Category Archives: Islam

Aku Ingin Menjadi Hamba

Standard

Suasana petang ini redup sahaja dengan sedikit kepanasan matahari yang tidak terlalu menyengat. Lemah kaki berjalan pulang dari Kuliyyah Of Science ke Mahallah Maimunah.. 30 minit berlalu berjalan dari kuliyyah, tapi masih belum sampai ke bilik.

Hari ini badan terasa begitu penat dan lesu.. Barangkali mungkin kerana kurang sihat. Lalu langkahku hari ini lebih perlahan daripada biasa..

Jenuh fikiran mempositifkan diri, “Adilah kuat, Adilah tak letih, Adilah optimis…”

Lalu langkah diperlajukan sedikit.. Langkah demi langkah kupijak di atas bumi Allah yang indah ini. Hati cuba untuk tidak merungut..

“Biasalah, hidup ini mana boleh tiada ujian.”

Kerana langkah ini lebih perlahan daripada biasa, membuatkan aku sempat untuk berfikir panjang. Pelbagai persoalan bermain di hati yang lemah ini..

“Ya Allah.. Apa erti aku hidup di atas bumi ini andai diriku penuh dengan dosa?”

“Ya Allah… Apalah erti hidup ini andai di dalam hatiku ini tiada pun aku mengingati-Mu?”

“Ya Allah.. Apalah erti hidup ini sedangkan langkah kakiku ini, tiada pun Engkau di hatiku?”

“Ya Allah.. Jadikanlah aku orang yang beriman dan bertaqwa kepada-Mu. Tetapi layakkah aku kerana orang yang beriman dan bertaqwa itu adalah orang yang Kau cintai sedangkan aku ini tidak layak untuk syurga-Mu.”

“Ya Allah…”

Air mataku bergenangan…

Di dalam perjalanan itu aku selisih dengan mahasiswi yang lain..

Assalamualaikum..” Salam diberi kepada mereka yang kutemu. Senyuman yang mereka balas dan salam yang mereka balas membuatkan hatiku tersenyum tenang. Barangkali mungkin kerana doa di dalam salam itu yang mendoakan kesejahteraan dan keselamatan..

Sampaikanlah salam kerana ianya doa, ianya pengikat kasih sayang, penyembuh hati yang berkelana.. Subhanallah..

Aku bukanlah seorang bidadari syurga kerana aku tidak layak. Tapi aku ingin sekali menjadi seorang hamba. Cukuplah diriku ini menjadi hamba. Aku ingin sekali menjadi hamba.. hamba kepada Allah, bukan hamba kepada dunia ini.

http://bit.ly/1mjtYdk

Kenapa Awak Berpurdah?

Standard

“Bunyi bising memecah kesunyian pagi. Angin pagi terasa begitu dingin. Tetapi mengapa hati ini sukar mensyukuri segala nikmat? Allah…”

Pelbagai persoalan dilontarkan kepada saya apabila saya mula memakai purdah. Dan ada yang masih terus bertanya dan bertanya… “Adilah, kenapa Adilah pakai purdah?” “Adilah, kenapa awak pakai purdah?” Tidak putus-putus soalan itu ditanya. Allahu Akbar… Soalan yang memerlukan jawapan yang sangat panjang untuk aku sampaikan..Kerana ia bukan dariku, tapi ini semua ketentuan Allah.

Segalanya bermula di HATI. Di saat hati ini merindukan Tuhan, mahu sekali wajah ini menjadi rahsia. Di saat hati ini merindukan Tuhan, mahu sekali aku tutupkan wajahku. Tidak tahu mengapa.. Hati ini memberontak untuk aku memakai purdah.

Hatta, bukan kerana ada sesiapa yang menyuruh. Tiada seorang pun yang memintaku untuk memakai purdah, tetapi kerana hati ini menjadi enak apabila wajah ini menjadi rahsia. Hati ini semakin dekat dengan Allah apabila wajah ini ditutup dengan secebis kain.

Aku tertanya-tanya pada mulanya, “ Ya Allah… Kenapa Kau takdirkan aku memakai purdah sedangkan aku tidak mampu dan lemah. Ya Allah, kenapa Kau ujiku begini sedangkan aku berasa tidak mampu. Aku tidak mampu menanggung ujian ini ya Allah. Terlalu berat buatku.” Sungguh, aku tidak kuat…

Ini juga jawapan di atas persoalan teman-teman, kerana ini ujian Allah untuk hamba-Nya yang lemah ini.

Aku bukanlah seorang yang hebat, warak, alim dan solehah. Aku benar-benar cuma insan biasa yang tidak punya apa-apa kelebihan, atau kecantikan.. Bahkan aku juga tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat. Malah aku bukanlah berasal daripada keluarga yang berpendidikan agama yang tinggi, ayahku bukan ustaz, ibuku bukan ustazah. Malah di saat aku memakai purdah, mereka juga tidak tahu..

Berat hati ini untuk memberitahu mereka. Tetapi kerana Allah, aku lakukan juga meskipun berat yang teramat sangat.

Emak dan abah pada mulanya sukar menerima.. Allah, berat hatiku menanggung ujian itu. Sedih.. Tapi mereka mula menerimaku seadanya kerana aku adalah anak. Kasih sayang ibu dan ayah membuatkan mereka menerimaku seadanya. Mereka menyayangiku seadanya.

Alhamdulillah..

Jawapannya, kerana hati ini yang meminta untuk menuruti aku untuk mentaati perintah Allah. Andai tidak dituruti, aku berasa tidak senang. Jawapannya, kerana aku mahu lebih dekat dengan Allah.. Jawapannya, kerana aku mahu dicintai Allah… Jawapannya, kerana aku rindu kepada Allah..

Pada mulanya, saya  berasa agak berat meskipun telah memakai purdah. Kerana tidak biasa apabila orang sekeliling asyik memandang dan bertanya. Berhari-hari air mata ini berguguran mengalir ke pipi tidak henti. Selera makanku hilang dan aku hilang dunia sekeliling.

Sebulan berlalu, dua bulan berlalu dan kini sudah 3 bulan aku memakai purdah, Alhamdulillah Allah beri kemudahan demi kemudahan. Ini ujian buatku…

Sahabat, sampaikanlah doa buat diriku ini juga. Kerana aku jua insan seperti kalian, tiada bezanya. Ilmuku sedikit, amalku juga sedikit, ibadahku juga lemah sekali..

http://bit.ly/1mjtYdk

Muslimah dan Gambar di Facebook

Standard

Sejak kebelakangan ini, setiap kali online facebook, hati terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Rasa tak sedap hati dan tertanya-tanya, “Kenapa rasa macam pelik je bila tengok facebook ni??”

Rasa nak menangis pun ada juga. Rasa gementar pun ada. Sebabnya saya juga tidak tahu. Lama kelamaan..

Akhirnya…

“Ha…. Dah tahu dah.huhu.. Sedihlah pula.”

Sedih sangat-sangat apabila melihat semakin hari semakin ramai para muslimat yang menge’post’ gambar-gambar mereka di wall facebook masing-masing.  Dengan gaya masing-masing untuk tatapan umum. Untuk apa agaknya ye?

Tujuannya untuk apa? Dakwah ke? Tujuannya untuk saja-saja supaya menjadi tatapan orang lain ke?Hanya mereka sahaja yang mengetahui akan sebab mereka menayangkan gambar mereka di dalam facebook. Gambar secara berseorangan untuk tatapan umum?

Sekiranya gambar itu dipamerkan secara beramai-beramai tidak mengapa juga. Seperti gambar bersama kawan-kawan atau keluarga. Tetapi saya melihat semakin hari semakin ramai pula para wanita yang post gambar mereka secara berseorangan. Dengan pelbagai gaya dan aksi yang mencurigakan dan boleh mengundang fitnah. Dengan senyuman yang menggoda. Sudah seperti ala-ala model pula.

Ya saya faham sekiranya para muslimat itu tiada niat untuk menggoda sesiapa pun. Tetapi ingatlah bahawa ianya boleh mengundang fitnah dan mengganggu hati insan yang bukan muhrim. Mereka juga manusia biasa.

Wanita itu sendiri merupakan hiasan dunia. Dengan erti kata lain, wanita itu sememangnya sudah cantik dan menawan. Dah memang cantik, jadi buat apa lagi perlu ditayangkan kepada orang lain? Semua perempuan sama sahaja cantiknya.

Maaf, pasti ada yang akan memarahi saya selepas ini.

Perhiasan yang mahal ialah yang dijaga kesuciannya. Barang yang mahal, sudah tentu akan disimpan dengan baik, bukan ditayangkan sesuka hati. Hanya orang yang layak sahaja yang boleh memandangnya atau memilikinya.  Kerana ia terlalu berharga.

Barang yang mahal itulah yang diertikan dengan sifat ‘MALU’.  Diri tidak berharga lagi sekiranya sifat MALU telah hilang dari diri. Seperti MALU untuk mempamerkan wajah di dalam facebook untuk dijadikan tatapan umum, MALU untuk melakukan aksi-aksi yang tidak sepatutnya ketika bergambar seperti memuncungkan mulut untuk kelihatan lebih… lebih cantik ke? Lebih seksi ke? Dan MALU untuk dikomen oleh orang lain tentang gambar kita. Seperti.. “Wah, comelnya awak.” “Cutenya” “Comel…” Bukankah pujian-pujian ini selayaknya untuk Allah dan hanya akan menimbulkan perasaan riak walaupun sebenarnya tiada niat untuk dipuji.

Tambahan pula yang memberi komen itu ialah dari kalangan lelaki. Bukankah itu sudah mengundang fitnah? Dan di mana sifat malu menghilang di saat ada lelaki lain yang memuji diri kita comel, cute, cantik dan sebagainya?

Syaitan itu sangat licik.

MALU itulah barang yang paling berharga di dalam diri seorang wanita. Rasulullah pernah menegur umat baginda. “Kalau tidak malu, maka berbuatlah sesuka hatimu.”

Tidak perlu ditukar background atau lighting supaya diri kelihatan lebih putih atau menyerlah. Sedangkan di dunia realiti, ianya berbeza. Salahkah kita menjadi diri sendiri sahaja? Mengapa perlu menipu orang lain dengan  meng’edit’ gambar tersebut untuk menutup jerawat dan jeragat yang ada di wajah.

Tambahan pula, kecantikan yang Allah kurniakan kepada kita itu bukanlah milik kita yang mutlak. Bila-bila masa sahaja Allah akan tarik semula nikmat tersebut. Kecantikan yang Allah beri itu perlulah dijaga dan disyukuri dengan cara tidak merasa riak atau ujub dengan kecantikan yang diberikan oleh Allah.

Islam sebuah agama yang indah. Ikuti dan pelajarilah ia, nescaya kalian akan peroleh ketenangan.

Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Mungkin ini adalah teguran untuk kita semua dan terutama sekali untuk diri saya sendiri. Allah menciptakan manusia dalam keadaan yang serba kekurangan. Oleh itu, pentingnya kita saling menasihati antara satu sama lain dengan kebenaran dan kesabaran.

http://bit.ly/1mjtYdk

Aku Dambakan Cinta dari-Nya

Standard

Hidup ini merupakan satu perjuangan. Langkah kaki ini juga satu pencarian. Perjuangan dan pencarian yang ada penghujungnya. Tetapi tidak tahu bila saat itu akan tiba. Barangkali mungkin esok, atau mungkin sahaja sebentar lagi sahaja pengakhiran hidup ini.

Mencari-cari sesuatu. Kadang-kadang orang yang celik juga boleh menjadi ‘buta’.

Adakalanya apa yang dicari juga kita sendiri tidak mengerti. Di saat hati gelisah, kita mula mencari ketenangan. Dari situ kita belajar untuk mengenal apa erti sebuah kedamaian.

Di saat kita berasa kesepian, di ketika itulah kita mula mencari teman. Di kala kita berasa sedih, kita mula mencari-cari kebahagiaan. Di saat itulah kita mula menghargai sebuah kegembiraan.

Tanpa kita sedar, semua yang kita cari itu dapat diperoleh dengan cara kita mula mencari Allah lalu menemui cinta-Nya.

Subhanallah.

Besarnya cinta Allah buat hamba-Nya. Segala-galanya Allah berikan di saat kita memerlukannya.

Allah.

Di saat air mata mengalir ke pipi, hanya satu nama sahaja yang terukir di bibir iaitu Allah, hanya satu nama sahaja yang terlintas di hati iaitu Allah, lalu diri seolah meraba-raba seperti orang yang buta mencari Tuhan.

Rupa-rupanya apa yang didambakan ialah keampunan dan kasih sayang dari Allah. Diri ini rasa tersangat malu kerana sekiranya Allah tidak sayang, mengapa Dia terus memberikan segala nikmat tanpa putus meskipun hamba-Nya selalu melupakan-Nya, malah tanpa berasa kesal melakukan kemungkaran.

“Allah… Maafkanlah aku ya Allah.”

Apabila kita terlalu memikirkan perkara-perkara yang kecil, kita lupa bahawa Allah yang mengaturkan segalanya. Dengan kasih sayang-Nya, Allah mengatur hidup kita dengan cara yang terbaik.

Allah Maha Mengetahui..

Sedarlah bahawa di saat kita ketawa, menangis, gelisah atau tenang, semua itu merupakan ujian dari Allah yang Maha Sempurna untuk mendidik hamba-Nya dengan penuh kasih sayang.

Allah tahu bahawa hamba-Nya lemah dan kerdil. Kerana itulah Allah titipkan ujian, onak dan duri di sepanjang jalan yang kita lalui agar kita menjadi hamba-Nya yang kuat dan tabah lalu menjadi hamba yang hebat dan bertaqwa.

Di saat kita berasa lemah, sebenarnya Allah sedang mengajar dan melatih diri kita untuk menjadi insan yang hebat.

“Allah… Besarnya kasih sayangMu. Moga hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Banyakkan berdoa dan terus bertawakal kepada Allah kerana Allah sahajalah yang mengetahui segalanya.”

 

Hentikan bunyi mercun itu

Standard

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Al Baqarah:183)

Apabila tibanya bulan Ramadhan, suasana menjadi berubah. Angin ketenangan menyapa di hati, langit seakan cerah menyinari hati agar dekat dengan Ilahi. Subhanallah, hebatnya kasih sayang Allah buat hamba-Nya agar menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah.

kartun puasa

Walaubagaimanapun,

 

Di sebalik ketenangan itu, terselit sedikit kekesalan di dalam hati apabila mendengar suara bingit riuh rendah anak-anak kecil yang berumur dalam lingkungan 7-12 tahun di luar rumah. Sebelum ini, di bulan-bulan yang lain tiada pula kedengaran suara anak-anak ini. Dari jauh kedengaran suara mereka saling mengherdik, mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kawan-kawan mereka. Di bulan Ramadhan?

 

Tetapi sama seperti tahun-tahun sebelum ini juga, sejakku kecil hingga kini, apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, pasti anak-anak kecil ini akan semakin aktif dengan kegiatan mereka yang tidak bermanfaat. Contohnya, merayau-rayau di sekitar kampung di bulan Ramadhan, bermain mercun, mengganggu orang kampung yang berjalan kaki ke masjid, dan sebagainya.

 

Langsung mereka tidak menghiraukan para jemaah yang sedang solat di masjid atau di rumah. Menyedihkan sekali apabila mereka tidak mengunjungi surau dan masjid untuk solat tarawih. Di mana Allah di hati anak-anak kecil ini? Aduh, kasihannya. Seharusnya sejak kecil lagi perlu dididik dengan Islam yang sebenar.

 

Mereka berbasikal ke hulu ke hilir di sekitar kampung. Di kalangan mereka, ada yang sanggup mencuri duit ibu dan ayah semata-mata untuk membeli mercun yang sedikitpun tidak memberi manfaat. Saya sangat sedih tatkala melihat adik-adik tersebut menghabiskan wang saku pemberian ibu ayah mereka untuk membeli mercun yang langsung tidak memberi manfaat. Paling menyedihkan apabila ibu bapa mereka merelakan hal tersebut. Langsung tidak memarahi anak-anak mereka yang melakukan kegiatan tidak bermoral di bulan yang mulia ini.

 

Adakah kerana mereka berpendapat bahawa anak-anak mereka masih kecil, jadi biarkanlah mereka bermain dan membuang masa. Meskipun di dalam madrasah Ramadhan??? Allahuakbar. Sayang sekali andai Ramadhan berlalu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya apatah lagi untuk anak-anak kecil ini yang baru mempelajari tentang Islam.

 

Kerana pepatah Melayu ada disebut, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

 

Saya hampir menangis pada setiap hari apabila budak-budak tersebut bermain mercun, membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman dan ketenangan Ramadhan berlarutan tanpa henti sehingga waktu qiyamullail. Solat tahajud yang saya dambakan dilaksanakan dalam suasana yang sunyi, tenang sebaliknya dicemari oleh bunyi mercun mereka.

 

“Pom!” “Pang!”

Bumbung rumahku lagi yang menjadi mangsa kekejaman bom mercun mereka.

 

Sedih.

Menangis bukan kerana pencemaran bunyi itu sahaja, tetapi kerana kasihan pada mereka kerana penghayatan Ramadhan tidak sampai ke hati mereka. Adakah kerana kehidupan mereka jauh dari Islam yang hakiki? Sedangkan Ramadhan merupakan medium untuk umat manusia menginjak ke arah yang lebih baik.

 

Sejenak berfikir.

Apakah erti Ramadhan bagi kanak-kanak ini? Adakah Ramadhan bagi mereka hanyalah bulan untuk berseronok kerana ibu dan ayah mereka di masjid untuk solat tarawih. Satu kebebasan bagi mereka. “Tiada siapa akan halang aku untuk merayau-rayau lagi.”

 

Begitukah??

 

Berfikir lagi. Kenapa sejak kecil lagi mereka sudah terdidik untuk tidak menghargai Ramadhan? Sedangkan mereka perlu dididik sejak kecil, agar mereka mengenali Allah dan Islam dengan baik.

 

Bagi diriku sendiri, pengalaman menyambut Ramadhan ketika kecil amat mendidikku untuk menghargai Ramadhan yang berikutnya. Setiap tahun kuberazam untuk peroleh Ramadhan yang lebih baik.

 

Saya ingin tekankan di sini. Seandainya ibu bapa sudah mendidik anak-anak untuk memanfaatkan bulan Ramadhan sejak kecil, sudah tentu Ramadhan menjadi sebuah madrasah yang sangat berkesan untuk mengajar anak-anak berakhlak dengan akhlak yang baik, taat ibu bapa, apatah lagi kepada Allah dan rasul.

 

Seperti kita semua sedia tahu, Ramadhan merupakan madrasah untuk mendidik jiwa, nafsu dan jasad untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Namun, sekiranya ketibaan Ramadhan dipersiakan, maka rugilah. Apatah lagi buat anak-anak kecil yang sedang bertatih mencintai Islam, agama yang suci.

 

Adik-adikku, Ramadhan bukan bulan persinggahan untuk menyambut Aidilfitri. Ramadhan bukan bulan untuk kamu mengganggu kawan-kawan, merayau-rayau tanpa tujuan dan bukan bulan untuk bermain mercun.

Ibu dan ayah, didiklah kami untuk memanfaatkan Ramadhan dengan sebaiknya….

Perkemaskan Matlamat Hidupmu

Standard

Matlamat hidup yang jelas akan memandu hidup manusia. Namun, matlamat tersebut haruslah tepat, benar dan mengikut syarak. Sebagai seorang muslim, apakah matlamat yang terbesar? Sudah tentu untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t. Redha Allah. Ya, sekali lagi redha Allah sahaja matlamat yang terbesar.

 

Jangan berputus asa…

Matlamat tersebut akan sentiasa memandu hidup kita. Setiap kali kita menemui kegagalan hidup, maka periksa kembali apa sebenarnya matlamat hidup kita seawalnya. Gagal dalam peperiksaan? Bukanlah bermakna hidup telah berakhir. Kerana matlamat hidup kita lebih besar daripada sebuah peperiksaan. Matlamat seorang muslim ialah untuk menggapai redha Allah.

 

Oleh itu, jangan berputus asa. Sebaliknya terus bangkit dan berjuang. Kerana untuk menggapai syurga, tiada istilah berputus asa dan mengalah. Gagal bermaksud Allah mahu kita ini menjadi lebih baik daripada semalam.

 

Allah telah berfirman di dalam surah Yusuf pada ayat ke 87, “… dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t.”

allah with me

Hidup ini ibarat roda. Adakalanya kita di atas, adakalanya kita di bawah. Saya tertarik dengan kata-kata Hilal Asyraf di dalam bukunya Langit Ilahi tentang orang yang bijak ialah yang apabila berada di bawah, dia akan segera berusaha untuk naik ke atas. Ya, tidak akan selamanya berada di bawah.

 

Syurga itu dikelilingi oleh kepayahan, kesengsaraan kerana yang menghuninya ialah manusia yang tabah dan sabar mentaati perintah Allah dan menghadapi kesulitan dengan penuh kesabaran dan tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah. =)

 

Janganlah gadaikan syurga yang indah hanya kerana kegagalan kita di dunia yang fana ini. Matlamat umat Islam lebih jauh dan besar. lihatlah betapa ramai yang mengambil jalan singkat seperti terjun bangunan, meminum racun dan sebagainya kerana gagal dalam kehidupan. Sedarilah bahawa matlamat kita lebih besar iaitu untuk menggarap syurga Ilahi.

 

Matlamat yang jelas iaitu untuk mencapai keredhaan Allah akan sentiasa pandu hidup manusia ke arah yang benar. Kerana matlamat tersebut, manusia mentaati perintah Allah. Manusia akan menjaga kehormatan dirinya. Manusia akan berbuat baik sesama manusia.

 

Hidup untuk berjuang

Kerana matlamat tersebut, seluruh umat Islam akan bangkit berjuang untuk Islam. Mereka akan mempunyai semangat juang yang tinggi. Sedarlah bahawa umat Islam terdahulu juga menghadapi kepayahan dan kesusahan untuk menegakkan Islam. Namun, kerana matlamat mereka sangat jelas, oleh itu mereka sedikitpun tidak gentar malah berani menegakkan kebenaran.

 

Tetapkan matlamat hidupmu. Mengapa hidup di atas dunia? Andai kata matlamat hidup anda masih belum jelas, perkemaskanlah. Katakanlah pada dirimu, “AKU HIDUP UNTUK ISLAM.” Sebutkannya berkali-kali. Pasti air mata yang bergelinangan. Kenapa? Kerana berat  untuk melakukannya. Oleh itu, baikilah hubungan dengan Allah agar roh untuk berjuang itu hadir ke dalam jiwa.

 

Sedangkan sudah terang lagi bersuluh kita ini dilahirkan sebagai orang Islam. Tetapi mengapa masih belum mahu hidup untuk Islam? Kerana sejak awal lagi kita tidak mempunyai matlamat yang benar dan tepat. Allahu Akbar…

 

Benar sahabat-sahabatku sekalian. Sukar sekali untuk menggadaikan diri untuk Islam kerana hidup kita ini sudah terlalu sibuk dengan kenikmatan dunia sehingga kita masih berkira-kira sama ada mahu berjuang atau tidak. Allah..Astaghfirullah…

 

Lihatlah apa  yang terjadi di abad ini, manusia kian lupa apa matlamat hidup di dunia ini. Mereka tidak jelas akan matlamat hidup yang sebenar lalu tersesat dari jalan yang sewajarnya. Kerana itulah, umat Islam kini seolah-oleh hilang roh Islam.

 

Ada yang terlibat dengan gejala sosial, leka dengan hiburan, terlibat dengan seks bebas, pembuangan bayi malah saling berbunuhan sesama sendiri. Boleh dikatakan sekarang ramai umat Islam yang tidak mengenali lagi Islam. Tiada lagi mempunyai matlamat yang jelas untuk Islam.

 

Namun begitu, adakah mereka yang mempunyai matlamat yang jelas perlu membiarkan hal ini terus menjadi parah dan tenat? Tidak. Sebaliknya berbuatlah sesuatu untuk menyelamatkan Islam itu sendiri. Matlamat tersebut bukan untuk diri sendiri semata-mata tetapi juga untuk manusia sejagat. Kerana Islam itu sendiri bersifat sewarjagat.

 

Astaghfirullah.. Kedengaran umat Islam kini kian parah. Bukan sahaja bumi semakin tenat, tetapi juga jasad-jasad yang tidak memiliki roh Islam yang memakmurkan bumi. Adakah mereka tiada matlamat yang jelas? Sedangkan matlamat seorang muslim tidak lain tidak bukan adalah untuk mencapai redha Allah s.w.t.

 

Kerana itu pentingnya miliki matlamat yang jelas, tepat dan benar. Tanpanya ibarat kehilangan kompas kehidupan dari Allah s.w.t. Hal ini kerana kita tidak tahu kepada apa kita patut jadikan sandaran. Sedangkan telah jelas iaitu kepada syariat yang diturunkan oleh Allah kepada rasulullah s.a.w.

 

Tanya pada dirimu, “Apa Matlamat Hidupku ?”

 

Saudara dan saudari sekalian, apa matlamat hidup kalian?

Sekiranya untuk mencapai redha Allah, maka tutuplah aurat, berbuat baiklah dan tinggalkanlah kejahatan.

Ayuh, perkemaskan lagi matlamat hidup kita yang sebenarnya. Kerana mereka yang berpegang teguh dengan tali Allah tidak akan tersesat dari jalan yang benar.

 

Allah s.w.t telah berfirman akan “ …..sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu barangsiapa yang engkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah memegang tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 256)

Wallahualam… ‘Ya Allah, bantulah kami semua dalam mentaati perintahMu dan hidup di dalam rahmatMu.. Aminn…”

Gabungan Mantap: Tsaqafah, Ukhuwah dan Tarbiah

Standard

Image

Baru-baru ini sahabat saya sengaja mengajak kami semua berdiskusi dan berfikir tentang antara ukhuwah dan tarbiah, yang mana satukah menjadi elemen penting kelangsungan seseorang dalam jalan dakwah.

Antara ukhuwah dan tarbiah, manakah lebih penting????

Lama juga saya berfikir tentang hal tersebut, akhirnya hari ini, setelah beberapa minggu saya membawa persoalan ini di minda yang berserabut ke sana sini, akhirnya saya temui jawapan. Tetapi jawapan itu mungkin tidak bakal menjawab persoalan itu secara keseluruhannya tetapi menjawab mengikut jawapan yang saya mahukan. Mungkin ia benar, mungkin juga salah.. Tetapi saya yakin, sedikit sebanyak ada kebenarannya.

Ukhuwah ialah sesuatu yang tersirat maknanya. Oleh itu, sejauh manakah kita faham yakni berkenaan dengan tsaqafah akan erti ukhuwah itu sendiri. Apakah cara berukhuwah yang sebenarnya dan apakah peranan ukhuwah terhadap kehidupan. Kenapa saya bertanya sebegini? Kerana ramai dalam kalangan kita berukhuwah tetapi ukhuwah itu hanya mendatangkan sedikit manfaat iaitu berukhuwah ketika waktu senang atau hanya untuk bersuka ria. Dengan kata lain hanya sebagai teman bermesra semata-mata.

Mungkin sesetengah daripada kita akan menafikan bahawa dia bukan berukhuwah di kala senang sahaja, tetapi di kala susah juga. Tetapi sejauh manakah di kala susah itu? Soalan ini saya ajukan kepada diri saya sendiri kerana bagi saya, saya belum melaksanakan ukhuwah itu dengan sebaiknya.

Ukhuwah memainkan peranan yang sangat penting di dalam memastikan kelangsungan sesebuah gerakan dakwah. Tanpa ukhuwah, sudah tentu tiadanya ikatan yang kukuh sesama Muslim. Oleh itu, bagaimanakah binaan yang kukuh dapat dihasilkan tanpa adanya ikatan yang kuat.

Image

Seringkali kita melafazkan bahawa ukhuwah itu mestilah atas dasar aqidah Islamiah. Tetapi sejauh manakah kita mengimplitasikan ukhuwah atas dasar aqidah tersebut di dalam perjuangan Islam. Sekiranya kita tiada kefahaman yang jelas tentang ukhuwah, jadi kita hanya berukhuwah kosong tanpa melaksanakan peranan ukhuwah tersebut dengan sebaiknya.

Sepanjang jalan dakwah ini, pastinya banyak dugaan dan cabaran baik dari segi luaran dan dalaman. Contohnya, dari segi luaran, sudah tentu pelbagai celaan, andaian dan fitnah adakalanya menimpa diri kita. Manakala dari aspek dalaman pula, kadangkala timbul sifat malas dan putus asa untuk meneruskan gerak kerja dakwah.

Oleh itu, peranan ukhuwah sangat penting untuk membangkitkan kembali semangat perjuangan kepada sahabat atau teman kita yang sedang jauh dari jalan dakwah. Malah, tidak semestinya menunggu sahabat kita itu tersisih dari dakwah barulah kita mahu memberi taujihad tetapi sebaliknya kerap kali mengulangi kepadanya setiap kali kita bersamanya.

Peranan ukhuwah bukan setakat berhenti di situ, malah lebih luas lagi. Secara umumnya mahu dikatakan di sini bahawa peranan ukhuwah itu sangat banyak dan tidak terhitung. Namun, pada pandangan saya ramai yang menyebut tentang kepentingan ukhuwah tetapi ramai yang tidak tahu akan peranan serta cara berukhuwah dengan betul. Peranan dan kepentingan, adakah dua perkara yang berbeza?

Peranan ialah tugas yang dimainkan oleh ukhuwah manakala kepentingan pula ialah keperluan ukhuwah dalam perjuangan Islam. Antara peranan dan kepentingan, saya rasa ramai yang akan memperkatakan tentang kepentingan dahulu. Tetapi hanya berhenti di situ dan tidak bersambung dengan menjalankan  peranan dan tanggungjawab ukhuwah tu sendiri.

Image

Semasa usrah pada malam itu, saya sempat menyalin beberapa peranan ukhuwah. Antaranya ialah memberi teguran, memberi kata-kata semangat dan saling membantu antara satu sama lain tidak kira di waktu susah atau senang.

Kemudian, apa pula kepentingan ukhuwah? Sebenarnya ukhuwah ini memberi manfaat dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Antaranya ialah ukhuwah yang mantap melahirkan sikap keterbukaan dan perkongsian.

Keterbukaan dan perkongsian ialah aspek yang sangat penting di dalam perjuangan Islam. Sifat keterbukaan penting untuk melahirkan pendapat dan memberi teguran serta sanggup menerima teguran. Tetapi apakah yang bakal terjadi sekiranya ukhuwah tidak bernilai, sudah tentu sifat ini tidak dapat wujud kerana tiada aspek kepercayaan dan kasih sayang antara satu sama lain.

Malah, ada seorang akhi ini berkata bahawa sekiranya seseorang itu berani menegur kelemahan diri kita atau dapat mengesan kelemahan diri kita, maka dia itu sebenarnya telah berjaya berukhuwah dengan kita dengan rapat sekali kerana dia berjaya melihat kelemahan diri kita. Kita juga harus terbuka dalam menyatakan ketidakpuasan hati untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kerana semua orang tidak mampu membaca isi hati kita sekiranya tidak diluahkan.

Kemudian, dari sudut perkongsian pula. Sebagai contoh, sanggup berkongsi masalah, hal ehwal semasa dengan sahabat-sahabat yang lain. Sekiranya tidak dikongsi dan dipendam, mungkin masalah besar yang bakal timbul di dalam sesuatu gerakan dakwah. Perkongsian tidak berlaku sekiranya ukhuwah yang terjalin itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya,.

Sekarang apa pula kepentingan ukhuwah dari sudut tarbiah? Saya rasa semua orang tidak mahu hidup berseorangan dalam keadaan tidak berteman. Semua orang juga sudah tentu mahu dirinya sentiasa diambil peduli, dihargai dan didengar segala masalahnya. Apatah lagi mereka yang berjuang di jalan dakwah. Kerana apa? Kerana mereka berada di jalan yang sukar yang tidak ramai orang mahu menempuhinya.

Oleh itu, ukhuwah tidak boleh diketepikan. Ukhuwah berserta peranannya tidak boleh diambil  mudah. Ada juga dari kalangan sahabat saya yang mengatakan bahawa tsaqafah yang perlu ditekankan sekarang ini. Ukhuwah tidak perlu… Tetapi persoalannya, apakah yang akan memberi kekuatan kepada seseorang untuk melaksanakan apa yang dia faham sekiranya tiada tarbiah. Manakala tarbiah dapat diperolehi dengan adanya ukhuwah sesama kita. Walaupun kita bersama-sama dengan sekelompok manusia yang sama juga dengan kita untuk berdakwah, tetapi tiada ikatan hati sesama kita, sudah tentu jalan itu menjadi semakin sukar.

Bahkan umat +roh = manusia + roh. Umat berserta roh sama seperti manusia dan roh. Manusia tanpa roh ialah manusia yang mati. Tetapi umat tanpa roh juga akan mati. Roh apakah yang dimaksudkan itu? Ia ialah Islam… Apakah kaitannya dengan ukhuwah tadi? Ukhuwah yang berkesan ialah ukhuwah yang saling menguatkankan atas dasar Islam dan menurut kefahaman Islam yang sebenar.

Antara ukhuwah dan tarbiah. Yang manakah yang lebih penting???

Ia bukan persoalan mana yang lebih penting sebaliknya ia saling berkait rapat antara satu sama lain.

Image

Tarbiah sangat penting untuk membantu kita untuk istiqamah. Oleh itu, tsaqafah, ukhuwah dan tarbiah bukanlah perkara yang harus dipisahkan. Tetapi sangat berkait rapat antara satu sama lain. Indahnya ukhuwah tatkala kita bersama. Indahnya jalan ini andai ukhuwah terbina antara kita ialah sebenar-benar ukhuwah iaitu seperti mana para sahabat dahulu berukhuwah.

Tingkatkan tsaqafah, tingkatkan kualiti ukhuwah, tingkatkan tarbiah… Inshaa Allah, mudah-mudahan kita tsabat dalam perjuangan Islam ini.

Karya yang Baik dari Hati yang Bersih

Standard

Sejak beberapa hari ini banyak idea yang hadir ke minda untuk dimuatkan ke dalam blog ini dan dikongsi dengan sahabat-sahabat. Tetapi setiap kali menaip, seolah-seolah tiada kekuatan atau ilham untuk melakukan sedemikian dan otak juga tidak mampu berfikir dengan baik untuk menghasilkan karya yang baik walaupun hakikatnya memang saya tidak pandai untuk menulis. Tetapi saya tetap perlu berusaha untuk menghasilkan perkongsian yang baik walaupun tiada kemahiran dan bakat.

 

Tetapi ada seorang sahabat saya mengatakan bahawa soal layak atau tidak itu bukanlah persoalan yang harus ditimbulkan. Katanya kita semua ada tanggungjawab yang sama iaitu menyampaikan Islam kepada yang tidak  tahu, oleh itu, lakukan sehabis baik untuk menyampaikan dakwah islamiah walau apa cara sekalipun kecuali yang bertentangan dengan syarak.

 

Ia seolah-olah ada sesuatu yang menjadi sekatan untuk saya mencurahkan idea untuk disampaikan. Idea itu ada tercatat di buku dan sentiasa tersemat di minda, tetapi sukar untuk diterjemahkan.

 

Setiap kali menaip pasti  banyak kali saya menekan butang ‘backspace’ dan ‘delete’ kerana merasakan ada kekurangan dari sudut penyampaian. Semakin saya di hadapan lap top ini, semakin saya tidak dapat menumpukan perhatian. Apa sebenarnya yang sedang berlaku pada diri saya ini?? Sudah beberapa hari saya berkeadaan begini iaitu sukar untuk menterjemahkan idea ke dalam penulisan.

 

Akhirnya hari ini saya peroleh jawapannya iaitu ia bukan berkenaan ada idea atau tidak tetapi ia tentang masalah hati ini yang tidak bersih dan gelap. Kerana itulah cahaya ilmu itu sukar meresap ke dalam jiwa. Astaghfirullah… Mungkin kerana sudah lama hati ini tidak dicuci dan dibasuh dengan tazkirah-tazkirah dan tarbiah. Dan yang paling membuatkan keadaan bertambah parah ialah diri ini tidak lekang dari melakukan dosa dan kelalaian dan tidak pula sedar untuk bermuhasabah diri. Hati yang tidak bersih itu menyukarkan saya untuk mendapatkan ilham.

 

Dari situ saya tersedar betapa pentingnya memiliki hati yang bersih dari tompok-tompok hitam iaitu dosa yang menggelapkan hati. Hati saya terlalu gelap sehingga tidak nampak akan hikmah di setiap kejadian dan peristiwa.

 

Hati yang bersih akan berkait juga dengan keimanan. Apabila hikmah itu sukar ditemui maka sukar untuk melahirkan keimanan di dalam hati kerana apa yang kita rasa dan alami seolah-olah sesuatu perkara yang biasa. Tidak melahirkan suatu impak keimanan yang besar di dalam diri kita. Ia seolah-seolah kita sedang menghadapi sesuatu hal tetapi tiada penghayatan yang dapat melahirkan keimanan.

 

Hati yang bersih mudah untuk mencari hikmah dari setiap kejadian. Dan hikmah membuatkan iman semakin bertambah. Lalu dengan iman yang mantap pula dapat melahirkan kecintaan kepada Allah s.w.t. Ia seperti satu kebaikan hati yang bersambung-sambung. Apabila yang utama itu iaitu hati itu tidak nampak hikmahnya, maka ia akan turut memberi kesan kepada seluruh kehidupan seorang muslim.

 

Saya terfikir bahawa ini baru sahaja saya mahu menulis sesuatu yang tidak seberapa di blog dan belum lagi mengulangkaji pelajaran. Sudah tentu masalah yang sama juga bakal dihadapi kerana cahaya ilmu itu tidak dapat meresap di dalam hati dengan mudah apabila hati terdapat kelalaian.

 

Hati yang resah dan gelisah ialah hati yang jauh dari mengingati Allah s.w.t. Oleh itu apakah ubat kepada hati yang resah dan gelisah ini adalah dengan meninggalkan segala larangan-Nya. Barulah hati lebih cerah untuk mengingati Allah s.w.t lalu menimbulkan ketenangan di dalam jiwa.

 

Ketenangan yang hadir itu memungkinkan semua perkara dapat kita lakukan dengan lebih mudah dan berhasil. Mengapa saya berkata sedemikian? Kerana saya merasai kepayahan itu ketika mahu menulis sesuatu untuk dikongsi di saat hati saya ini lalai kepada Allah s.w.t.

 

Saya dapati ia satu cabaran yang sangat berat kerana saya mahu menyampaikan sesuatu kebaikan kepada orang lain. Tetapi bagaimana pula sekiranya apa yang saya sampaikan itu tidak bertepatan dengan hati saya yang gersang dan tidak selari dengan tindakan saya yang sebenar. Saya sangat takut kerana saya tahu bahawa Allah s.w.t tidak suka akan manusia yang mengatakan sesuatu yang tidak dia lakukan iaitu pada ayat 2 dan 3 di dalam Surah As-Saff.

 

Mengapa juga saya mengatakan bahawa hati yang bersih itu penting? Ia kerana hati yang bersih memudahkan otak untuk berfikir secara berhikmah. Di dalam kehidupan seharian kita pasti banyak kali kita akan melakukan beberapa keputusan dan tindakan dengan berfikir terlebih dahulu. Tetapi sekiranya hati tidak bersih maka kita akan sukar untuk mendapat solusi yang baik bagi masalah yang timbul malah sukar untuk membuat keputusan walau seringkas mana pun hal tersebut.

 

Oleh itu, apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah bagi seseorang penulis bahkan sesiapa sahaja, bersihkanlah hati dari kelekaan dan kemaksiatan kerana itu semua hanya akan menggelapkan hati. Malah bukan itu sahaja, hati yang kotor tidak dapat melahirkan tindakan yang baik. Oleh itu mana mungkin seorang penulis mahu menyampaikan sesuatu kebaikan sekiranya dia sendiri tidak melaksanakan apa yang dia ingin sampaikan. Melainkan kemurkaan Allah yang bakal menimpa dirinya….

 

Kemudian, sehingga hari ini saya tahu bahawa hasil kerja saya ini tidak seberapa dan tidak baik. Kerana apa? Kerana hati saya masih wujud kelalaian kepada Allah s.w.t. Kerana itulah saya amat memerlukan para sahabat untuk menguatkan saya dan memberi nasihat di saat saya kecundang dari jalan keimanan..