Adakah CGPA Menjadi Kayu Ukur Sebuah Kejayaan???

Standard

Sekarang ini ialah fasa pelajar-pelajar universiti di mana saya belajar mendapat hasil keputusan peperiksaan pertengahan mereka yang lepas. Pelbagai reaksi yang dapat kita lihat, perhatikan atau kita sendiri yang mengalaminya. Sedih, gembira, menangis, ketawa dan pelbagai lagi telatah pelajar yang dapat kita lihat. Ada yang melompat kegembiraan, dan tidak kurang juga yang hanya mampu meratapi markah yang kurang memberangsangkan.

 

Malah yang paling saya tidak dapat terima adalah apabila ada yang berhasrat untuk meninggalkan kerja-kerja dakwah gara-gara keputusan peperiksaan yang menghampakan. “Lepas ini saya tidak mahu lagi terlibat dengan amal Islami. Saya nak tumpukan pada pembelajaran sahaja.”

 

Saya amat terkejut apabila mendengar berita ini daripada seorang sahabat yang sangat rapat. Katanya ada beberapa orang teman yang lain yang telah hilang semangat untuk berdakwah dan hilang keyakinan pada kerja-kerja jamaie. Semuanya kerana terlalu hampa dengan keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan.

 

Sambil membasuh baju petang tadi, saya berfikir tentang mengapa boleh terjadi sedemikian rupa. Adakah kerana kita telah merubah niat belajar semata-mata untuk peperiksaan semata-semata? Dan bukannya kita benar-benar ingin mendapatkan ilmu itu sendiri. Adakah kalian faham maksud saya? Maksud saya ialah adakah kerana kita ini menjadi hamba kepada kuiz, peperiksaan dan presentation yang memerlukan kita untuk mendapatkan markah yang tinggi? Atau menjadi hamba Allah yang sebenarnya?

 

Kalau tidak? Mengapa perlu berfikir sebegitu iaitu mahu menjauhkan diri daripada kelompok Islam? Sedangkan kita ialah hamba Allah s.w.t yang terletak pada bahu kita ini ialah kewajipan untuk menyampaikan dakwah islamiah dan matlamat paling tinggi umat Islam kini ialah untuk menegakkan kembali khilafah Islamiah. Tetapi saya ulangi sekali lagi, kita ialah hamba Allah. Oleh itu ia bermakna menuntut ilmu juga ialah satu kewajipan bagi umat Islam.

 

Ya, menuntut ilmu juga ialah satu kewajipan bagi umat Islam dan ianya tidak pernah mengira peringkat umur. Menuntut ilmu tidak hanya wajib kepada pelajar universiti sahaja atau kepada pelajar sekolah menengah dan rendah sahaja, tetapi kepada semua umat Islam.

 

Tetapi niat kita sekarang ini yang telah banyak berubah iaitu kita telah meletakkan kewajipan itu bukan pada menuntut ilmu, tetapi kewajipan untuk mendapat pointer yang baik atau kewajipan untuk peroleh CGPA yang mantap. Kita semua belajar hanyalah semata-mata kerana mahu mendapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan. Adakah kewajipan menuntut ilmu itu hanyalah untuk kita melepasi pointer semata-mata? Sedangkan kewajipan menuntut ilmu itu dituntut ke atas diri kita adalah untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat untuk diamalkan. Bukan hanya dipersembahkan di atas kertas peperiksaan!

 

Sekiranya kita belajar hanya untuk kuiz atau untuk peperiksaan, ia hanya akan berakhir di situ. Tidak percaya? Lihatlah keadaan diri anda selepas tamat kuiz atau peperiksaan. Seolah-olah telah berakhir segala bebanan yang harus dipikul. Seolah-olah dunia ini kita yang punya. Seronoknya bukan kepalang. Sekiranya sebelum ini waktu yang ada hanya dihabiskan untuk mengulangkaji, tetapi setelah peperiksaan berakhir, buku juga telah hilang tidak tahu ke mana. Ini bermakna matlamat kita belajar hanya untuk itu sahaja. Malah tidak kurang juga yang apabila waktu peperiksaan kian menghampiri, barulah sibuk mencari buku untuk dibaca. Ini menunjukkan bahawa matlamat belajar ialah hanya untuk menduduki peperiksaan.

 

Oleh itu, janganlah kita menjadikan kuiz atau peperiksaan itu sebagai sebab utama mengapa kita belajar sekarang ini. Sebaliknya tukarkanlah niat itu kepada kerana benar-benar mahu menjadi seorang penuntut yang mahu mentaati perintah Allah s.w.t iaitu kewajipan menuntut ilmu.

 

Apabila kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu ilmu tersebut dan bukan kerana peperiksaan sebaliknya kerana Allah s.w.t dan mengulangkaji bersungguh-sungguh maka kita tidak akan pernah berputus asa dengan keputusan peperiksaan kita itu. Mengapa? Kerana peperiksaan bukan matlamat sebenar kita. Matlamat kita ialah mahu menguasai ilmu tersebut. Andai keputusan tidak memuaskan, maka kajilah lagi ilmu itu kerana itu bermakna banyak lagi yang belum kita terokai.

 

Saya tidak menafikan, keadaan sekarang benar-benar mendesak kita untuk bersaing untuk mendapatkan pointer yang tinggi, mendapat markah yang terbaik dan mendapat pekerjaan yang terbaik. Tetapi jangan jadikan semua itu sebagai matlamat dan sebab utama. Yang paling utama sekali ialah penguasaan terhadap ilmu.

 

Sebagai orang Islam, tujuan kita menuntut ilmu bukanlah kerana untuk menduduki peperiksaan tetapi adalah untuk kebaikan ummah. Lihatlah para cendekiawan Islam terdahulu, mereka menuntut ilmu, mengkaji dengan bersungguh-sungguh bukanlah untuk manfaat mereka sendiri tetapi kerana Islam itu sendiri. Tetapi kita sekarang ini, kita belajar semata-mata untuk kesenangan kita di masa hadapan.

 

Tetapi saya juga ingin menegaskan bahawa tujuan kita menuntut ilmu dan keperluan untuk peroleh CGPA yang baik seterusnya mendapat pekerjaan yang baik juga dituntut oleh Islam kerana untuk memberi manfaat kepada Islam juga. Seterusnya akan lahirlah para ilmuwan dan pemikir yang hebat dari kalangan umat Islam mengatasi orang yang bukan Islam. Oleh itu, belajarlah untuk mengusai ilmu yang sedang kita pelajari sekarang dan bukan kerana peperiksaan.

 

Tetapi sekiranya tujuan belajar kita itu hanya untuk peperiksaan lalu kita mendapatkan keputusan yang baik, maka ilmu yang kita dapat hanya sekadar itu. Kerana semasa kita belajar, tidak disertai dengan roh belajar dan semangat belajar untuk mengkaji dan mendalami ilmu tersebut. Kita hanya belajar apa yang termaktub di dalam buku teks sahaja dan apa yang menjadi silibus sahaja kerana mahu memenuhi kehendak peperiksaan.

 

Oleh kerana niat dan tujuan kita telah berubah iaitu bukan kerana mahu mendalami ilmu itu sendiri, sebab itulah kita cepat berputus asa dan mengeluh kerana kita meletakkan kayu ukur kejayaan kita pada pointer dan CGPA semata-mata.

 

Oleh itu, marilah kita menjadi hamba Allah s.w.t yang benar-benar meletakkan kebergantungan kepada Allah. Saya juga tidak terkecuali dalam diuji oleh Allah untuk mendapat markah yang kurang memuaskan di dalam peperiksaan yang lalu. Tetapi saya tidak kecewa kerana saya telah berusaha sehabis baik. Keputusan itu telah menjadi kehendak dari Allah buat saya yang kerdil ini.

 

Saya percaya bahawa andai kita yakin akan ketentuan Allah ini, maka Allah akan gantikan kesabaran dan keyakinan ini dengan sesuatu yang lebih diberkati oleh-Nya. Kita merasakan mendapat markah yang terbaik itu adalah yang terbaik, tetapi sebenarnya baik atau tidak itu hanya Allah sahaja yang tahu.

 

Kepada sahabat-sahabat saya yang berasa kecewa dan sedih dengan keputusan peperiksaan kalian, bersabarlah wahai teman. Allah sedang menguji kita. Saya tahu ada ibu dan ayah yang sedang meletakkan pengharapan yang tinggi pada kita semua. Oleh itu jangan persiakan harapan itu dan usahakan sebaik mungkin.

 

Tetapi bukan usaha sebaik mungkin untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan, tetapi usaha bersungguh-sungguh untuk peroleh dan kuasai ilmu yang sedang kita pelajari sekarang. Apabila kita berusaha sedemikian rupa, bukan sahaja lulus malah lebih dari itu. Inshaa Allah…

 

Kerana itu yang sebenarnya ibu dan ayah kita mahu. Iaitu menjadi seorang anak, dan seorang Islam yang berilmu. Saya percaya memang susah untuk bangkit setelah jatuh. Tetapi percayalah bahawa Allah sentiasa bersama kalian semua. Saya juga tidak terkecuali wahai sahabat sekalian. Letakkanlah kebergantungan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

Wallahualam…

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s