Kini Kau Pergi….

Standard

Cerita ini diambil daripada sebuah kisah benar. Mungkin ini ialah kisahku sendiri atau mungkin juga kisah orang lain… Siapa dia? Kisah tentang siapakah ini? Biarlah rahsia. Ia satu kisah yang kukira, sangat berat bagi si dia yang menanggung walaupun bagi orang lain ia mungkin hanya suatu perkara yang remeh.

Saya namakan gadis ini sebagai Nur yang berumur 20 tahun

Dahulu di samping Nur ada seseorang yang selalu bersamanya. Nur mengenalinya sejak Tingkatan 2. Kehadiran seseorang itu seperti cahaya yang menyinari hidupnya yang membuatkan Nur sentiasa bersemangat untuk meneruskan kehidupan dengan penuh keceriaan. Segala masalah dan luahan hati sentiasa dikongsikan dengan dia itu.

Sehinggalah Nur berumur 20 tahun, kehadiran dia itu sentiasa membuatkan Nur tabah mengharungi kehidupan. Malah, Nur sentiasa berusaha untuk selalu dekat dengannya kerana kekuatan Nur ada bila dia ada. Nur seolah-olah tidak mampu untuk berjauhan dengan dia kerana sayangnya Nur padanya dan betapa pentingnya kehadiran dia dalam hidup Nur. Apa sahaja yang dirasai Nur dan apa sahaja yang Nur alami segalanya diceritakan kepada dia.

Bagi Nur, dialah nyawa dan segala-galanya bagi Nur.

Tetapi ketika Nur berada di saat yang paling sukar dan ketika Nur merasai sakit yang paling dahsyat, di saat itulah………

Dia pergi dari hidup Nur.

Selama 6 tahun, segala-galanya dikongsikan dengan dia. Siapa duga malah Nur sendiri tidak menyangka bahawa dia akan pergi dan tiada lagi di sisi Nur.

Mungkin,

buat selama-lamanya…

Kalau dahulu, setiap kali Nur sakit, pasti dia akan menemani Nur ke klinik. Kalau dahulu, setiap kali dia pergi ke mana-mana pasti ada sesuatu yang dihadiahkan untuk Nur. Setiap kali Nur dirundung masalah, pasti dia akan memberi kata-kata semangat pada Nur. Tetapi kini semua itu tidak akan bakal berulang lagi.

Setiap hari hidup Nur di temani oleh air mata. Tidurnya Nur pada setiap malam bukan kerana dia mengantuk, tetapi kerana dia keletihan menangis. Menangis kerana sakit dan juga menangis kerana kehilangan orang yang tersayang di saat Nur paling memerlukan dia. Nur selalu menyalahkan diri Nur sendiri. “ Ya Allah, mungkin ini ialah balasan kerana aku tidak pandai menghargai dirinya selama ini. Aku hanya tahu menyayanginya sahaja.”

Kerinduan Nur pada dia tidak pernah putus. Malah perit rasanya apabila Nur sedar bahawa dia tiada di samping Nur lagi.

Kadang-kadang sahabatnya perasan akan air mata yang bergenangan di mata Nur. Tetapi jawapan Nur tetap sama. “ Saya baik-baik sahajalah. Mungkin mengantuk sangat sampai mengalir air mata agaknya.”

Setiap hari Nur berdoa pada Allah, “ Ya Allah, kembalikanlah dia kepadaku semula pada suatu hari nanti agar aku dapat lebih menghargai dirinya. Dan kembalikanlah dia ketika aku mampu menjadi yang terbaik untuknya. Mungkin jua di syurga nanti.”

Walaupun hidup Nur setiap hari dihiasi dengan air mata, tetapi sebenarnya air mata itulah yang menjadi sumber kekuatan dirinya. Bagi Nur, hanya menangis ialah satu-satunya cara yang di mampu lakukan di samping berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t.

Daripada sini jelaslah Nur sukar menghadapi keadaan tersebut. Dia tidak mampu menyembunyikan rasa sedihnya kerana kehilangan orang yang tersayang di kala waktu Nur sangat memerlukan dia. Menangis. Itu sahaja cara Nur memendam perasaannya yang terdaya dia lakukan.

Nur ialah seorang yang kerap kali ditimpa sakit. Malah sejak kecil lagi sakit yang dia alami bersambung-sambung, tiada putus. Sihat dengan erti kata lain baginya ialah sakit. Kalau sesekali ditimpa sakit, sakitnya bukan kepalang dan sembarangan sekali. Sakitnya itu sukar ditanggung!

Adakalanya badan Nur sehingga menggeletar kerana menahan kesakitan yang teramat sangat.

Sehingga suatu saat dia tidak sanggup lagi menahan sakit yang tidak henti mengunjungi dirinya.

Tetapi dia hanya diamkan diri. Wajahnya sentiasa menunjukkan keceriaan. Dia selalu beritahu emaknya yang sentiasa risau akan dirinya. Tak apa mak. Paling teruk pun saya akan menangis. Lepas menangis saya akan baik.” Adakalanya Nur menangis teresak-esak menahan kesakitan.

Ibarat berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah ungkapan yang selayaknya ditujukan kepadanya.

“ Nur,sabarlah Nur. Allah sayangkan Nur. Sebab itulah Allah beri ujian ini. Soal duit, Nur tidak perlu risau. Mak dan abah akan buat sedaya upaya untuk sembuhkan Nur.” Emaknyalah yang selalu memujuk hatinya. Kadang-kadang Mak Cik Siti tidak sanggup lagi melihat Nur yang tidak pernah henti ditimpa ujian.

Kadang-kadang Nur dipulau dan dibenci oleh adiknya kerana emak dan abahnya sering beri tumpuan padanya. Nur sedih kerana adik-adiknya tidak cuba memahami dirinya yang tidak rela diberi ujian sebegitu. Pernah suatu pagi Nur terdengar perbualan adik-adiknya. “ Kak Nur ke hospital lagi? Buat apa pula? Asyik ke hospital saja. Tahu menyusahkan mak dan abah saja.” Nur terkedu mendengar kata-kata adiknya. Dalam hati Nur berbisik, “ Wahai adik-adikku, kalian fikir aku seronok sakit-sakit begini?” Air mata Nur mengalir deras.

Nur menganggap sakit itu ialah ujian untuknya. Nur tahu ada orang lain yang lebih menderita daripadanya. Walaupun kadang-kadang sakit yang dia rasai seolah-olah hampir menangkis keimanannya. Kerana kadang-kadang terdetik di hatinya, “ Ya Allah, ujian ini terlalu berat untuk aku tanggung. Mengapa Kau berikan ujian ini. Sesungguhnya aku tidak terdaya untuk menanggung.” Tetapi walaupun begitu Nur tetap tabah dan sabar walaupun dia kerap menangis.

Sehingga suatu saat, Allah mengujinya dengan memberi ujian kesakitan yang teramat sangat. Selama sebulan, Nur tidak dapat makan, minum, tidur dengan baik dan sempurna kerana sakit yang dia alami. Kerap kali dia, emak dan ayahnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Tetapi doktor masih sukar untuk mencari sebab kesakitannya itu. “ Nur, doktor pun tak tahulah kamu ini sakit apa.”Nur berputus asa. Malah Allah mengujinya juga ketika itu iaitu Nur kehilangan orang yang paling dia sayang di saat di sangat sakit.

“ Emak, kita tak payahlah ke hospital lagi. Nur dah penat. Nur dah redha.”

Abah Nur juga tidak sanggup melihat anaknya yang tidak pernah putus merasai sakit. Pada suatu malam ketika seusai solat Maghrib di masjid tiba-tiba abah Nur mendapat ilham daripada Allah. Abah Nur teringat akan sikap-sikap luar biasa yang ditunjukkan oleh Nur selama ini. Dan yang paling membuatkan abahnya yakin ialah apabila Nur menjadi seorang yang cepat mengamuk dan seperti dirasuk sesuatu.

Kemudian abah Nur cepat-cepat bergegas pulang dari masjid dan terus mendapatkan Nur yang sedang menangis menahan kesakitan di dalam bilik.

“ Abah rasa Nur bukan sakit yang biasa-biasa ini. Abah rasa Nur disihir atau mungkin juga ada nenek moyang keluarga kita yang ada saka. Tidak mengapa, abah akan cuba menghubungi ustaz yang membuat rawatan darul syifa”

Abah Nur mengenali Ustaz Zul yang mengajar kitab di masjid di kampung Nur. Di samping itu dia juga turut mengamalkan rawatan darul syifa. Jadi abah Nur meminta pertolongan daripada Ustaz Zul untuk merawat Nur kerana mana tahu kalau-kalau Nur benar-benar sakit yang disebabkan oleh gangguan makhluk halus.

Pada malam itu juga ustaz tersebut menghubungi abah Nur. “ Saya dapati ada gangguan jin padanya.” Nur terdengar perbualan abah dan emaknya ketika dia sedang solat hajat di dalam bilik. Belum sempat Nur habiskan solatnya, Nur segera bergegas pergi ke abah dan emaknya. “ Nur jangan takut ya. Kita usaha sahaja dulu ya.”

Nur mengeluh panjang.

Nur diminta untuk minum air yang telah dibacakan ayat-ayat rukyah. Nur minum air tersebut selama 3 hari berturut-turut.

Selepas 3 hari Nur minum air itu, suatu malam Nur tidak dapat tidur kerana ada makhluk yang sangat menggerunkan mengganggu tidurnya. Kelihatan wajah makhluk itu sangat menakutkan dan marah pada Nur. Sepanjang malam itu Nur tidak putus menerima gangguan. Pada keesokannya Nur bangun dari tidur dengan keletihan dan sambil menangis Nur menceritakan hal tersebut kepada emaknya. Dan pada malam itu juga emak dan abah Nur segera membawa Nur berjumpa dengan Ustaz Zul.

Selepas Nur dapat tahu bahawa Nur dirasuk jin selama ini, barulah Nur sedar mengapa Nur mudah menangis. Malah Nur juga sering melihat makhluk halus iaitu jin di dalam tidurnya. Pelbagai wajah dan bentuk yang menyeramkan yang hadir di dalam tidurnya. Selama ini juga Nur sering berbicara seorang diri seolah-olah ada sesuatu yang sedang bercakap dengannya dan mengajaknya berbual.

Selama ini Nur juga kurang keyakinan dan sentiasa bersangka buruk pada orang lain. Nur sentiasa menganggap bahawa semua orang membenci Nur. Kerana itulah Nur selalu bersikap pelik dan menjauhkan diri dari orang lain. Malah Nur juga bersifat panas baran tanpa sebab dan menangis tanpa sebab.

Nur juga turut membenci saudara maranya. Di samping itu, Nur juga selalu bercakap tanpa berfikir. Dia selalu menyalahkan orang lain tanpa sebab. Rupa-rupanya Nur mengalami keadaan sedemikian kerana dirasuk jin yang berada di dalam badannya.

Senang sahaja mulut menceritakan atau tangan menaip tentang tanda-tanda orang yang terkena gangguan jin ini, tetapi kita tidak tahu betapa sukarnya Nur menerima kekurangan dirinya yang disebabkan oleh jin yang berada di dalam badannya tanpa pengetahuannya.

Nur selalu menyalahkan dirinya. Nur tertekan dengan keadaan dirinya yang selalu panas baran dan Nur sedar kadang-kadang sifatnya seperti dikawal oleh sesuatu.

“ Mengapa aku ini teruk sangat? Mengapa aku mudah marah? Mengapa aku suka menyakitkan hati orang-orang sekelilingku? Mengapa aku banyak kelemahan? Mengapa aku tidak seperti orang lain?”

Kini Nur temui jawapannya dan berkat kesabarannya Allah memberikannya jalan keluar.

Selepas rawatan pada malam itu, Nur dapat merasai perbezaan pada badan dan sifatnya. Sakit yang Nur rasai semakin hari semakin pulih. Kalau dahulu Nur sentiasa sakit kepala tetapi kini Nur mampu mencelikkan matanya dengan tanpa perlu menahan kesakitan. Malah sakit yang sangat dahsyat itu juga turut beransur-ansur hilang.

Semasa rawatan pada malam itu Ustaz Zul memberitahu Nur dan keluarga bahawa Nur telah disihir oleh seseorang. Tetapi ustaz tidak mahu memberitahu siapa yang melakukan hal terlaknat itu kerana tidak mahu Nur dan keluarga ada sifat dendam.

Abah dan mak  Nur ada sedikit kemarahan pada orang yang sanggup membuat anak mereka sakit selama bertahun-tahun. Tetapi mak dan abah Nur redha kerana bagi mereka kesembuhan Nur lebih penting daripada mengambil tahu siapa yang bersifat keji dan jahat itu.

Perubahan demi perubahan dapat dilihat pada diri Nur.

Kalau dahulu Nur seorang yang selalu menangis, tetapi kini Nur seorang yang sangat ceria dan peramah. Ramai sahabatnya kini mudah rapat dengan Nur dan kehidupan Nur lebih ceria berbanding dahulu.

Selain itu juga Nur semakin sayang pada saudara-maranya. Nur semakin rapat dengan abahnya berbanding dahulu. Kalau dahulu Nur akan menjauhi abahnya walaupun abahnya banyak berkorban untuknya, tetapi sekarang Nur lebih rapat dengan abahnya. Berbanding dahulu pasti terbitnya perasaan benci pada abahnya, tetapi kini tiada lagi rasa itu. Malah Nur lebih menghargai abahnya.

Nur lega dan amat bersyukur kepada Allah.

Tetapi di saat Nur sudah kembali normal seperti orang lain, Nur mahu sangat dia itu mengenali dirinya semula sebagai orang yang sama tetapi lebih ceria dan sama seperti orang lain.  Tetapi Nur tahu mustahil untuknya kembali ke sisi Nur lagi.

Nur sedar dahulu Nur selalu menyakitkan hati dia. Nur tahu bahawa Nur banyak buat kesalahan yang sukar dimaafkan. Tetapi itu semua terjadi kerana ada sesuatu yang merasuk dirinya. Segala sifat yang menyakitkan hati itu bukan datang dari dirinya sendiri. Walaubagaimanapun, Nur tetap menyalahkan dirinya sendiri.

Walaupun langkah Nur kian berat, dan kesedihan itu menggugat jiwanya kerana orang yang dia sayang pergi dari sisinya, tetapi Nur yakin akan hikmah di sebalik semua yang berlaku.

“ Awak, walaupun awak telah pergi. Kasih sayang saya tidak akan pernah berubah dan putus. Saya minta maaf…” Itulah yang sering bermain di hatinya. Nur sedar bahawa Allah Maha Kuasa. Allah memberinya kesembuhan tetapi Allah mengambil orang yang dia sangat sayangi. Segala-galanya tidak mustahil bagi Allah s.w.t.

http://www.youtube.com/watch?v=bxGSjZx5UQ8

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s