Category Archives: wanita

Kenapa Awak Berpurdah?

Standard

“Bunyi bising memecah kesunyian pagi. Angin pagi terasa begitu dingin. Tetapi mengapa hati ini sukar mensyukuri segala nikmat? Allah…”

Pelbagai persoalan dilontarkan kepada saya apabila saya mula memakai purdah. Dan ada yang masih terus bertanya dan bertanya… “Adilah, kenapa Adilah pakai purdah?” “Adilah, kenapa awak pakai purdah?” Tidak putus-putus soalan itu ditanya. Allahu Akbar… Soalan yang memerlukan jawapan yang sangat panjang untuk aku sampaikan..Kerana ia bukan dariku, tapi ini semua ketentuan Allah.

Segalanya bermula di HATI. Di saat hati ini merindukan Tuhan, mahu sekali wajah ini menjadi rahsia. Di saat hati ini merindukan Tuhan, mahu sekali aku tutupkan wajahku. Tidak tahu mengapa.. Hati ini memberontak untuk aku memakai purdah.

Hatta, bukan kerana ada sesiapa yang menyuruh. Tiada seorang pun yang memintaku untuk memakai purdah, tetapi kerana hati ini menjadi enak apabila wajah ini menjadi rahsia. Hati ini semakin dekat dengan Allah apabila wajah ini ditutup dengan secebis kain.

Aku tertanya-tanya pada mulanya, “ Ya Allah… Kenapa Kau takdirkan aku memakai purdah sedangkan aku tidak mampu dan lemah. Ya Allah, kenapa Kau ujiku begini sedangkan aku berasa tidak mampu. Aku tidak mampu menanggung ujian ini ya Allah. Terlalu berat buatku.” Sungguh, aku tidak kuat…

Ini juga jawapan di atas persoalan teman-teman, kerana ini ujian Allah untuk hamba-Nya yang lemah ini.

Aku bukanlah seorang yang hebat, warak, alim dan solehah. Aku benar-benar cuma insan biasa yang tidak punya apa-apa kelebihan, atau kecantikan.. Bahkan aku juga tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat. Malah aku bukanlah berasal daripada keluarga yang berpendidikan agama yang tinggi, ayahku bukan ustaz, ibuku bukan ustazah. Malah di saat aku memakai purdah, mereka juga tidak tahu..

Berat hati ini untuk memberitahu mereka. Tetapi kerana Allah, aku lakukan juga meskipun berat yang teramat sangat.

Emak dan abah pada mulanya sukar menerima.. Allah, berat hatiku menanggung ujian itu. Sedih.. Tapi mereka mula menerimaku seadanya kerana aku adalah anak. Kasih sayang ibu dan ayah membuatkan mereka menerimaku seadanya. Mereka menyayangiku seadanya.

Alhamdulillah..

Jawapannya, kerana hati ini yang meminta untuk menuruti aku untuk mentaati perintah Allah. Andai tidak dituruti, aku berasa tidak senang. Jawapannya, kerana aku mahu lebih dekat dengan Allah.. Jawapannya, kerana aku mahu dicintai Allah… Jawapannya, kerana aku rindu kepada Allah..

Pada mulanya, saya  berasa agak berat meskipun telah memakai purdah. Kerana tidak biasa apabila orang sekeliling asyik memandang dan bertanya. Berhari-hari air mata ini berguguran mengalir ke pipi tidak henti. Selera makanku hilang dan aku hilang dunia sekeliling.

Sebulan berlalu, dua bulan berlalu dan kini sudah 3 bulan aku memakai purdah, Alhamdulillah Allah beri kemudahan demi kemudahan. Ini ujian buatku…

Sahabat, sampaikanlah doa buat diriku ini juga. Kerana aku jua insan seperti kalian, tiada bezanya. Ilmuku sedikit, amalku juga sedikit, ibadahku juga lemah sekali..

http://bit.ly/1mjtYdk

Kerana Sayang

Standard

Angin petang yang sayu menerjah ke dalam biliknya. Menjengah ke pintu hatinya yang sedang mengaduh kesakitan kesedihan yang amat sukar ditafsirkan. Semenjak  pagi sehingga petang dia masih belum menjamah sedikitpun makanan. Selera makannya hilang kerana terlalu dihimpit rasa sedih. Beberapa kali air matanya mengalir ke pipinya pagi tadi.

Mujurlah purdah yang menutupi wajahnya menutup kesedihan di hatinya. Tetapi sesekali air matanya dikesat perlahan. Apabila ditanya mengapa, katanya kerana membuang habuk di mata. Alasan biasa yang sangat kuno.

Dia sendiri tidak faham kenapa hatinya terlalu dihimpit sesuatu rasa sedih yang mendalam. Bibirnya bisu seribu bahasa, fikirannnya kosong menerawang merata, hatinya berbaur pelbagai rasa. Dia sendiri tidak pasti.. Mengapa?

Pagi tadi Hani bersama-sama sahabatnya menghadiri temuduga untuk progam tahfiz. Ramai pelajar yang hadir ke program tersebut. Selepas mendengar taklimat daripada pihak pengurusan, Hani dan rakan sekumpulannya seramai 10 orang diberi masa 30 minit untuk menghafal surah Ghafir bermula dari ayat 17.

“Baiklah, lagi 30 minit saya akan panggil kamu semua untuk memperdengar bacaan. Mesti hafal lebih daripada satu muka surat ye. Kalau kurang, kami tidak akan menerima.”

Hani terkejut berbaur satu perasaan yang dia sendiri tidak faham. “Lebih dari satu muka surat dalam masa 30 minit?” Tetapi hatinya rasa kosong, fikirannya juga tidak tertumpu kepada hafalan. Sedangkan temuduga ini adalah temuduga yang dia tunggu-tunggukan. Tetapi mengapa apabila tiba hari yang dijanjikan itu, dia tidak memberi sepenuh komitmen terhadap hafalannya?

Nah. Hani gagal menghabiskan hafalannya. Hanya separuh daripada muka surat sahaja yang mampu dihafalnya. Dia sudah dapat mengagak bahawa dia adalah antara peserta temuduga yang tidak akan dipilih.

Usai sahaja keluar dari bilik temuduga tersebut, dia mengadu rasa hatinya kepada Hanisah, sahabat sejati yang selalu memahami dirinya. Mereka berjalan beriringan keluar dari bangunan itu.

“Hanisah, saya rasa sedih..”

“Kenapa Hani?” pujuk Hanisah sambil memegang bahu Hani.

“Hmmm…. Saya tak tahulah nak ceritakan bagaimana. Tak apalah, lain kali sahajalah.”

“Eh, janganlah macam tu. Hani, kalau awak ada masalah, lebih baik jangan dipendam. Takut memakan diri nanti.”

“Hmmm, tak apalah Hanisah, lain kali saya ceritakan ya.”

Hanisah mengalah dengan sahabatnya yang selalu memendamkan masalah. Akhirnya, Hani tetap tidak menceritakan apa-apa. Dia berharap agar hatinya dapat sembuh dengan sendirinya walaupun memakan masa yang lama.

Bagi Hani, sifatnya yang suka memendam itu lahir kerana dia seorang anak sulung. Sebagai anak yang paling tua, dia selalu mengalah dan berkorban untuk orang lain. Dia tidak suka melihat orang lain bersusah payah untuknya hatta untuk mendengar keluhan hatinya sekalipun. Dia tidak suka hal tersebut berlaku. Biarlah apa yang dia rasa, hanya dia dan Allah sahaja yang tahu.

Sebenarnya, Hani telah melakukan sesuatu keputusan yang sangat besar di dalam hidupnya iaitu menjauhkan diri daripada seseorang yang sangat dia sayangi dan kagumi demi kebaikan orang itu tersebut.

Sebagai seorang perempuan, hatinya kaya dengan kasih sayang, cinta dan penghargaan luar biasa terhadap orang yang disayanginya. Dengan segala kekurangan dirinya, dia merasakan dirinya terlalu kerdil dan tidak layak untuk bersama dengan orang yang dia sayang.

Pergi bukan bererti dia tidak sayang, atau tidak suka, tetapi kerana dia mahu berkorban untuk insan yang dikasihinya.

Kerana baginya, kekurangan yang ada pada dirinya itu hanya memberikan bebanan dan kesusahan kepada orang lain. Oleh itu, dia mengambil jalan pintas dengan pergi dari hidup seseorang dengan rasa yang sangat berat dan pilu kerana baginya itulah yang terbaik. Dia merasakan hadirnya dia dalam hidup seseorang hanya mengundang pelbagai masalah.

Kali ini dia mengambil keputusan untuk tidak mementingkan dirinya sendiri. Walaupun dia sedar bahawa keputusan yang dia buat itu sebenarnya memberikan seribu rasa penyesalan di dalam dirinya dan membuatkan dirinya diselubungi rasa sedih yang teramat sangat, tetapi dia lakukan jua demi seseorang yang sangat dia kagumi dan hormati.

Sebenarnya, sudah beberapa kali Hani menimbulkan masalah. Ianya semua dari kelemahan dirinya yang sendiri yang kurang ilmu, dan kurang kebergantungannya kepada Allah.

Petang itu Hani bercadang untuk keluar mengambil angin diluar. Sebelum itu, beberapa kali dia cuba menatap buku Microbiology dan Organic Chemistry. Namun, fikirannya merayau-rayau ke segenap sudut ruangan hatinya yang kesedihan. Dia tidak dapat menumpukan perhatian. Lebih baik dia keluar mengambil angin di tepi tasik berhadapan dengan kolej tempat tinggalnya sambil membawa buku untuk dibaca.

Tudungnya ditiup angin. Sambil duduk di atas kerusi bertentangan dengan tasik yang luas, mulutnya terkumat kamit memuji nama-nama Allah yang indah. Hatinya tersentuh dengan keindahan ciptaan Allah. Sedikit sebanyak mengubat hatinya yang sedang berkelana. Matanya menjengah ke tasik yang terbentang luas. Dia terfikir, Allah berkuasa mengaturkan segalanya.

Oleh itu, mengapa sukar sekali dia mahu bersabar. Sedangkan Allah tidak pernah memungkiri janjinya.

Dari kejauhan, kelihatan sahabatnya Siti berjalan seorang diri dalam keadaan sedikit kepenatan. Barangkali mungkin dia baru pulang dari kelas. Siti merenung tepat ke anak matanya. Mungkin kerana tidak mengenalinya kerana wajahnya terlindung disebalik niqab yang dipakainya.

“Hani ke ni?”

“Ye la.. Sayalah ni.” Sambil mengukir senyuman yang tersembunyi.

“Hehe.. Maaflah. Bukan tidak kenal. Tetapi hanya untuk mendapatkan kepastian.”

“Eh, tak apa..”

Setiap tutur kata Hani semuanya pendek-pendek. Seolah-olah ada sesuatu yang tersekat di kerongkong. Hani berbual panjang dengan Siti. Mereka bercakap tentang nikmat dan kurniaan Allah yang mesti disyukuri. Mereka juga turut membaca matsurat bersama-sama di bawah pondok yang bersebelahan dengan tasik.

Hati Hani semakin terubat apabila mengalunkan kalimah-kalimah zikir yang membuatkan hatinya kesejukan dalam kedamaian cinta dan kasih dari Tuhan Yang Esa. Dia berbisik pada dirinya sendiri, ” Hani, bersabarlah kerana pengorbanan ini pasti ada hikmahnya. Andai itu yang akan membuatkan dia bahagia, mengapa aku tidak redha. Itulah yang terbaik untuk dirinya meskipun hatiku rasa berat dan sedih.”

 

 

Muslimah dan Gambar di Facebook

Standard

Sejak kebelakangan ini, setiap kali online facebook, hati terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Rasa tak sedap hati dan tertanya-tanya, “Kenapa rasa macam pelik je bila tengok facebook ni??”

Rasa nak menangis pun ada juga. Rasa gementar pun ada. Sebabnya saya juga tidak tahu. Lama kelamaan..

Akhirnya…

“Ha…. Dah tahu dah.huhu.. Sedihlah pula.”

Sedih sangat-sangat apabila melihat semakin hari semakin ramai para muslimat yang menge’post’ gambar-gambar mereka di wall facebook masing-masing.  Dengan gaya masing-masing untuk tatapan umum. Untuk apa agaknya ye?

Tujuannya untuk apa? Dakwah ke? Tujuannya untuk saja-saja supaya menjadi tatapan orang lain ke?Hanya mereka sahaja yang mengetahui akan sebab mereka menayangkan gambar mereka di dalam facebook. Gambar secara berseorangan untuk tatapan umum?

Sekiranya gambar itu dipamerkan secara beramai-beramai tidak mengapa juga. Seperti gambar bersama kawan-kawan atau keluarga. Tetapi saya melihat semakin hari semakin ramai pula para wanita yang post gambar mereka secara berseorangan. Dengan pelbagai gaya dan aksi yang mencurigakan dan boleh mengundang fitnah. Dengan senyuman yang menggoda. Sudah seperti ala-ala model pula.

Ya saya faham sekiranya para muslimat itu tiada niat untuk menggoda sesiapa pun. Tetapi ingatlah bahawa ianya boleh mengundang fitnah dan mengganggu hati insan yang bukan muhrim. Mereka juga manusia biasa.

Wanita itu sendiri merupakan hiasan dunia. Dengan erti kata lain, wanita itu sememangnya sudah cantik dan menawan. Dah memang cantik, jadi buat apa lagi perlu ditayangkan kepada orang lain? Semua perempuan sama sahaja cantiknya.

Maaf, pasti ada yang akan memarahi saya selepas ini.

Perhiasan yang mahal ialah yang dijaga kesuciannya. Barang yang mahal, sudah tentu akan disimpan dengan baik, bukan ditayangkan sesuka hati. Hanya orang yang layak sahaja yang boleh memandangnya atau memilikinya.  Kerana ia terlalu berharga.

Barang yang mahal itulah yang diertikan dengan sifat ‘MALU’.  Diri tidak berharga lagi sekiranya sifat MALU telah hilang dari diri. Seperti MALU untuk mempamerkan wajah di dalam facebook untuk dijadikan tatapan umum, MALU untuk melakukan aksi-aksi yang tidak sepatutnya ketika bergambar seperti memuncungkan mulut untuk kelihatan lebih… lebih cantik ke? Lebih seksi ke? Dan MALU untuk dikomen oleh orang lain tentang gambar kita. Seperti.. “Wah, comelnya awak.” “Cutenya” “Comel…” Bukankah pujian-pujian ini selayaknya untuk Allah dan hanya akan menimbulkan perasaan riak walaupun sebenarnya tiada niat untuk dipuji.

Tambahan pula yang memberi komen itu ialah dari kalangan lelaki. Bukankah itu sudah mengundang fitnah? Dan di mana sifat malu menghilang di saat ada lelaki lain yang memuji diri kita comel, cute, cantik dan sebagainya?

Syaitan itu sangat licik.

MALU itulah barang yang paling berharga di dalam diri seorang wanita. Rasulullah pernah menegur umat baginda. “Kalau tidak malu, maka berbuatlah sesuka hatimu.”

Tidak perlu ditukar background atau lighting supaya diri kelihatan lebih putih atau menyerlah. Sedangkan di dunia realiti, ianya berbeza. Salahkah kita menjadi diri sendiri sahaja? Mengapa perlu menipu orang lain dengan  meng’edit’ gambar tersebut untuk menutup jerawat dan jeragat yang ada di wajah.

Tambahan pula, kecantikan yang Allah kurniakan kepada kita itu bukanlah milik kita yang mutlak. Bila-bila masa sahaja Allah akan tarik semula nikmat tersebut. Kecantikan yang Allah beri itu perlulah dijaga dan disyukuri dengan cara tidak merasa riak atau ujub dengan kecantikan yang diberikan oleh Allah.

Islam sebuah agama yang indah. Ikuti dan pelajarilah ia, nescaya kalian akan peroleh ketenangan.

Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Mungkin ini adalah teguran untuk kita semua dan terutama sekali untuk diri saya sendiri. Allah menciptakan manusia dalam keadaan yang serba kekurangan. Oleh itu, pentingnya kita saling menasihati antara satu sama lain dengan kebenaran dan kesabaran.

http://bit.ly/1mjtYdk

Jadikan dirimu sebagai Bidadari Syurga

Standard

Satu perkara yang paling membuatkan saya tertarik tentang bidadari syurga ialah mereka bukan sahaja teramat jelita tetapi akhlak mereka tersangat indah. Jelita sang bidadari mungkin sukar dicapai. Tetapi akhlak yang baik tidak mustahil untuk dimiliki.

 

Kecantikan bidadari itu telah dirakamkan di dalam Al-Quran. “Seakan-akan bidadari itu seperti yaqut dan marjan” (Ar-Rahman: 58)

Akhlak yang Baik”

Di dalam syurga itu ada bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik.” (Ar-Rahman: 70)

moslemah-angle1

Antara ciri bidadari syurga ialah cantik dan berakhlak baik. Subhanallah…. Oleh itu, apakah pengajaran yang boleh diambil khususnya sebagai seorang wanita?  Yang saya mahu tekankan di sini ialah tentang akhlak yang baik.

 

Sebagai wanita dunia, mahukah selayaknya anda digelar bidadari syurga?  Layak atau tidak. Usahalah sebaiknya kerana yang cantik itu lebih disukai oleh Allah s.w.t.  Apatah lagi akhlak yang cantik dan mulia.

 

Kalau begitu persiapkanlah diri dengan akhlak yang baik. Seorang perempuan yang berakhlak mulia itu lebih baik daripada 1000 lelaki soleh. Sedarilah bahawa nilai akhlak yang ada di dalam diri seorang wanita itu sangat bernilai dan lebih indah sekiranya dipraktikkan dengan baik.

 

Malah, seorang wanita yang berakhlak buruk barangkali lebih kelihatan jelik berbanding seorang lelaki yang berperangai buruk. Kerana sifat semula jadi seorang wanita itu bersifat lemah lembut dan sopan santun. Jadi, berakhlaklah dengan akhlak yang selayaknya dimiliki.

 

Oleh itu, hiasilah diri para wanita dengan sikap yang baik dan akhlak yang terpuji.  Maka dengan itu berazamlah dengan bersungguh-sungguh untuk mentaati Allah dan rasul serta memuliakan orang sekeliling. Itulah yang terbaik. Taat dan jauhi segala larangan-Nya. Itu sahaja yang bakal menyelamatkan kita semua daripada azab seksaan neraka.

 

Apabila seseorang wanita itu mengerjakan solat yang lima, berpuasa sepanjang bulan (Ramadhan), memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam syurga dari pintu mana sahaja yang engkau sukai.” (HR Ahmad dan Tabrani)

 

Hadis ini menunjukkan bahawa sangat penting untuk seorang muslimah untuk menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah, taat kepada suaminya dan juga menjaga harga dirinya. Dengan erti kata lain, hadis ini menegaskan bahawa penting untuk muslimah memiliki akhlak yang baik dan bersifat dengan sopan santun.

 

Sangat penting bagi seorang wanita menjaga harga dirinya. Bagaimana? Iaitu dengan menjaga aurat sebaiknya dan memelihara pergaulannya dengan lelaki yang bukan mahram. Malah jangan lupa juga untuk menghiasi diri dengan adab kesopanan. Letakkanlah keazaman yang tinggi kerana setiap perbuatan yang baik pasti akan diganjari oleh Allah. Hanya perlu bersabar. Pesanku buat diri sendiri dan para muslimat sekalian, “Bersabarlah”. Kerana,

 

Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam sebuah riwayat:

Janganlah kamu menganggap remeh kebaikan sedikitpun, sekalipun hanya dengan wajah berseri (senyum) ketika bertemu dengan saudaramu.”

…………………………………………………………………………………………………………………….

Allah telah mengangkat darjat lelaki ketika mereka di dunia mahupun di syurga.

Persaingan Rahsia antara Wanita Dunia dan Bidadari Syurga

Belum lagi bumi kering dengan darah syahid,namun kedua-dua isterinya dari kaum bidadari sudah menaunginya seperti dua induk unta yang menaungi anak mereka dari terik sinar mentari” HR Ahmad.

 

Para bidadari selalu mengintip suami-suami mereka dengan penuh kerinduan di balik awan. Ini menunjukkan Allah s.w.t telah memberi kemuliaan kepada kaum lelaki ketika mereka di dunia lagi.

 

Allah telah menciptakan suatu makhluk lain iaitu bidadari yang sama dengan wanita. Meskipun seorang lelaki yang soleh itu masih lagi di dunia,bidadari tersebut akan sentiasa menunggunya dengan setia.

Bukan calang-calang saingan

Namun, ini menunjukkan bahawa wanita dunia mempunyai saingan dengan bukan calang-calang makhluk iaitu bidadari yang mana Allah ciptakan dengan cahaya. Penciptaan mereka sungguh indah dan sempurna. Secara tidak langsung Allah sedang mengangkat darjat seorang wanita dunia dengan meletakkan persaingan mereka dengan makhluk syurga yang suci.

 

Dan di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang bermata jeli, laksana mutiara yang tersimpan baik, sebagai balasan bagi apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Waqi’ah:22-24)

 

Persaingan ini lebih tepat lagi antara para isteri di dunia dan bidadari di syurga.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia, melainkan isteri suami tersebut yang berasal daripada kaum bidadari akan berkata, ‘Jangan sakiti dia! Semoga Allah mencelakaimu, kerana dia bersamamu hanya seperti orang asing yang akan meninggalkanmu untuk menemui kami.”

Pesanan untuk para isteri

‘Oleh itu para isteri haruslah berjaga-jaga tentang sikap mereka terhadap suami. Kerana Allah telah memuliakan mereka yang soleh ketika di dunia, oleh itu tidak selayaknya kaum isteri berbuat jahat kepada suaminya.’

 

Tetapi diri sendiri yang bercakap ini juga belum lagi menjadi seorang isteri. Masih terlalu muda. Jadi, adalah lebih baik untuk mempersiapkan diri menjadikan diri setanding dengan para bidadari di syurga. Bagaimana?

 

Mempersiapkan diri dengan akhlak yang baik, ilmu pengetahuan dan tingkatkan ibadah kepada Allah s.w.t.

 

Usahalah sebaik mungkin dengan penuh keazaman demi mencapai redha Allah semata-mata untuk memiliki akhlak yang baik. Bukan kerana hal keduniaan yang sementara tetapi demi menggapai syurga abadi.

Suara Hati Seorang Ibu……Tidak Pernah Kubayangkan

Standard

Pada pukul 1 tengah hari tadi, saya sengaja menghantar mesej pada emak. Asalnya hanya berniat untuk bertanyakan idea dan pendapat dari emak. Tetapi sebenarnya hanya mahu melepaskan rindu buatnya yang kerap kali menghantui diri. Sedangkan sebenarnya setiap hari saya menghubunginya. Walaubagaimanapun rasa rindu itu tetap jua hadir di jiwa ini. Mendengar suaranya membuatkan keresahan hati ini terubat.

 

Mak, saya tak tahu nak kongsikan apa pula di dalam blog saya ini. Mak ada idea atau suara hati? Atau tentang masalah anak muda sekarang ni ke.” Ayat yang kedua itu saya hanya berseloroh dengan emak sahaja. Tetapi sebenarnya saya benar-benar kebuntuan idea ketika itu dan terfikir pula mana tahu emak ada sesuatu yang ingin dikongsikan tentang isu remaja sekarang.

 

Lama juga saya menunggu. Pada pukul 4 petang barulah emak membalas.

From: Mak

“ Kadang-kadang mak risau tentang adik kamu. Dalam bulan ini, dia tak hubungi mak pun. Kalau dulu hari-hari dia call mak. Tak pun 2 hari seminggu. Sekarang ini seminggu sekali pun payah nak call mak.”

 

Saya terbayang suara emak yang sedang membicarakan ini. Sudah tentu kesedihan sedang ditahannya dengan tabah. Dari mesejnya itu tidak tergambar kesedihannya. Tetapi kenapa sampai emak meluahkan sedemikian rupa? Soalan saya tadi tiada kena mengena langsung dengan adik.

 

Lama saya menatap mesej dari emak ini. Tak pernah terlintas di fikiran bahawa emak akan menjawab sedemikian untuk soalan saya tadi. Saya hanya bertanyakan tentang pendapat atau suara hati tentang remaja sekarang. Tapi jawapan emak tadi benar-benar membuatkan diri saya tersentuh.

 

Ya, itulah suara hati seorang ibu. Tidak pernah ssaya bertanyakan suara hati emak dan itu pula secara tidak langsung. Ya Allah, rupanya itu yang dirisaukan oleh seorang ibu. Ibuku ya Allah. Di dalam hati ini ada sedikit kekesalan tentang sikap adikku itu. Bukan itu sahaja, rasa marah juga turut menguasai diri. Saya amat pantang apabila ada seseorang yang sanggup membuatkan emak bersedih hati dan risau.

 

Di sebalik kemarahan itu, perasaan kasihan pada emak lebih menguasai diri. Saya membalas pada emak,

“ La ye ke mak. Dia sibuk kot. Mungkin dia banyak kerja yang perlu diselesaikan.” Saya hanya sekadar mahu menyedapkan hati emak. Ini sahaja yang saya mampu selain berdoa pada emak agar emak sentiasa di bawah lindungan rahmat-Nya. Sedangkan saya tahu apalah sangat kerja yang perlu dilakukan oleh seorang pelajar Tingkatan Dua.

 

Emak saya hanyalah seorang surirumah. Anak-anaklah sahaja yang selalu menghiburkan hatinya. Tetapi apabila 3 orang anaknya tiada di sisi, seorang di UIA, dan dua orang lagi di asrama, dan 2 orang lagi bersekolah rendah pada waktu pagi, sudah tentu dia merasakan kesunyian. Di rumah ada abah yang setia menemani emak. Tetapi sudah tentu kerinduan pada anak-anaknya lebih menggugat jiwanya.

 

Saya cuba menyelami hati emak. Saya terfikir bahawa saya dan adik-adik ialah anak-anak yang emak lahirkan dan membesarkan sejak kecil sehingga mampu berdikari sedikit demi sedikit. Sudah tentu kehadiran anak-anak ialah pengubat segala duka dan keletihannya. Tetapi jika anak yang tiada di sisi ini rasanya semakin melupai dirinya, sudah tentu hati itu akan semakin terasa.

 

Air mata yang tidak kupinta berlinangan mengalir menambah rindu pada emak di kampung. Sebenarnya mahu sahaja pulang ke Pulau Pinang minggu ini, tetapi oleh kerana terlalu banyak kekangan, saya hanya bercadang untuk pulang pada minggu hadapan.

 

Dari luahan hati emak itu, saya cuba menyalahkan diri saya sendiri. Selama ini, apabila kita sudah mampu mencari kawan sendiri untuk dikongsi segala masalah dan luahan hati,apabila kita mampu untuk berdikari dan mampu membeli makanan sendiri, kita lupa pada emak yang dahulu sehingga kini ialah seorang yang setia di samping kita.

 

Tidak pernah pula dia merungut penat dan lelah dalam membesarkan kita semua. Subhanallah, itulah yang dikatakan pengorbanan seorang ibu. Tetapi mengapa jauh sekali ingatan kepada emak yang membesarkan sedangkan emak sudah tentu setiap masa teringatkan anak-anaknya. Mengapa tidak? Kerana selama lebih 9 bulan dia menjaga kandungannya dengan penuh kasih sayang dan berhati-hati.

 

Tetapi bagaimana pula perasaannya apabila anak-anak semakin jauh darinya? Pernahkah kalian terfikir? Pernahkah kalian terfikir apa yang ibu kalian rasakan apabila kalian jauh darinya. Di depan kita, emak sentiasa tabah. Katanya sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membesarkan kita. Tetapi bagaimana pula tanggungjawab kita sebagai seorang anak? Sudahkah berkorban untuknya atau kita hanya mementingkan diri sendiri??!

 

Wahai sahabat sekalian, hati seorang ibu. Pernahkah kita terfikir? Kita hanya tahu memikirkan suara hati kita sahaja. Sedangkan suara hatinya lebih dahsyat membawa kesedihan pada hatinya. Bagaimana tidak. Dialah yang paling banyak berkorban selain ayah yang tabah mencari nafkah buat keluarga. Tetapi mengapa hari ini kita tidak mahu langsung mendengar suara hatinya seolah-olah hanya suara hati kita sahaja yang perlu didengari. Malah, kesalahan yang pernah kita lakukan padanya jarang pula kita sesali.

 

Emak, maafkan saya. Sebab saya bukan anak yang baik dan saya bukan seorang kakak yang baik.