Seorang Ayah…..

Standard

“Apa yang abah cakap sekarang mungkin kamu semua belum lagi lalui. Tapi kamu semua akan sedar akan kebenaran kata-kata abah apabila tiba masanya nanti.”

 

Saya diam.

 

Di dalam hati,

 

“Abah, sebenarnya apa yang abah cakap dahulu, telah pun saya lalui sekarang. Terima kasih abah. Benar cakap abah.”

 

Satu lagi yang membuatkan saya sedar. Abah telah banyak berkorban. Dah 20 tahun. Tanpa jemu dan lelah. Demi mencari nafkah untuk keluarga. Para sahabat, sedarlah, bukan senang untuk bekerja keras untuk sepanjang hidup. Tetapi bagi seorang ayah, mereka sangat tabah. Mereka tidak pernah hirau penat dan lelah.

 

Subhanallah. Sudah tentu Allah akan mengganjari mereka dengan ganjaran yang sangat setimpal. Abah ana dan antum sudah tentunya. Mereka sangat tabah bukan?

 

Kebahagiaan mereka adalah apabila melihat isteri, anak-anak dan ahli keluarganya gembira dan hidup dalam keharmonian. Kerisauan kita adalah kerisauan mereka. Susah kita adalah susah mereka. Siang dan malam memikirkan tentang kita sahaja. berfikir tentang bagaimana untuk memberi kemudahan kepada kita dan memimpin kita semua ke arah yang diredhai oleh Allah.

 

Itulah seorang ayah. Mereka tidak pernah mengenal erti putus asa dan mengalah. Kerja keras di samping tidak pernah melupakan ibadah kepada Allah.

 

Itulah yang Allah anugerahkan kepada seorang lelaki. Besarnya amanah yang Allah tanggungkan ke atas bahu mereka. Besar juga semangat dan sifat tanggungjawab mereka demi kebahagiaan orang sekeliling. Demi amanah  yang dipertanggungjawabkan ke atas diri mereka dan bukan untuk kesenangan diri mereka sendiri.

 

Benar. Seorang ibu lebih kaya dengan kasih sayang. Tetapi kasih sayang seorang ayah disertai dengan pengorbanan sepanjang hayat. Malah amanah yang Allah beri kepada kaum yang bergelar ayah ini akan berlangsung hingga ke negeri akhirat. Merekalah yang akan menanggung sebahagian besar dari apa yang kita kerjakan.

 

Isteri tidak menutup aurat. Suaminyalah yang akan menanggung di akhirat nanti. Anak perempuan tidak menutup aurat. Ayahnyalah yang akan bersoal jawab dengan Allah s.w.t.

 

Kata-kata abah sungguh bermotivasi. Dia tidak pernah berbual kosong dengan anak-anaknya. Pasti akan tersirat seribu hikmah dan manfaat. Kerana katanya, dia takut andai dia tidak sampaikan apa yang dia tahu, Allah bakal mempersoalkan hal tersebut di akhirat kelak.

 

Betapa besar tanggungjawab tersebut. Tanggungjawab untuk menyampaikan dan menegur. Walaupun kadang-kadang saya dan adik-adik jemu dan mengantuk mendengar ceramah dan tazkirah dari abah. Tapi suatu hari, kami semua akan sedar dengan sendirinya bahawa kata-kata abah tempoh hari sangat bernilai untuk kami semua.

 

Saya tahu bukan mudah untuk menyampaikan sesuatu yang kita tahu. Kerana takut-takut apa yang disampaikan itu mungkin muak untuk didengar. Tapi abah tidak hiraukan semua itu. Abah tetap setia menyampaikan walaupun adakalanya saya dan adik-adik hanya mendiamkan diri. Seolah-olah abah sedang bercakap dengan tunggul kayu. Tetapi abah tidak peduli.

 

Kata abah, kehidupan yang sedang saya dan adik-adik lalui sekarang bukan lagi kehidupan yang sebenar. Kehidupan yang sebenar apabila telah masuk alam pekerjaan dan perkahwinan. Percayalah apa yang kita sedang lalui sekarang ini tidak seberapa. Ketika itulah iman dan ketaqwaan akan benar-benar teruji.

 

Baru petang tadi abah berpesan kepada kami semua agar menggunakan masa muda, sihat dan waktu lapang ini dengan sebaiknya. Inilah tanda syukur kepada Allah akan segala nikmat Allah kepada kita.bukan hanya tahu menyebut kata syukur semata-mata. Tanda syukur ialah menggunakan nikmat yang Allah kurniakan dengan sebaiknya.

 

Abah juga berpesan agar belajar dengan bersungguh-sungguh. Memanglah bukan peluang pekerjaan yang dijanjikan tetapi ilmu. Ilmu itu lebih penting.

 

Saya tahu permulaan hidup abah memimpin keluarga kami bukan mudah. Segalanya menjadi mudah kerana abah meletakkan kebergantungan dan kepercayaan serta keyakinan kepada Allah. Dengan pendapatan bulanan sangat sedikit. Sudah tentu sukar.

 

Saya teringat akan kisah abah kepada kami. Ketika itu saya masih kecil. Abah tidak sanggup apabila kami terpaksa menumpang di rumah orang ketika hujan lebat. Masa itu abah belum mampu membeli sebuah kereta. Hanya mampu menaiki motosikal untuk membawa saya dan emak ke mana-mana. Jadi abah terpaksa membeli sebuah kereta demi kesenangan kami bertiga ketika itu.

 

Kereta yang abah beli sangat buruk dan banyak kerosakan.Saya masih ingat walaupun samar-samar. Saya ingat lagi kereta itu berwarna putih berjenama Toyota. Pintunya hanya boleh dibuka dari luar. Abah beli kereta itu dengan harga RM3000 lebih.

 

Saya sangat kagum. Kerana kata abah. “Yang penting saya tidak berpanas dan berhujan.” Abah terpaksa. Terpaksa membeli kereta yang buruk dan rosak kerana abah masih belum mampu.

 

Suatu perkara lagi yang membuatkan saya tersentuh tentang abah ialah sawah yang diusahakan oleh abah. Abah berkata kepada kami semua, “Bendang yang abah usahakan itu demi kesenangan anak-anak abah. Abah mahu anak-anak abah belajar hingga ke menara gading. Abah betul-betul meletakkan usaha yang tinggi kerana berharap agar padi menjadi elok. Mudah-mudahan hasilnya dapat memberi manfaat.”

 

Abah langsung tidak menggunakan duit tersebut. Abah simpan. Demi keperluan anak-anaknya. Abah yang bekerja keras. Tapi saya dan adik-adik yang mendapat manfaat. Selebihnya abah beri zakat kepada orang yang lebih memerlukan daripada hasil penuaian padi itu.

 

Kerana itu abah berpesan kepada kami agar jangan mengeluh apabila ditimpa kesusahan. Abah berpesan supaya kami menggunakan akal dan ilmu di dada untuk menghadapi kepayahan hidup. Kerana abah sering berpesan berulang-ulang kali bahawa HIDUP INI BUKAN MUDAH.

 

Benar kata abah. Allah mahu menguji keimanan hamba-Nya. Jadi sentiasa berbaik sangkalah dengan Allah. Allah lebih tahu segala-galanya.

 

Kisah kita mungkin serupa. Sekiranya berbeza. Ayah kita semua tetap ayah yang terbaik. Cara mereka berjuang mungkin berbeza, tetapi percayalah ia tidak mudah. Pengorbanan mereka sangat besar dan tidak pernah jemu untuk berkorban.

 

Ayah antum, sudah tentu hebat belaka. Kalau tidak bagaimana antum mampu menjadi hebat sekarang. Bersyukurlah. Hargai mereka ketika mereka masih hidup dan sentiasa doakan mereka walaupun mereka telah meninggalkan kita.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s