Karya yang Baik dari Hati yang Bersih

Standard

Sejak beberapa hari ini banyak idea yang hadir ke minda untuk dimuatkan ke dalam blog ini dan dikongsi dengan sahabat-sahabat. Tetapi setiap kali menaip, seolah-seolah tiada kekuatan atau ilham untuk melakukan sedemikian dan otak juga tidak mampu berfikir dengan baik untuk menghasilkan karya yang baik walaupun hakikatnya memang saya tidak pandai untuk menulis. Tetapi saya tetap perlu berusaha untuk menghasilkan perkongsian yang baik walaupun tiada kemahiran dan bakat.

 

Tetapi ada seorang sahabat saya mengatakan bahawa soal layak atau tidak itu bukanlah persoalan yang harus ditimbulkan. Katanya kita semua ada tanggungjawab yang sama iaitu menyampaikan Islam kepada yang tidak  tahu, oleh itu, lakukan sehabis baik untuk menyampaikan dakwah islamiah walau apa cara sekalipun kecuali yang bertentangan dengan syarak.

 

Ia seolah-olah ada sesuatu yang menjadi sekatan untuk saya mencurahkan idea untuk disampaikan. Idea itu ada tercatat di buku dan sentiasa tersemat di minda, tetapi sukar untuk diterjemahkan.

 

Setiap kali menaip pasti  banyak kali saya menekan butang ‘backspace’ dan ‘delete’ kerana merasakan ada kekurangan dari sudut penyampaian. Semakin saya di hadapan lap top ini, semakin saya tidak dapat menumpukan perhatian. Apa sebenarnya yang sedang berlaku pada diri saya ini?? Sudah beberapa hari saya berkeadaan begini iaitu sukar untuk menterjemahkan idea ke dalam penulisan.

 

Akhirnya hari ini saya peroleh jawapannya iaitu ia bukan berkenaan ada idea atau tidak tetapi ia tentang masalah hati ini yang tidak bersih dan gelap. Kerana itulah cahaya ilmu itu sukar meresap ke dalam jiwa. Astaghfirullah… Mungkin kerana sudah lama hati ini tidak dicuci dan dibasuh dengan tazkirah-tazkirah dan tarbiah. Dan yang paling membuatkan keadaan bertambah parah ialah diri ini tidak lekang dari melakukan dosa dan kelalaian dan tidak pula sedar untuk bermuhasabah diri. Hati yang tidak bersih itu menyukarkan saya untuk mendapatkan ilham.

 

Dari situ saya tersedar betapa pentingnya memiliki hati yang bersih dari tompok-tompok hitam iaitu dosa yang menggelapkan hati. Hati saya terlalu gelap sehingga tidak nampak akan hikmah di setiap kejadian dan peristiwa.

 

Hati yang bersih akan berkait juga dengan keimanan. Apabila hikmah itu sukar ditemui maka sukar untuk melahirkan keimanan di dalam hati kerana apa yang kita rasa dan alami seolah-olah sesuatu perkara yang biasa. Tidak melahirkan suatu impak keimanan yang besar di dalam diri kita. Ia seolah-seolah kita sedang menghadapi sesuatu hal tetapi tiada penghayatan yang dapat melahirkan keimanan.

 

Hati yang bersih mudah untuk mencari hikmah dari setiap kejadian. Dan hikmah membuatkan iman semakin bertambah. Lalu dengan iman yang mantap pula dapat melahirkan kecintaan kepada Allah s.w.t. Ia seperti satu kebaikan hati yang bersambung-sambung. Apabila yang utama itu iaitu hati itu tidak nampak hikmahnya, maka ia akan turut memberi kesan kepada seluruh kehidupan seorang muslim.

 

Saya terfikir bahawa ini baru sahaja saya mahu menulis sesuatu yang tidak seberapa di blog dan belum lagi mengulangkaji pelajaran. Sudah tentu masalah yang sama juga bakal dihadapi kerana cahaya ilmu itu tidak dapat meresap di dalam hati dengan mudah apabila hati terdapat kelalaian.

 

Hati yang resah dan gelisah ialah hati yang jauh dari mengingati Allah s.w.t. Oleh itu apakah ubat kepada hati yang resah dan gelisah ini adalah dengan meninggalkan segala larangan-Nya. Barulah hati lebih cerah untuk mengingati Allah s.w.t lalu menimbulkan ketenangan di dalam jiwa.

 

Ketenangan yang hadir itu memungkinkan semua perkara dapat kita lakukan dengan lebih mudah dan berhasil. Mengapa saya berkata sedemikian? Kerana saya merasai kepayahan itu ketika mahu menulis sesuatu untuk dikongsi di saat hati saya ini lalai kepada Allah s.w.t.

 

Saya dapati ia satu cabaran yang sangat berat kerana saya mahu menyampaikan sesuatu kebaikan kepada orang lain. Tetapi bagaimana pula sekiranya apa yang saya sampaikan itu tidak bertepatan dengan hati saya yang gersang dan tidak selari dengan tindakan saya yang sebenar. Saya sangat takut kerana saya tahu bahawa Allah s.w.t tidak suka akan manusia yang mengatakan sesuatu yang tidak dia lakukan iaitu pada ayat 2 dan 3 di dalam Surah As-Saff.

 

Mengapa juga saya mengatakan bahawa hati yang bersih itu penting? Ia kerana hati yang bersih memudahkan otak untuk berfikir secara berhikmah. Di dalam kehidupan seharian kita pasti banyak kali kita akan melakukan beberapa keputusan dan tindakan dengan berfikir terlebih dahulu. Tetapi sekiranya hati tidak bersih maka kita akan sukar untuk mendapat solusi yang baik bagi masalah yang timbul malah sukar untuk membuat keputusan walau seringkas mana pun hal tersebut.

 

Oleh itu, apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah bagi seseorang penulis bahkan sesiapa sahaja, bersihkanlah hati dari kelekaan dan kemaksiatan kerana itu semua hanya akan menggelapkan hati. Malah bukan itu sahaja, hati yang kotor tidak dapat melahirkan tindakan yang baik. Oleh itu mana mungkin seorang penulis mahu menyampaikan sesuatu kebaikan sekiranya dia sendiri tidak melaksanakan apa yang dia ingin sampaikan. Melainkan kemurkaan Allah yang bakal menimpa dirinya….

 

Kemudian, sehingga hari ini saya tahu bahawa hasil kerja saya ini tidak seberapa dan tidak baik. Kerana apa? Kerana hati saya masih wujud kelalaian kepada Allah s.w.t. Kerana itulah saya amat memerlukan para sahabat untuk menguatkan saya dan memberi nasihat di saat saya kecundang dari jalan keimanan..

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s