baik.

 

Bagi diriku sendiri, pengalaman menyambut Ramadhan ketika kecil amat mendidikku untuk menghargai Ramadhan yang berikutnya. Setiap tahun kuberazam untuk peroleh Ramadhan yang lebih baik.

 

Saya ingin tekankan di sini. Seandainya ibu bapa sudah mendidik anak-anak untuk memanfaatkan bulan Ramadhan sejak kecil, sudah tentu Ramadhan menjadi sebuah madrasah yang sangat berkesan untuk mengajar anak-anak berakhlak dengan akhlak yang baik, taat ibu bapa, apatah lagi kepada Allah dan rasul.

 

Seperti kita semua sedia tahu, Ramadhan merupakan madrasah untuk mendidik jiwa, nafsu dan jasad untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Namun, sekiranya ketibaan Ramadhan dipersiakan, maka rugilah. Apatah lagi buat anak-anak kecil yang sedang bertatih mencintai Islam, agama yang suci.

 

Adik-adikku, Ramadhan bukan bulan persinggahan untuk menyambut Aidilfitri. Ramadhan bukan bulan untuk kamu mengganggu kawan-kawan, merayau-rayau tanpa tujuan dan bukan bulan untuk bermain mercun.

Ibu dan ayah, didiklah kami untuk memanfaatkan Ramadhan dengan sebaiknya….