Abah, Jangan Tinggalkan Saya

Standard

Keluarga saya bukanlah keluarga yang senang. Miskin? Bukan… Kaya? Bukan juga… Kata orang, cukup-cukup makan. Gaji abah setiap bulan sangat sedikit jika dibandingkan dengan gaji ayah sahabat-sahabat saya. Sekiranya digandakan 10 kali ganda gaji abah, barulah sama dengan gaji ayah dan ibu sahabat-sahabat saya.

Ibu saya pula tidak bekerja. Kami sekeluarga hanya bergantung kepada abah seorang sahaja untuk mendapatkan sesuap nasi dan mendapatkan tempat tinggal yang sempurna. Bunyinya seperti agak tragis, tetapi itulah hakikatnya…

Saya dan adik-adik seramai 5 orang dan semuanya masih bersekolah. Kadang-kadang orang sekeliling hairan bagaimana abah boleh memelihara kami dengan baik dengan gaji yang sedikit itu. Abah hanya tersenyum kerana kami tidak pernah rasa susah.

Saya teringat lagi dahulu ketika saya masih bersekolah rendah. Ketika itu gaji abah sebulanhanya RM300lebih. Saya sangat terkejut sehingga mengalir air mata apabila diberitahu emak betapa abah sangat sabar menerima gaji yang sedikit walaupun membuat kerja yang berat.

Wang saku saya pada katika itu pada mulanya hanya 30 sen sewaktu darjah satu. Ketika umur saya menginjak 12 tahun, wang saku yang saya bawa ke sekolah setiap hari ialah sebanyak RM1.20. Wah, semakin bertambah. Alhamdulillah…

Saya teringat akan kasut yang pelbagai ragam ketika sekolah rendah dahulu. Ada yang saya pakai sehingga berlubang di hujung, ada juga sehingga saya terpaksa memijak di belakang kasut sehingga reput kerana tidak muat lagi untuk dipakai dengan sempurna…=D

Kadang-kadang kasut yang dipakai itu sudah tidak boleh ditutup kerana terlalu ketat lalu terbuka sahajalah penutupnya. Penat saya setiap kali perlu menutup kembali kasut. Kadang-kadang sehingga tersungkur kerana ditolak oleh pelajar lelaki yang nakal…

Saya juga masih ingat akan baju dan kain yang singkat yang dipakai ketika sekolah rendah. Saya hanya mendiamkan diri. Padahal sudah berapa sentimeter saya menurunkan kain supaya tampak labuh sedikit. Biasalah budak-budak cepat membesar ketika sekolah.=D

Pernah suatu hari saya diejek oleh budak-budak lelaki yang sangat nakal. Mereka mengejek saya beramai-ramai kerana saya menunggang basikal buruk ke sekolah. Itupun basikal pembelian tok wan.

Dan suatu hari, saya menunggang basikal yang baru pemberian tok wan yang berwarna kuning dan sangat cantik. Kemudian ada seorang pelajar mengejek saya.

” Ceh… Dah pakai basikal baru pembelian Tok Man. Hahaha…” Mereka ketawakan saya beramai-ramai.

Sedihnya saya pada ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Saya menjerit kepada mereka sambil menggenggam tangan. Sangat marah ketika itu. Dalam hati ini saya menjerit  ” Apa masalah kamu kalau aku dah pakai basikal baru?”

“Biarlah! Aku tahulah keluarga aku miskin, tak mampu nak beli basikal yang lebih baik macam kamu semua ini. Asalkan aku belajar bersungguh-sungguh untuk balas jasa mak ayah aku!” Saya menengking mereka tanpa saya sedar bahawa saya telah menjadi HULK ketika itu. Habis basikal-basikal mereka saya terbalikkan…

Saya menangis di sepanjang perjalanan pulang dari sekolah pada hari itu. Saya tidak pernah rasa susah. Mengapa mereka rasa tidak puas hati…

Kawan-kawan abah selalu berkata sebegini pada abah,

“Macam mana hang boleh bela anak-anak hang dengan gaji macam tu? Kami ni yang gaji lebih daripada hang pun masih tak cukup lagi.”

Tok iaitu mak kepada abah juga tidak sanggup menerima wang dari abah.

Eh, tak payahlah bagi. Emak tak boleh nak terima. Anak-anak hang lagi memerlukan duit ini.”

Tok wan juga pernah berkata kepada saya,

“Wan ni yang tak perlu tanggung sesiapa pun belanja sehari RM50, apatah lagi abah hang. Dia nak kena sara hampa sekeluarga. Ingat senang ke dengan gaji sedikit macam tu. Sebab tu kena belajar rajin-rajin untuk balas jasa abah.”

Walaupun saya dan sahabat-sahabat saya berasal dari latar belakang keluarga yang berbeza, tetapi saya tidak pernah rasa kekurangan. Abah memenuhi keperluan kami sekeluarga dengan baik sekali.

Saya melihat abah. Abah. Abah sangat tabah berjuang untuk kami. Pagi, petang siang dan malam, tanpa mengira panas atau hujan, abah akan tetap pergi bekerja. Pilu hati saya setiap kali melihat abah pulang dengan keceriaan. Seolah-olah tidak pernah berasa susah dan jemu apatah lagi letih.

Sawah padi tempat saya bermain

Pulang dari tempat kerja, abah terus ke sawah padi untuk meneruskan kerja bersawah pula. Kadang-kadang abah pulang dari bendang dengan penuh keletihan. Kadang-kadang abah batuk berhari-hari kerana terhidu racun yang disembur pada padi. Setiap hari abah ke sawah… Dengan harapan agar padi berbuah dengan baik. Mudah-mudahan dapat menampung pembelajaan kami sekeluarga..

Kadang-kadang saya melihat abah sangat senang untuk tidur. Terbaringnya dia di atas lantai yang sejuk itu kerana keletihan yang dia sembunyikan membuatkan saya sebak. Saya cuba mengejutkan abah untuk tidur di tempat yang selesa, lalu abah bangun dengan keletihan dan mencapai cermin matanya yang sudah buruk dan rosak.

Sudah beberapa kali saya menasihati abah. “Abah, tukarlah spek mata baru. Dah pecah dah cermin tu. Nanti sakit pula mata.” Memang mata abah sakit kerana sudah beberapa minggu memakai cermin mata yang sudah pecah.

Jawab abah, katanya..”Abah tak sanggup nak guna duit untuk keperluan abah sendiri. Anak-anak abah lebih penting.”

Allahu Akbar… Kenapa abah jawab sedemikian. Adakah abah fikir, abah tidak penting bagi anak-anaknya? Sebak hati saya. Saya sangkan abah lebih daripada diri saya sendiri. Mana mungkin saya sanggup melihat abah sakit.

Adakalanya saya pilu apabila melihat keadaan rumah yang sudah retak di sana sini. Beberapa kali abah cuba menampal menggunakan simen, tetapi rekahan itu tetap juga terjadi, sehingga cahaya di luar melusur ke dalam. Pernah suatu hari ketika sedang membasuh pinggan, saya bertanyakan kepada emak.

“ Emak, rumah kita ini bakal robohkah? Mengapa semakin besar sahaja rekahan ini. Banyak pula itu.”

Saya bukan merungut, tetapi sekadar ingin tahu.

Emak menjawab , “Eh, tak adalah… in shaa Allah, rumah kita masih kukuh lagi.”

Suatu hari saya bersembang dengan emak sambil berbaring di sisi emak di atas katil. Saya bertanya kepada emak.

“Emak, siling ini tidak bakal robohkah? Kenapa saya melihat ia seolah-olah tidak kukuh?”

“ Eh kamu ini. Kukuh… In shaa Allah..Hai, mentang-mentanglah sedang mengadap siling, mulalah fikir yang bukan-bukan” Mak menjawab dengan sayu.. Tetapi masih mampu membuatkan saya ketawa.

Rumah saya tidak seperti rumah kalian semua yang lantainya dihiasi marmar yang cantik dan indah. Dinding rumah saya tidaklah sesempurna rumah kalian.

Tetapi kami sekeluarga tidak pernah rasa susah. Saya dan adik-adik tidak pernah merungut apatah lagi bertanyakan sedemikian rupa di hadapan abah. Saya tahu sekiranya abah mampu sudah tentu telah lama abah cuba baiki semuanya.

Sedangkan baju yang dipakainya hampir reput, adakah saya sanggup lagi menambah bebannya..

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Suatu malam saya berbicara dengan abah. Saya menceritakan kepada abah tentang seorang sahabat saya di universiti.

“ Abah tahu tak, kawan saya di universiti ada cakap pada saya yang dia dah tak ada semangat untuk belajar setelah pemergian ayahnya. Sebab selama ini dia belajar semata-mata kerana ingin membanggakan ayahnya sahaja.”

Abah membalas..

“Eh, janganlah macam itu. Belajar mestilah kerana Allah taala, dan bukan kerana sesiapa. Niat itu mestilah betul.”

Saya menjawab.

“Sebenarnya abah, anak perempuan ini, kekuatannya ada apabila dia ada seorang ayah. Walaupun ayah dia itu sakit atau tidak upaya untuk memberi nafkah, tetapi hakikatnya ayahnya tetap ketua keluarga. Kehilangan seorang ayah ibarat kehilangan tempat bergantung.”

“Samalah saya ni pun abah. Saya kuat menjalani kehidupan kerana saya sedar bahawa saya ada ayah yang sedang menyokong saya dari belakang. Itulah hakikat seorang anak perempuan. Ayahnya ibarat tulang belakangnya. Saya mendapat kekuatan untuk terus hidup kerana saya tahu saya ada ayah.”

Abah membalas. Kali ini saya melihat abah seperti menahan sesuatu. Barangkali menahan sebak di dada. Saya tahu mengapa abah sebak. Kerana abah telah berkorban jiwa dan raganya untuk saya dan adik-adik. Abah telah berikan segala-galanya demi melihat kejayaan anak-anaknya.

“Janganlah cakap macam tu. Abah ini tiada apa-apa. Abah hanya mahu melihat umat Islam kini berjaya.”

Kedengaran suara abah kian perlahan. Saya juga cuba sedaya upaya menahan air mata supaya tampak tabah di hadapan abah…

Abah, saya tak tahu apa yang akan terjadi kepada saya kalau abah pergi buat selama-lamanya. T_T

Advertisements

2 responses »

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s