Bersabarlah Wahai Penuntut Ilmu

Standard

Teringat dahulu ketika zaman tadika.

Zaman ketika kita baru bermula belajar mengenal huruf abc, mengenal satu dua dan tiga. Belajar membuat bulatan dan garisan. Ada garisan pintal-pintal, garisan bulat-bulat, bengkang-bengkok dan sebagainya. Subhanallah. Teringat akan diri kita yang comel dan kecil, tapi sangat tabah dalam menuntut sesuatu yang baru. Sehinggalah kita mula belajar membaca, menulis dan mengira. daripada proses mengenal kemudian sedikit demi sedikit kita belajar dan terus belajar sehingga mampu menyatukan huruf-huruf menjadi perkataan lalu menjadi ayat yang lengkap. Proses itu berlaku berulang-ulang kali. Membaca, menulis, dan mengira berlangsung tanpa henti. Kita tidak pernah merungut seperti sekarang ini.

Hebatnya kita suatu masa dahulu!

Tetapi mengapa kini kita cepat berputus asa? Mengapa kini kita takut dan lemah dalam menempuh kegagalan. Ingatkah kita dahulu ketika saat mula memegang pensel. Adakah di awal permulaan itu kita sudah mampu menulis dengan sempurna? Tidak sama sekali!

Hari ini, apabila kita mula belajar sesuatu yang baru, kita mula merungut tidak faham dan mudah mengalah dalam menuntut ilmu. Sedangkan dahulu kita adalah seorang penuntut yang tidak mengenal erti payah walaupun baru mula belajar memegang sebatang pensil.

Seperti yang kita semua telah maklum, jalan menuntut ilmu ini ialah satu jalan JIHAD. Subhanallah. Oleh itu adakah jalan jihad itu mudah dan adakah seorang mujahid itu hanya berjuang dengan senang lenang? Sedangkan dia haruslah melawan nafsu untuk pergi berperang. Kalah atau menang belum tahu lagi kesudahannya. Jadi mengapa mengeluh apabila jalan menuntut itu tidak semudah yang disangka?

Maka BERSABARLAH wahai teman dan jua diri saya sendiri. Jalan menuntut itu bukan ringan. Ia seolah-olah sedang berperang berjihad di jalan Allah s.w.t. Untuk menggarap sesuatu ilmu bukanlah mudah. Kerana ilmu itu ialah cahaya. Ilmu itu dari Allah s.w.t.

Sebenarnya yang ingin saya kongsikan di sini ialah langkah-langkah dalam mendapatkan sesuatu ilmu terutamanya yang sedang saya terokai sekarang iaitu Biologi. Bagi saya subjek Biologi ialah subjek yang sangat kritikal. Apatah lagi budaya persaingan memaksa diri saya untuk turut bersaing. Sedangkan persaingan yang sihat itu tidak pernah wujud. Seperti kata seorang sahabat saya, persaingan hanya menyebabkan kita semua hilang akan roh belajar. Bermaksud, kita hanya belajar untuk mengejar pointer yang tinggi, bukan kerana minat belajar. Memang ada benarnya.

Oleh kerana Farmasi ialah jurusan yang saya ambil  sekarang, maka subjek Biologi ialah subjek yang wajib untuk dipelajari. Malah kewajipan untuk skor pointer yang tinggi amat menyeksa jiwa saya kerana perlu bermujahadah bersungguh-sungguh untuk ikhlaskan niat belajar kerana Allah taala sahaja. Dan untuk pengetahuan semua, bagi saya Biologi ialah subjek yang membunuh tetapi tidak sekejam Matematik kerana saya sangat alergik dengan Matematik! Wah, dari dulu sehingga kini, mengapa Matematik paling kurang diminati oleh saya sendiri? Tetapi hakikatnya semua ilmu juga perlu dicintai. Oh, tidak baik bias pada sesuatu subjek atau ilmu sahaja. Tetapi jika ditanyakan tentang perakaunan, perdaganga, perundangan dan terutama sekali bahasa Arab atau lain-lain bidang, sudah tentu saya tidak tahu bagaimana caranya anda belajar. Lain orang, bukankah lain caranya? Tetapi mungkin sama sahaja atau lebih kurang sahaja caranya. Oleh itu, jom sama-sama kita berkongsi.

…………………………………………………….

Pertama sekali ialah apabila kita mula untuk mengulangkaji mulakanlah dengan pembacaan hanya sekadar untuk imbasan minda. Buka dari satu muka surat ke muka surat yang lain dan lihat akan tajuk utama bagi setiap topik. Ini bermakna kita sedang mendapatkan gambaran kasar tentang ilmu yang bakal kita perdalami.

Kemudian, bersambung pula dengan proses penelitian. Telitikan pada istilah-istilah dan ayat-ayat yang tertulis kemudian cuba untuk fahamkan dengan lebih mendalam.Pada ketika itu mungkin pemahaman masih kabur. Tapi usahakan juga untuk memahami setiap isi ayat. Jangan mudah berputus asa.

Inshaa Allah, kita belajar bukanlah untuk menduduki peperiksaan walaupun keadaan memaksa kita untuk belajar begitu. Tetapi hakikatnya kita belajar untuk mendapatkan ilmu. Sifat cinta akan ilmu itu telah hilang kerana kita semua sibuk bersaing untuk mengejar pointer, A+ dan karier. Sebenarnya saya bukanlah seorang yang suka bersaing, tetapi keadaan apabila semua orang sibuk bersaing, maka secara automatik kita juga turut menjadi mangsa persaingan. Kalau tidak, kata orang, kita akan ketinggalan di belakang.

Selepas itu, sambil meneliti sambil itu tangan juga turut mencatat. Jadi apa gunanya skil belajar memegang pensel dahulu sekiranya tidak digunakan? (Hanya bergurau). Ketika ini, mana-mana bahagian yang lebih jelas akan lebih terlihat dan faham kerana sambil melihat, otak turut merakam. Dan yang ditulis itu selalunya lebih mudah untuk diingati.

Dan jangan lupa juga untuk merujuk beberapa bentuk bahan bacaan lain seperti rajah, gambar atau jadual. Ini hanyalah sekadar beberapa contoh bahan rujukan. Masih terdapat beberapa lagi contoh bahan bacaan yang lain. Di sini kita juga harus teruskan dengan proses penelitian. Jangan hanya melihat rajah dan gambar tersebut tanpa berfikir. Dan juga ambil masa untuk menghayati rajah tersebut terutama sekali apabila berkaitan dengan sesuatu proses.

Selain itu juga, sekiranya penerangan ada di satu buku dan rajah di satu buku yang lain, oleh itu bukakan kedua-duanya. Sambil membaca dan meneliti untuk memahami, mata juga turut rujuk pada rajah di buku lain tersebut. Dari itu, cuba samakan apa yang dibaca dengan gambar tersebut.  Sebagai contoh, proses pembiakan phylum Bryophyta. Jika tidak merujuk pada rajah, kita tidak mungkin akan mendapat gambaran apa yang sedang diterangkan oleh buku.

bryophyte

Kemudian, buatlah beberapa jadual untuk membuat perbandingan sekiranya beberapa jenis benda atau apa-apa sahaja yang berbeza berada di bawah satu lapangan yang sama. Contohnya, Kingdom Fungi. Di bawahnya terdiri daripada tiga jenis phylum iaitu Zygomycota, Ascomycota dan Basidiomycota. Ini hanyalah sekadar contoh. Kerana phylum-phylum ini memiliki sifat yang hampir sama tetapi terdapat beberapa perbezaan.

Kemudian, boleh juga dipelbagaikan lagi cara mendapatkan sesuatu ilmu itu iaitu dengan menterjemahkan sendiri apa yang dibaca ke dalam bentuk lukisan atau peta minda. Tetapi langkah ini selalunya rajin dilakukan oleh pelajar perempuan. Ini yang saya dengar daripada pengakuan dari pelajar lelaki sendiri. Benarkah? Saya juga kurang pasti.

Kadang-kadang kita berasa leceh untuk membuat jadual, peta minda, melukis dan sebagainya. Tetapi saya fikir ini adalah proses untuk kita memahamkan sesuatu ilmu. Ilmu itu bukan hanya diperoleh secara membaca sahaja tetapi mesti disertai dengan usaha-usaha yang boleh membantu diri kita untuk mengingat dan faham.

Membaca pula saya bahagikan kepada dua. Yang pertama ialah pembacaan yang kosong dan yang kedua ialah pembacaan yang bermakna. Pembacaan yang kosong ialah pembacaan tanpa kehadiran hati dan fikiran. Erti kata lain adalah membaca tanpa berfikir dengan kritis. Manakala pembacaan yang bermakna adalah yang disertai dengan usaha berfikir.

Kemudian, saya juga merasakan bahawa melihat atau review kembali apa yang telah diulangkaji itu tersangat penting. Lihat kembali dari muka surat awal yang telah kita ulangkaji, dan cuba imbas kembali apa yang kita faham.

Ini semua hanyalah proses kita belajar. Kita tidak boleh menganggap bahawa, wah! Sekali baca sudah boleh ingat. Tidak… Ia amat memerlukan pengulangan untuk beberapa kali. Kadang-kadang kita menganggap bahawa pembacaan pertama kita pasti akan membuahkan kefahaman. Sebenarnya, proses pembelajaran itu sangat panjang. Bukan sekali baca sudah faham dengan yakin. Rasanya sukar sekali. Selain itu, memperbaharui kefahaman juga penting di dalam proses menuntut ilmu.

Teliti itu sangat penting. Percayalah semakin kita meneliti sesuatu ilmu, maka hati menjadi semakin lapang kerana banyak ilmu yang meresap ke dalam jiwa. Inshaa Allah. Ini hanyalah sekadar perkongsian yang terkandung banyak kekurangan. Sekiranya ada lagi tips-tips yang ingin dikongsi, saya amat hargainya. Tajdidkanlah niat di dalam hati bahawa apa sebab kita menuntut ilmu? Adakah kerana peperiksaan atau kerana Allah s.w.t? Ini ialah persoalan yang seringkali disoal kepada penuntut ilmu, tetapi sejauh manakah kita memahami persoalan ini?

Kemudian, adakalanya subjek Biologi ini menuntut kita kepada hafalan. Nasihat saya pula, jangan menghafal kesemuanya sekaligus, tetapi bahagikan beberapa perkara kepada beberapa bahagian kecil. Apabila telah yakin dengan hafalan bahagian pertama, oleh itu bolehlah cuba menghafal bahagian kedua pula. Saya rasa ini lebih memudahkan.

Jangan pula tersalah tentang konsep menghafal ini. Kita bukanlah menghafal semata-mata untuk menjawab kuiz atau peperiksaan, tetapi kerana benar-benar sayang akan ilmu tersebut dan mahu ianya betul-betul melekat ke dalam fikiran.

Terakhir sekali adalah yakinlah dengan Allah s.w.t dan bertawakallah kepada-Nya. Kerana hanya Dia sahaja yang akan memberkati ilmu yang kita pelajari ini. Apa gunanya ilmu itu andai tiada keberkatan dari-Nya. Lain orang lain caranya dan saya hanya sekadar berkongsi. Apa kata sahabat sekalian? Marilah kita turut sama berkongsi.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s