Jasad yang Hidup

Standard

Saya hanyalah seorang manusia biasa, yang baru belajar mengenal kehidupan. Yang masih merangkak dan bertatih dalam mencari erti kehidupan. Semakin hari pasti ada sesuatu yang dipelajari diri yang kerdil ini. Dan juga terfikir alangkah ruginya andai akal yang dikurniakan Allah s.w.t ini tidak digunakan sebaiknya. Kekangan masa kekadang, memaksa saya untuk terus sibuk dengan urusan dunia sehingga jiwa dan rohani meronta-ronta minta diisi dengan tarbiah dan ingatan kepada Allah s.w.t.

Selalunya, bisikan hati ini, jeritan hati ini tidak terlalu kuat untuk mencuri perhatianku yang kesibukan ini. Sehingga suatu saat, hati menjadi tersangat resah dan gelisah kerana terasa bebanan yang berat. Bukan bebanan sebenarnya yang mengisi hati ini tetapi kekosongan yang luar biasa.

Kerana jarang sekali mulut ini mahu menyebut  ‘astaghfirullahalzim’, ‘subhanallah’ dan zikir-zikir lain yang merupakan kunci ketenangan. Sesibuk mana sekalipun, jadikanlah sibuk itu sibuk yang bermakna di sisi Allah s.w.t. Sibuk dalam keadaan mengingati Allah. Jarang sekali kita berbuat sedemikian kerana urusan agama dan urusan dunia telah kita sekularkan sejak kecil lagi.

Kadang-kadang, seusai solat, hilanglah segala ingatan kepada Allah. Ya, kadangkala kita marah apabila orang mengatakan kita hanya Islam di ketika solat. Tetapi hakikatnya ramai manusia memang begitu. Sedangkan urusan agama itu tidak akan pernah putus. Bukan ketika membaca quran sahaja. Bahkan ketika berbuat semua perkara sekalipun, semuanya harus diiringi dengan ingatan kepada Allah.

Adakalanya hidup kita ini, hanya jasad yang bergerak ke sana ke sini, sibuk melangsaikan urusan dunia itu dan ini, bekerja tanpa henti tanpa memikirkan keperluan jiwa yang mendesak. Dan ada ketika, jasad hanya bermalas-malasan, enak tidur di atas katil yang empuk, menikmati makanan yang sedap setiap hari, membeli belah tanpa henti sehingga jiwa menjerit meminta tolong.

Jasad, akal dan hati haruslah sentiasa seiring berjalan merentas arus kehidupan. Tetapi hakikatnya, dek kerana kita telah biasa memisahkan ketiga-tiganya, adakalanya kita susah untuk berfikir dengan mata hati. Ini sangat merugikan kerana gabungan akal dan hati, subhanallah, natijahnya begitu hebat kerana melahirkan insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Analoginya seperti solat iatu ibadah yang sangat rapat dengan umat Islam. Tetapi berapa ramai yang solat dengan hati dan jiwanya atau hanya jasad yang melaksanakan. Dan kesannya begitu berbeza sekali iaitu melahirkan mukmin yang berjaya atau tidak berjaya. Jelas sekali Allah telah terangkan di dalam Al-Quran tentang orang yang mendirikan solat dengan khusuk.

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya” (Al-Mukminun: 1-2)

Bagi diriku yang baru belajar dan mengenal ini, bagiku khusyuk itu apabila kita melaksanakan sesuatu perkara dengan jasad dan mata hati. Jasad akan menjadi kosong tanpa berfikir, dan paling tepat berfikir dengan mata hati. Sukarnya mungkin perlu dididik dari hari ke hari. Apa sahaja yang kita lalui maka berfikirlah tentangnya, hayatilah dan akhirnya apakah natijahnya? Natijahnya adalah keimanan dan ketaqwaan yang menenangkan hati dan jiwa yang merintih. Subhanallah. Dari situ kita dapat menilai bahawa umat Islam mengalami proses yang sangat sempurna. Tidak seperti orang bukan Islam, cara berfikir mereka tidak mendatangkan ketenangan dan kedamaian di jiwa. Di suatu saat wang ringgit dan segala-galanya sudah tidak berguna lagi apabila ketenangan telah hilang dari jiwa. Dan wang ringgit tidak mampu mengembalikan ketenangan yang hilang itu melainkan sujud kepada Allah..

Berfikir dengan mata hati juga dapat melahirkan aura yang positif dan luar biasa. Sebagai contoh apabila berfikir tentang kejadian alam, bagaimana tabahnya seekor ibu burung keluar mencari makan di atas bumi yang luas terbentang untuk anak-anaknya, ikan-ikan yang pelbagai jenis dan saiz menghuni lautan yang luas, bagaimana hebatnya penciptaan manusia oleh Allah s.w.t dan berfikir tentang Islam, seolah-olah ada kuasa yang menggerakkan kita untuk terus melangkah dan mengenal Tuhan. Aura itu akan lahir di hati lalu memberikan kekuatan kepada jasad untuk terus melangsaikan hidup dan amanah di atas muka bumi ini dengan penuh keimanan.

Kelas Biologi selama ini memang membuatkan saya tertarik dengan mekanisma-mekanisma, tentang kejadian alam, tetapi tidak pernah membuatkan saya bertambah keimanan kepada Allah s.w.t. Kenapa? Kerana tidak pernah berfikir dengan lebih kritis akan betapa hebatnya ciptaan Allah Azzawajalla. Ya, selama ini juga berfikir akan kehebatan Allah yang menciptakan makhluk dan alam dengan penuh kesempurnaan, tetapi ada bezanya apabila fikiran yang biasa itu ditukarkan dengan pemikiran mata hati.

Tiba-tiba tadi mulut laju menyebut ‘astaghfirullah’ berkali-kali sewaktu pensyarah sedang aktif memberi penenerangan tentang suatu topik Biologi di hadapan. Dan secara automatik, hati terasa kian lapang lalu mudah untuk menilai kehebatan Allah. Ternyata, hati selama ini kosong lalu diisi dengan maksiat sehingga menjadi gelap. Kerana itulah sukar untuk berfikir dengan mata hati kerana ia buta. Aduh, betapa parahnya hati. Akhirnya terubat dengan beberapa kalimah.

Subhanallah, Maha Suci Allah.

Akhir kalam, apa yang ingin saya maksudkan di sini ialah jasad yang hidup itu adalah apabila disertai akal yang berfikir lalu hati mendapat manfaat darinya iaitu ketenangan. Mungkin salah, mungkin juga benar apa yang dikongsikan ini. Semoga sesiapa yang membaca boleh berkongsi idea dan pendapat untuk kebaikan kita bersama. Syukran jazilan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s