Category Archives: cerpen

JODOH itu RAHSIA

Standard

Seperti kata-kata seorang alim, DUNIA seperti seorang musafir yang berkelana di sebuah padang pasir. Apabila terjumpa sepohon pokok, dia singgah berteduh di situ kemudian berlalu pergi. DUNIA hanya sementara.. Yang kekal ialah akhirat yang abadi.

Sambil memicit-micit kepalanya yang sakit, Hani gagahi juga untuk menelaah nota Microbiology di dalam makmal komputer pada petang itu. Di saat kawan-kawan sekelasnya khusyuk dengan agenda masing-masing, berfacebooking, mendengar muzik,dan sebagainya, Hani memilih untuk mengulangkaji pelajaran.

“Rahsia..”

Masih terngiang-ngiang lagi di telinganya akan kata-kata seorang kakak senior yang rapat dengannya. Hani cuba mengingati setiap bait kata-kata Kak Aisyah dengan teliti.

“ Jodoh ini rahsia Allah. Disebabkan ia rahsia, sebab itulah Allah ingin menguji kita sama ada kita menjadi orang yang sabar atau tidak, seorang yang menjaga hati atau tidak, seorang yang memelihara batas-batas pergaulan atau tidak. Allah mahu menguji sama ada kita ini menjadi seorang hamba yang fokus kepada ibadah kepada Allah atau kepada sesuatu yang tidak pasti yang bersifat keduniaan.”

“ Jodoh ini hanya Allah sahaja yang tahu. Daripada Hani membazir masa mengotorkan hati memikirkan lelaki yang belum tentu jodoh Hani, lebih baik Hani fokus kepada hubungan Hani dengan Allah s.w.t.”

“ Apabila jodoh Hani telah sampai, tanpa perancangan Hani, Allah sendiri yang akan aturkan. Jadi buat apa kalau Hani tahu perasaan seorang lelaki terhadap Hani sekalipun sedangkan Allah taala mungkin telah aturkan jodoh Hani 4 atau 5 tahun akan datang. Jadi tiada gunanya Hani mengetahui perasaan seorang lelaki kepada Hani pada waktu ini. Serahkan segalanya kepada Allah. Biar Allah yang aturkan.”

Nasihat yang paling menusuk jiwanya  dari Kak Aisyah ialah..

483231_407834762606863_801051659_n

“ Untuk tujuan apa Hani perlu tahu perasaan lelaki terhadap Hani sedangkan dia masih belum menjadi suami Hani. Kalau dia menyatakan perasaan dia terhadap Hani sekarang tetapi tempoh untuk berkahwin itu masih lambat maka Allah akan menarik sedikit nikmat cinta dan sayang itu dari Hani.”

“ Ianya ibarat apabila seseorang itu sudah memiliki seutas jam tangan. Tetapi suatu hari ketika dia keluar membeli belah di sebuah pusat membeli belah, dia terlihat satu jam tangan ini dan dia sangat berkenan pada jam tersebut lalu membelinya. Sedangkan dia sudah memiliki jam. Mengapa tidak bersabar dan terlalu mencintai habuan dunia sedangkan mana tahu Allah telah menyimpan seutas jam tangan yang lebih cantik di syurga nanti berkat kesabarannya yang tidak tamak dengan keindahan dunia.”

Hani mengangguk-ngangguk tanda setuju dengan nasihat Kak Aisyah. Baru dia sedar bahawa soal hati ini perlu diserahkan kepada Allah. Sekiranya kita sendiri yang menguruskan masalah hati ini, maka ia akan bercampur dengan hawa nafsu dan keinginan dunia yang sementara ini.

RAHSIA.

Mati juga RAHSIA. Mati itu sudah pasti. Mengapa tidak mempersiapkan diri untuk itu? Mengapa sibuk memikirkan soal jodoh yang belum pasti lagi ada di dunia ini atau di akhirat nanti sedangkan MATI itu pasti sekali akan tiba di dunia ini.

1menunggumu

“Kak Aisyah, saya tengok orang yang bercinta itu mesti akan selalu berhubung. Malah ada juga cinta Islamik. Bukankah apabila lelaki dan perempuan itu saling berhubung danbelum ada ikatan yang sah, ia tetap akan menganggu hati dan susah untuk menjaganya apatah lagi menjaga hubungan dengan Allah.”

“ Betullah tu… Akak juga tidak faham orang yang cinta Islamik ini. Sedangkan cinta yang halal itu hanya untuk suami kita nanti sahaja. “

“Lelaki yang Hani kenal ini dia langsung tidak menghubungi Hani, dia tidak mesej Hani atau berbincang dengan Hani. Tetapi dia pernah berjumpa dengan ibu dan ayah Hani dan menyatakan hasrat di hatinya.”

“ Betullah apa yang lelaki itu lakukan. Hani, Hani mahu ke menjadi seperti orang yang selalu berhubung itu? Yang tidak menjaga batas-batas syariat? “

Hani menggeleng..

“Walaupun dia dah datang berjumpa dengan ibu dan ayah Hani, dia tetap masih belum sah untuk Hani berhubung dengannya. Dan jodoh Hani dengannya masih lagi menjadi rahsia Allah. Barangkali dia bukan jodoh yang Hani harapkan. Sebaiknya sekali lagi Kak Aisyah mahu berpesan, Hani tumpukanlah pada hubungan Hani dengan Allah.”

“ Tambahan lagi, Allah dah berfirman bahawa perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan sebaliknya. Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Kalau Hani seorang perempuan yang solehah, tak kanlah Allah nak beri lelaki yang jahat pula untuk Hani. Sudah tentu lelaki yang baik juga. Oleh itu, Hani tidak perlu memeningkan kepala memikirkan soal jodoh. Apabila sampai waktunya, ia akan sampai dan Allah akan sampaikan seseorang yang sesuai dengan kita.”

Hani diam sahaja sambil mengiakan kata-kata Kak Aisyah.

“ Tapikan Kak Aisyah, ramai kawan-kawan Hani yang apabila dia menyukai seorang lelaki yang baik, dia terus mahu beriktiqad untuk jadi baik seperti lelaki dan mencontohi lelaki itu juga supaya layak bersama dengan lelaki tersebut sebab berdasarkan firman Allah bahawa kalau mahu memiliki lelaki yang soleh, perlu menjadi soleh dahulu..”

“ Betul. Mahu berubah menjadi baik itu memang bagus. Tetapi, niat itu yang salah kerana mahu berubah semata-mata kerana manusia. Kerana melihat lelaki itu sebagai idola dan memujanya kerana dia baik. Sedangkan Rasulullah yang merupakan lelaki yang paling baik akhlaknya yang telah berjuang untuk umatnya, kenapa tidak disanjungi dan dicontohi? Kenapa perlu mencontohi lelaki yang bukan muhrim yang sedikit sebanyak akan mengganggu hati kita. Sedangkan rasulullah ikon sepanjang zaman.”

“ Manusia mampu memilih. Tetapi mengapa tidak memilih yang terbaik? Yakni Rasulullah. Lainlah yang mahu kita contohi itu ialah suami kita sendiri. Apabila telah berkahwin nanti, suami kita seorang yang rajin membaca Al-Quran, maka tidak salah untuk kita menyanjungi dirinya dan mencontohi perbuatannya itu.”

Hani terkesima. Benar.

Rasulullah junjungan teragung yang sempurna akhlak dan ibadahnya. Kenapa kita tidak menjadikan rasulullah sebagai tauladan. Kenapa perlu kita jadikan lelaki yang bukan muhrim sebagai ikutan? Sedangkan kita tidak tahu syurga atau neraka bagi lelaki yang kita sanjungi itu sedangkan kita telah pasti bahawa Rasulullah adalah ahli syurga yang abadi.

Jagalah hati. In shaa Allah Allah akan temukan kita dengan seorang lelaki yang menjaga hati juga. Jagalah batas pergaulan. In shaa Allah Allah akan jodohkan kita dengan seorang lelaki yang menjaga pergaulannya dengan permpuan juga. Peliharalah hubungan dengan Allah. Mudah-mudahan Allah akan memelihara kehidupan kita di dunia.

http://bit.ly/1mjtYdk

Advertisements

Kerana Sayang

Standard

Angin petang yang sayu menerjah ke dalam biliknya. Menjengah ke pintu hatinya yang sedang mengaduh kesakitan kesedihan yang amat sukar ditafsirkan. Semenjak  pagi sehingga petang dia masih belum menjamah sedikitpun makanan. Selera makannya hilang kerana terlalu dihimpit rasa sedih. Beberapa kali air matanya mengalir ke pipinya pagi tadi.

Mujurlah purdah yang menutupi wajahnya menutup kesedihan di hatinya. Tetapi sesekali air matanya dikesat perlahan. Apabila ditanya mengapa, katanya kerana membuang habuk di mata. Alasan biasa yang sangat kuno.

Dia sendiri tidak faham kenapa hatinya terlalu dihimpit sesuatu rasa sedih yang mendalam. Bibirnya bisu seribu bahasa, fikirannnya kosong menerawang merata, hatinya berbaur pelbagai rasa. Dia sendiri tidak pasti.. Mengapa?

Pagi tadi Hani bersama-sama sahabatnya menghadiri temuduga untuk progam tahfiz. Ramai pelajar yang hadir ke program tersebut. Selepas mendengar taklimat daripada pihak pengurusan, Hani dan rakan sekumpulannya seramai 10 orang diberi masa 30 minit untuk menghafal surah Ghafir bermula dari ayat 17.

“Baiklah, lagi 30 minit saya akan panggil kamu semua untuk memperdengar bacaan. Mesti hafal lebih daripada satu muka surat ye. Kalau kurang, kami tidak akan menerima.”

Hani terkejut berbaur satu perasaan yang dia sendiri tidak faham. “Lebih dari satu muka surat dalam masa 30 minit?” Tetapi hatinya rasa kosong, fikirannya juga tidak tertumpu kepada hafalan. Sedangkan temuduga ini adalah temuduga yang dia tunggu-tunggukan. Tetapi mengapa apabila tiba hari yang dijanjikan itu, dia tidak memberi sepenuh komitmen terhadap hafalannya?

Nah. Hani gagal menghabiskan hafalannya. Hanya separuh daripada muka surat sahaja yang mampu dihafalnya. Dia sudah dapat mengagak bahawa dia adalah antara peserta temuduga yang tidak akan dipilih.

Usai sahaja keluar dari bilik temuduga tersebut, dia mengadu rasa hatinya kepada Hanisah, sahabat sejati yang selalu memahami dirinya. Mereka berjalan beriringan keluar dari bangunan itu.

“Hanisah, saya rasa sedih..”

“Kenapa Hani?” pujuk Hanisah sambil memegang bahu Hani.

“Hmmm…. Saya tak tahulah nak ceritakan bagaimana. Tak apalah, lain kali sahajalah.”

“Eh, janganlah macam tu. Hani, kalau awak ada masalah, lebih baik jangan dipendam. Takut memakan diri nanti.”

“Hmmm, tak apalah Hanisah, lain kali saya ceritakan ya.”

Hanisah mengalah dengan sahabatnya yang selalu memendamkan masalah. Akhirnya, Hani tetap tidak menceritakan apa-apa. Dia berharap agar hatinya dapat sembuh dengan sendirinya walaupun memakan masa yang lama.

Bagi Hani, sifatnya yang suka memendam itu lahir kerana dia seorang anak sulung. Sebagai anak yang paling tua, dia selalu mengalah dan berkorban untuk orang lain. Dia tidak suka melihat orang lain bersusah payah untuknya hatta untuk mendengar keluhan hatinya sekalipun. Dia tidak suka hal tersebut berlaku. Biarlah apa yang dia rasa, hanya dia dan Allah sahaja yang tahu.

Sebenarnya, Hani telah melakukan sesuatu keputusan yang sangat besar di dalam hidupnya iaitu menjauhkan diri daripada seseorang yang sangat dia sayangi dan kagumi demi kebaikan orang itu tersebut.

Sebagai seorang perempuan, hatinya kaya dengan kasih sayang, cinta dan penghargaan luar biasa terhadap orang yang disayanginya. Dengan segala kekurangan dirinya, dia merasakan dirinya terlalu kerdil dan tidak layak untuk bersama dengan orang yang dia sayang.

Pergi bukan bererti dia tidak sayang, atau tidak suka, tetapi kerana dia mahu berkorban untuk insan yang dikasihinya.

Kerana baginya, kekurangan yang ada pada dirinya itu hanya memberikan bebanan dan kesusahan kepada orang lain. Oleh itu, dia mengambil jalan pintas dengan pergi dari hidup seseorang dengan rasa yang sangat berat dan pilu kerana baginya itulah yang terbaik. Dia merasakan hadirnya dia dalam hidup seseorang hanya mengundang pelbagai masalah.

Kali ini dia mengambil keputusan untuk tidak mementingkan dirinya sendiri. Walaupun dia sedar bahawa keputusan yang dia buat itu sebenarnya memberikan seribu rasa penyesalan di dalam dirinya dan membuatkan dirinya diselubungi rasa sedih yang teramat sangat, tetapi dia lakukan jua demi seseorang yang sangat dia kagumi dan hormati.

Sebenarnya, sudah beberapa kali Hani menimbulkan masalah. Ianya semua dari kelemahan dirinya yang sendiri yang kurang ilmu, dan kurang kebergantungannya kepada Allah.

Petang itu Hani bercadang untuk keluar mengambil angin diluar. Sebelum itu, beberapa kali dia cuba menatap buku Microbiology dan Organic Chemistry. Namun, fikirannya merayau-rayau ke segenap sudut ruangan hatinya yang kesedihan. Dia tidak dapat menumpukan perhatian. Lebih baik dia keluar mengambil angin di tepi tasik berhadapan dengan kolej tempat tinggalnya sambil membawa buku untuk dibaca.

Tudungnya ditiup angin. Sambil duduk di atas kerusi bertentangan dengan tasik yang luas, mulutnya terkumat kamit memuji nama-nama Allah yang indah. Hatinya tersentuh dengan keindahan ciptaan Allah. Sedikit sebanyak mengubat hatinya yang sedang berkelana. Matanya menjengah ke tasik yang terbentang luas. Dia terfikir, Allah berkuasa mengaturkan segalanya.

Oleh itu, mengapa sukar sekali dia mahu bersabar. Sedangkan Allah tidak pernah memungkiri janjinya.

Dari kejauhan, kelihatan sahabatnya Siti berjalan seorang diri dalam keadaan sedikit kepenatan. Barangkali mungkin dia baru pulang dari kelas. Siti merenung tepat ke anak matanya. Mungkin kerana tidak mengenalinya kerana wajahnya terlindung disebalik niqab yang dipakainya.

“Hani ke ni?”

“Ye la.. Sayalah ni.” Sambil mengukir senyuman yang tersembunyi.

“Hehe.. Maaflah. Bukan tidak kenal. Tetapi hanya untuk mendapatkan kepastian.”

“Eh, tak apa..”

Setiap tutur kata Hani semuanya pendek-pendek. Seolah-olah ada sesuatu yang tersekat di kerongkong. Hani berbual panjang dengan Siti. Mereka bercakap tentang nikmat dan kurniaan Allah yang mesti disyukuri. Mereka juga turut membaca matsurat bersama-sama di bawah pondok yang bersebelahan dengan tasik.

Hati Hani semakin terubat apabila mengalunkan kalimah-kalimah zikir yang membuatkan hatinya kesejukan dalam kedamaian cinta dan kasih dari Tuhan Yang Esa. Dia berbisik pada dirinya sendiri, ” Hani, bersabarlah kerana pengorbanan ini pasti ada hikmahnya. Andai itu yang akan membuatkan dia bahagia, mengapa aku tidak redha. Itulah yang terbaik untuk dirinya meskipun hatiku rasa berat dan sedih.”