Category Archives: Merentasi Kehidupan

Kemanisan dalam Kepahitan ><

Standard

Ramai yang bertanya, “Adilah, kenapa tak update blog?” “Adilah, nak tahu kesinambungan cerita Istikharah Cinta Hani. Cepatlah sambung.” “Aku tengah tunggu update dari blog hang ni.. Bila nak start?” “Dah lama tak nampak post baru. Rindu nak baca.”

Saya malu untuk menulis kerana tiada bakat dan kepandaian. Kedua kerana malas dan sibuk dengan belajar dan kelas.

Hmm.. Hanya keluhan yang mampu dilepaskan. Bukan tidak mahu menulis lagi, tetapi semangat sedikit luntur kebelakangan ini, tiada cerita menarik yang dapat dikongsi, terasa sesak dan berat tersimpan di dalam dada, malas untuk berkongsi, sebaliknya hanya diam membisukan diri. Tetap tersenyum walaupun sukar. 🙂

Nampaknya semuanya semakin sukar dan tidak mudah. Selalu kita mendengar orang menyebut, “Kita hanya merancang, tetapi Allah jua yang menentukan. Bersabarlah….”

Dot dot dot… Oleh itu jangan cepat berputus asa dan lemah.

Namun, kehidupan tetap perlu diteruskan. Di dalam hidup ini ujian merupakan sunnatullah buat hamba-Nya. Bukan tanda Allah tidak sayang kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Hikmahnya terlalu banyak untuk diambil iktibar dari semua ujian yang perlu kita lalui bukan?

Saya teringat akan analogi yang dikongsikan oleh seorang kakak usrah tempoh hari tentang ujian dan mehnah. Analoginya mudah saja. Kakak bertanya, “Mengapa jalan raya itu dibina bertar, bukannya bermozek atau rata sahaja?”

Seorang menjawab, “Kerana sekiranya jalan raya itu tidak bertar dan tidak berbatu ia akan menjadi licin kerana tiada daya geseran lalu akan berlakunya kemalangan dan perlanggaran. Jalan yang kasar itu dicipta demi keselamatan pengguna jalan raya.”

Begitu juga dengan kehidupan kita ini. Andai sepanjang perjalanan hidup kita ini semuanya mudah sahaja, pelbagai masalah akan timbul kerana ujian itu mematangkan diri, membuatkan kita lebih berfikir, membuatkan kita lebih tabah dan sabar. Ujian-ujian itu diciptakan demi mendidik diri menempuh jalan menuju redha Allah. Redha Allah adalah hadiah yang paling berharga yang mahu kita semua miliki. Kerana jalan keredhaan adalah jalan menuju syurga Allah.”

ujian allah

Walaupun pelbagai ujian yang melanda, kita tetap perlu mempositiifkan diri dan sentiasa fokus dalam aktiviti seharian. Belajar, bersosial, berusrah, tarbiah,dakwah, dan aktiviti-aktiviti lain mestilah diteruskan seperti biasa.

Meskipun hati terasa berat dengan bebanan ujian dan terasa pahit, namun senyuman yang manis tetap terukir kepada teman-teman yang lain kerana disitulah tersembunyinya sebuah ketabahan. Ketawa dan jenaka tetap menghiasi hari-hari kita kerana apabila kita membahagiakan orang lain, kebahagiaan untuk diri sendiri juga tetap terasa. Langkah kaki juga mesti tetap padu dan kukuh meskipun hati terasa lemah.

Mukmin yang hebat itu hanya lemah di hadapan Allah, tetapi tampak kuat di mata manusia kerana itulah dakwah dan perjuangan. Seorang daie itu mestilah sentiasa kuat dan tabah kerana dia perlu membimbing manusia lain dan juga dirinya sendiri tabah dengan ujian Allah. Seorang muslim itu tentulah daie kerana Allah telah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di atas muka bumi.

Ujian itu indah dan manis bagi mereka yang mencintai dan mengenali Allah. Saya teringat akan kata-kata seorang pensyarah Biochemistry, Dr Tariqurrahman, “ Everybody who has no scared to Allah, he or she will scared to everything. Everybody who scared to Allah, will scared to nothing.” Kerana seorang muslim yang hanya takut kepada Allah (seksaan-Nya), akan sentiasa patuh dan yakin kepada Allah tanpa sedikitpun keraguan, dan berani menempuh cabaran.

Ujian itu mendekatkan diri kita kepada Allah. Manisnya cinta Allah kepada hamba-Nya. Dicptakan dugaan supaya kita dekat dengan-Nya. Subhanallah.. Apabila ditimpa ujian, pastilah terasa sakit, seluruh jasad juga menanggung kesusahan. Oleh itu, jangan mudah berputus asa dari rahmat Allah. Perbanyakkan zikir, istighfar, solat, membaca Al-Quran dan perbanyakkan doa agar Allah berikan kemudahan kepada kita semua.

Dr. Tariq juga pernah bercerita tentang kisah Nabi Ayyub yang ditimpa ujian penyakit yang dahsyat. Namun, kesakitan itu tidak sedikitpun dikeluhkan oleh nabi. Sebaliknya baginda mengganggap ujian itu indah kerana mendekatkan dirinya kepada Allah. Meskipun susah, namun tidak sedikitpun nabi mengeluh. Itulah contoh manusia yang diuji, tetapi ketaatannya kepada Allah semakin membuah dan bercambah.

Ujian itu membuatkan air mata seringkali mengalir. Itulah tanda hati masih lembut untuk mengadu kepada Allah. Hati yang keras akan susah mengingati Allah dan sukar menerima hidayah. Oleh itu berbahagialah andai air mata itu mengalir membasahi telekungmu kerana Allah telah titipkan rasa kerendahan hati di dalam diri kita. Namun, bersabar dan menjadi mukmin yang kuat itu lebih baik.

=) =)

Saya tidak kuat, tetapi kerana hadirnya teman-teman di sisi membuatkan saya cuba tabahkan hati dan meneruskan misi dakwah dan tarbiah dengan kesungguhan. Kerana kasih Allah jualah saya masih teguh berdiri, tetap melangkah menuju keredhaan Ilahi.

Ujian itu rahmat,

sabar itu cinta,

dugaan itu membahagiakan,

sakit itu indah,

bagi insan yang yakin dengan Tuhan.

Khusyuk Dalam Apa Jua Keadaan

Standard

Khusyuk? Apa makna khusyuk sebenarnya? Dengan bahasa mudahnya ialah menumpukan sepenuh perhatian. Dengan kata lain ialah fokus. Berapa ramai daripada kalangan kita yang mampu bertahan untuk fokus dalam jangka masa yang panjang? Ramai yang mengadu tidak dapat bertahan kerana akan mengalami kebosanan dan hilang tumpuan.

Bagi saya, mungkin tumpuan yang diberikan bukan sebenar-benar tumpuan iaitu 100%. Sebab itulah tidak dapat fokus. Sedangkan otak yang fokus dan jiwa yang khusyuk, tidak akan alami kebosanan.

Sebenarnya di dalam Islam sendiri kita semua telah dilatih oleh Allah s.w.t untuk khusyuk atau fokus dalam apa jua kerja yang kita lakukan. Apakah ia? Sudah tentu solat. Subhanallah! Semasa solat, kita dilarang untuk melakukan perbuatan selain daripada perbuatan solat, dan berkata-kata dengan perkataan yang dibenarkan di dalam solat sahaja bermula dari takbir hingga memberi salam. Sebenarnya kita semua telah praktik untuk fokus paling kurang 5 kali pada setiap hari.

Dan yang seperti kita tahu, khusyuk dan fokus adalah antara rahsia dan kunci kejayaan. Dan khusyuk dalam keadaan mengingati Allah pula akan menghasilkan natijah yang luar biasa iaitu ketenangan yang begitu mendidik jiwa.

Tetapi berapa ramai di kalangan kita yang khusyuk di dalam solat? Dan praktikkan khusyuk itu di dalam kehidupan seharian? Benar ianya sukar, tetapi adakah mustahil? Bayangkan sekiranya sekarang anda sedang solat, tetapi di dalam solat tiba-tiba anda teringatkan assignment yang belum dihantar. Sudah tentu solatnya itu sudah seperti lipas kudung. Hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Tetapi sesuatu yang Allah perintah tidak mustahil untuk dilaksanakan, malah sangat sesuai untuk kehidupan seharian kita ini.

Kadang-kadang, semasa berzikir juga kita tidak benar-benar menghadirkan diri kepada Allah. Mulut menyebut, tetapi hati melayang ke arah lain. Sedangkan ketenangan itu hadir apabila hati benar-benar mengingati Allah.

Khusyuk juga perlu disertai dengan tawadhuk. Hati khusyuk dan tunduk. Subhanallah. Kesannya begitu mendalam hingga ke lubuk hati yang paling dalam, akhirnya air mata yang ikhlas mengalir menginsafi diri yang kerdil. Sebutlah zikir dengan bersungguh-sungguh. Hadirkan hatimu dengan sebenar-benar kehadiran dan jangan biarkan ia tertinggal di sebalik kegelapan hati.

Allah adalah yang paling perlu kita ingati. Kerana Allah yang Menciptakan kita semua dengan rahmat-Nya. Alhamdulillah ya Allah. Sebutkanlah ia selalu. Allahuakbar, kadang-kadang si penulis ini juga selalu leka dalam mengingati Allah yang Esa. Astaghfirullah…

Marilah sama-sama denganku, kita muhasabah diri dengan penuh keikhlasan. Hadirnya kita di atas muka bumi ini bukanlah untuk dipersiakan. Subhanallah, Maha Suci Allah.

Jasad yang Hidup

Standard

Saya hanyalah seorang manusia biasa, yang baru belajar mengenal kehidupan. Yang masih merangkak dan bertatih dalam mencari erti kehidupan. Semakin hari pasti ada sesuatu yang dipelajari diri yang kerdil ini. Dan juga terfikir alangkah ruginya andai akal yang dikurniakan Allah s.w.t ini tidak digunakan sebaiknya. Kekangan masa kekadang, memaksa saya untuk terus sibuk dengan urusan dunia sehingga jiwa dan rohani meronta-ronta minta diisi dengan tarbiah dan ingatan kepada Allah s.w.t.

Selalunya, bisikan hati ini, jeritan hati ini tidak terlalu kuat untuk mencuri perhatianku yang kesibukan ini. Sehingga suatu saat, hati menjadi tersangat resah dan gelisah kerana terasa bebanan yang berat. Bukan bebanan sebenarnya yang mengisi hati ini tetapi kekosongan yang luar biasa.

Kerana jarang sekali mulut ini mahu menyebut  ‘astaghfirullahalzim’, ‘subhanallah’ dan zikir-zikir lain yang merupakan kunci ketenangan. Sesibuk mana sekalipun, jadikanlah sibuk itu sibuk yang bermakna di sisi Allah s.w.t. Sibuk dalam keadaan mengingati Allah. Jarang sekali kita berbuat sedemikian kerana urusan agama dan urusan dunia telah kita sekularkan sejak kecil lagi.

Kadang-kadang, seusai solat, hilanglah segala ingatan kepada Allah. Ya, kadangkala kita marah apabila orang mengatakan kita hanya Islam di ketika solat. Tetapi hakikatnya ramai manusia memang begitu. Sedangkan urusan agama itu tidak akan pernah putus. Bukan ketika membaca quran sahaja. Bahkan ketika berbuat semua perkara sekalipun, semuanya harus diiringi dengan ingatan kepada Allah.

Adakalanya hidup kita ini, hanya jasad yang bergerak ke sana ke sini, sibuk melangsaikan urusan dunia itu dan ini, bekerja tanpa henti tanpa memikirkan keperluan jiwa yang mendesak. Dan ada ketika, jasad hanya bermalas-malasan, enak tidur di atas katil yang empuk, menikmati makanan yang sedap setiap hari, membeli belah tanpa henti sehingga jiwa menjerit meminta tolong.

Jasad, akal dan hati haruslah sentiasa seiring berjalan merentas arus kehidupan. Tetapi hakikatnya, dek kerana kita telah biasa memisahkan ketiga-tiganya, adakalanya kita susah untuk berfikir dengan mata hati. Ini sangat merugikan kerana gabungan akal dan hati, subhanallah, natijahnya begitu hebat kerana melahirkan insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Analoginya seperti solat iatu ibadah yang sangat rapat dengan umat Islam. Tetapi berapa ramai yang solat dengan hati dan jiwanya atau hanya jasad yang melaksanakan. Dan kesannya begitu berbeza sekali iaitu melahirkan mukmin yang berjaya atau tidak berjaya. Jelas sekali Allah telah terangkan di dalam Al-Quran tentang orang yang mendirikan solat dengan khusuk.

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya” (Al-Mukminun: 1-2)

Bagi diriku yang baru belajar dan mengenal ini, bagiku khusyuk itu apabila kita melaksanakan sesuatu perkara dengan jasad dan mata hati. Jasad akan menjadi kosong tanpa berfikir, dan paling tepat berfikir dengan mata hati. Sukarnya mungkin perlu dididik dari hari ke hari. Apa sahaja yang kita lalui maka berfikirlah tentangnya, hayatilah dan akhirnya apakah natijahnya? Natijahnya adalah keimanan dan ketaqwaan yang menenangkan hati dan jiwa yang merintih. Subhanallah. Dari situ kita dapat menilai bahawa umat Islam mengalami proses yang sangat sempurna. Tidak seperti orang bukan Islam, cara berfikir mereka tidak mendatangkan ketenangan dan kedamaian di jiwa. Di suatu saat wang ringgit dan segala-galanya sudah tidak berguna lagi apabila ketenangan telah hilang dari jiwa. Dan wang ringgit tidak mampu mengembalikan ketenangan yang hilang itu melainkan sujud kepada Allah..

Berfikir dengan mata hati juga dapat melahirkan aura yang positif dan luar biasa. Sebagai contoh apabila berfikir tentang kejadian alam, bagaimana tabahnya seekor ibu burung keluar mencari makan di atas bumi yang luas terbentang untuk anak-anaknya, ikan-ikan yang pelbagai jenis dan saiz menghuni lautan yang luas, bagaimana hebatnya penciptaan manusia oleh Allah s.w.t dan berfikir tentang Islam, seolah-olah ada kuasa yang menggerakkan kita untuk terus melangkah dan mengenal Tuhan. Aura itu akan lahir di hati lalu memberikan kekuatan kepada jasad untuk terus melangsaikan hidup dan amanah di atas muka bumi ini dengan penuh keimanan.

Kelas Biologi selama ini memang membuatkan saya tertarik dengan mekanisma-mekanisma, tentang kejadian alam, tetapi tidak pernah membuatkan saya bertambah keimanan kepada Allah s.w.t. Kenapa? Kerana tidak pernah berfikir dengan lebih kritis akan betapa hebatnya ciptaan Allah Azzawajalla. Ya, selama ini juga berfikir akan kehebatan Allah yang menciptakan makhluk dan alam dengan penuh kesempurnaan, tetapi ada bezanya apabila fikiran yang biasa itu ditukarkan dengan pemikiran mata hati.

Tiba-tiba tadi mulut laju menyebut ‘astaghfirullah’ berkali-kali sewaktu pensyarah sedang aktif memberi penenerangan tentang suatu topik Biologi di hadapan. Dan secara automatik, hati terasa kian lapang lalu mudah untuk menilai kehebatan Allah. Ternyata, hati selama ini kosong lalu diisi dengan maksiat sehingga menjadi gelap. Kerana itulah sukar untuk berfikir dengan mata hati kerana ia buta. Aduh, betapa parahnya hati. Akhirnya terubat dengan beberapa kalimah.

Subhanallah, Maha Suci Allah.

Akhir kalam, apa yang ingin saya maksudkan di sini ialah jasad yang hidup itu adalah apabila disertai akal yang berfikir lalu hati mendapat manfaat darinya iaitu ketenangan. Mungkin salah, mungkin juga benar apa yang dikongsikan ini. Semoga sesiapa yang membaca boleh berkongsi idea dan pendapat untuk kebaikan kita bersama. Syukran jazilan.